Jadi kenapa disalahkan sekolah vernakular? – Helen Ang

11 11 2011

Sebab Cina dan India menolak sekolah kebangsaan

 

 

Sewaktu saya membesar, daging tidak pernah dihidangkan di rumah sebab emak seorang penganut Buddha.

Penjelasan beliau kepada saya (semasa usia kanak-kanak) lebih kurang mirip kepada ajaran Hindu – agama Buddha pun dilahirkan di benua kecil India juga – iaitu lembu itu binatang ‘suci’ yang banyak berjasa kepada kita.

 

Gambar Utusan (diambil dari http://manjongmari.blogspot.com)

 

Berbalik kepada isu penyembelihan lembu di perkarangan sekolah bersempena dengan Aidil Adha.

Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar pada Nov 9 dipetik sebagai berkata: “Saya fikir pandangan itu [yakni bantahan MCCBCHST] tidak sepatutnya dikemukakan kerana mungkin boleh timbul salah faham.”

Muhyiddin juga mempersoalkan “kenapa hal sebegini dibangkit, perkara yang bukan masalah mahu dijadikan masalah”.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran Abd Ghafar Mahmud.

Sungguhpun MCCBCHST ialah sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan yang berpengaruh, kenyataannya itu tidak juga lepas dikecam hebat oleh pelbagai pihak.

 

Sekolah kebangsaan berciri Islam

Bayangkan kalau ianya seorang ibubapa India atau Cina yang membangkitkan perkara ini. Pasti akan dituduh sebagai mencabar Islam, ‘Islamophobe’, membuat hal, dsb.

Kontroversi yang disebutkan di atas beserta upacara-upacara bersangkut-paut agama Islam – yang mana umum dikehendaki hadir walaupun tidak mengambil bahagian, contohnya ketika bacaan doa – adalah antara sebab-sebab yang memberi kesan kepada keputusan ibubapa Cina dan India (yang rata-rata semuanya) memasukkan anak ke sekolah vernakular.

Saya bukan mengatakan hanya kerana alasan ini sahaja ataupun ianya merupakan sebab utama yang mendorong mereka membuat pilihan tersebut. Akan tetapi tidak harus dinafikan budayanya yang bercirikan Islam, diiringi dengan faktor bukan-Muslim kurang berupaya untuk melahirkan ketidakserasian kami, memang menjadi satu sebab kami menjauhi sekolah kebangsaan.

Jika hendak mendudukkan murid berbilang kaum sebangku sebagaimana disyorkan kempen Satu Sekolah Untuk Semua (SSUS), maka apa-apa kemusykilan yang mungkin timbul hendaklah dirungkai terlebih dahulu.

 

1Sekolah 1Budaya?

Scan surat diambil dari http://theunspinners.blogspot.com (klik)

.
Kumpulan penggiat siber SSUS berhasrat memansuhkan sekolah vernakular atas kritikan “suasana terpencil” di sekolah jenis kebangsaan Cina atau SRJK (C) kononnya tidak memberi peluang kepada para pelajar untuk bergaul dengan kaum-kaum lain.

SSUS mahu supaya kanak-kanak di alam persekolahan diasuh supaya kelak dapat “menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk negara ini”. SSUS juga berkata kegiatan-kegiatan ko-kurikulum perlu digalakkan yang mampu mendedahkan pelajar kepada kepelbagaian budaya.

Sekiranya sistem pendidikan aliran bahasa ibunda didakwa “menyerapkan nilai-nilai satu kaum sahaja”, adakah sekolah kebangsaan pula menyerapkan nilai-nilai kaum lain?

Akankah Thaipusam dan sambutan ‘Hantu Lapar’ boleh diadakan di sekolah supaya murid Melayu boleh memahami adat resam masyarakat majmuk? Ataupun diluluskan upacara-upacara Kristian yang melibatkan nyanyian, lakonan Nativity (kelahiran Yesu), Santa Claus, dsb?

Sebuah sekolah Cina di Kelantan, SJKC Kai Chih, dibawa ke mahkamah kerana mengadakan pesta tanglung di kawasan sekolah tanpa permit.

Dilaporkan bahawa Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Puteh (di mana letaknya sekolah Cina itu) telah mengeluarkan notis pada 18 Sept.

 

Desakan untuk buka sekolah Inggeris

Matlamat SSUS ialah supaya anak-anak kita akan berbahasa kebangsaan sebagai bahasa utama nanti. Kempen tersebut membantah bahasa-bahasa asing dipromosikan secara meluas.

Akan tetapi melihat kepada polemik yang dicetuskan PPSMI, nampaknya bahasa Inggeris bukan sahaja dijulang tetapi diletakkan pada takuk paling atas sekali.

English – the national language of Bangsar

Malah selepas berjayanya PAGE baru-baru ini, mereka mula mendesak supaya tempoh pelaksanaan PPSMI dilanjutkan dan skopnya diperkembangkan untuk merangkumi murid Darjah Satu yang baru bersekolah.

Ada juga desakan-desakan baru untuk diadakan sekolah bahasa ibunda Inggeris meskipun BI bukan bahasa asli mana-mana suku kaum yang tinggal di Malaysia.

(Baca juga, ‘Methodists to open private schools as public standards fall‘.)

Kalau hendak kata orang Serani berbahasa ibunda BI pun tidak betul; kaum Serani mewarisi bukannya Inggeris tetapi sisa-sisa bahasa Portugis iaitu Kristang (bahasa creole).

BI mungkin hanya bahasa asli satu-satunya di Bangsar.

 

Bukan Cina bukit yang menghasut

Walaupun sekolah vernakular ialah suatu isu pendidikan namun ia tidak dapat dipisahkan daripada politik perkauman negara.

SSUS dalam memo mereka telah memberi saranan:

“Pengkajian semula sistem pelajaran negara ini haruslah dilakukan memandangkan fenomena perpecahan kaum yang semakin meruncing di masa kini. Gejala ini amatlah jelas sekali di alam siber dimana segelintir masyarakat kini mempamerkan sikap anti-negara yang semakin berleluasa. Jelas sekali, anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara, tiada rasa cinta kepada Tanah Air dan juga menonjolkan penulisan hasutan yang mencetuskan sentimen perkauman yang begitu ketara sekali.”

Gejala di alam siber yang diperkatakan SSUS sebenarnya menyerlah khususnya selepas pilihanraya umum Mac 2008. Sekolah Cina telah beroperasi lebih 40 tahun*, iaitu sejak Mei 13, 1969 sampai sekarang tetapi suasana kita bertegang urat hanya meruncing sejak kebelakangan ini.

Jadi kenapa disalahkan sekolah vernakular?

SSUS melemparkan tuduhan terhadap “anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara” sebagai bertanggungjawab atas perpecahan kaum.

Cuba fikir: Yang dipersalahkan SSUS bertekak leher di alam siber merupakan ‘anasir-anasir’ yang mendokong bahasa Inggeris ataupun bahasa Cina?

* Sekolah mubaligh mulai ditukar kepada sekolah kebangsaan ekoran pelaksanaan DEB pada 1970 sementara sekolah Cina dan Tamil tidak diusik walaupun tidak juga dibenarkan berkembang, yakni ditambah jumlah mereka.


Actions

Information

7 responses

11 11 2011
SSS Admin

Kami terpanggil membuat respon kapada penulisan Helen Ang tersebut diatas.

Kecaman kapada MCCBCHST, walau pun ianya sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan, adalah diatas perinsip, bukan dengan sewenang wenangnya dan bukan kerana “sekolah kebangsaan berciri Islam”. Perinsipnya ialah Perlembagaan negara ini menyatakan agama negara ini – dalam erti kata “the” religion of this country – ialah agama Islam. Agama lain tidak ada disebutkan. Jadi itu bermakna, Islam ada tempat khas diPerlembagaan dan ada kedudukan yang lebih tinggi dari agama agama lain dinegara ini.

Justru, tidak salah bagi Kementerian Pelajaran dan sekolah sekolah membenarkan penyembelihan lembu diwaktu perayaan Hari Raya Korban diperkarangan sekolah juga. Semua rakyat perlu hormati dan patuhi Perlembagaan negara ini. Pendek kata, ukuran ta’at setia kapada negara ialah hormat kapada dan mematuhi Perlembagaan negara. Dan semua rakyat perlu ta’at setia kapada negara, jika ada yang tidak, mereka perlu memikirkan berhijrah kenegara yang Perlembagaannya mereka boleh hormati dan patuhi. Kami tidak bermaksud kasar, tapi cuba fikirkanlah, bukankah itu sahaja yang nampak wajar dan patut (fair and reasonable) bagi semua yang mengaku dirinya rakyat Malaysia. Patut bagi diri mereka dan patut bagi negara Malaysia.

Upacara-upacara disekolah seperti bacaan doa bukanlah “bersangkut-paut agama Islam” secara acara terancang atau tersembunyi. Setahu kami, murid murid bukan Islam tidak langsung dikehendakki mengangkat tangan seperti dibuat oleh kaum Muslimin bila membaca do’a. Mereka tidak juga diperlukan membaca ayat ayat Qur”an atau sebagainya. Mereka hanya dikehendakki berdiam diri, dan bersurai bila habis perhimpunan dimana Guru Besar membuat pengumuman hal hal sekolah seperti biasa. Maka tidak adillah, dan tidak wajar keadaan seperti itu dikatakan “adalah antara sebab-sebab yang memberi kesan kepada keputusan ibubapa Cina dan India .. memasukkan anak ke sekolah vernakular”. Mungkin perkara itu digunakan hanaya sebagai helah atau alasan sahaja, walau pun ada beberapa sebab lain dari segi kepentingan diri mereka yang mendorong mereka kesekolah vernakular.

Jika semua rakyat Malaysia hormati dan patuhi Perlembagaan negara yang ada menyebut kedudukan agama Islam sebagai agama negara ini, maka tidak timbul pemikiran atau mengaitkan “budayanya yang bercirikan Islam” dengan perkara baca do’a itu. Serasi tidaknya kalian kapada kedudukan agama Islam diPerlembagaan itu perlu didasarkan kapada hal bahawa Perlembagaan negara ini telah dibincang, dibahath dan diluluskan diParlimen dua kali – sekali dimasa Merdeka ditahun 1957, sekali lagi dimasa penubuhan Malaysia ditahun 1963.

“Menjauhi sekolah kebangsaan” tidak sayugia dari segi menimbulkan suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu yang perlu bagi kemajuan yang tidak terbatuk batuk atau tidak terhindar dek pergaduhan kaum dan sebagainya. Amat pentinglah semua rakyat Malaysia menerima, menghormati dan mematuhi Perlembagaan negara. Bila itu berlaku dengan sepenuhnya, mendudukkan murid berbilang kaum sebangku diSSS itu boleh dilakukan dengan lancar.

Perlu juga ada kempen untuk menanam rasa memunyai (sense of belonging), rasa cinta (love of the nation), ta’at setia dan patriotisma kapada negara yang kita menjadi rakyat.

11 11 2011
Enchon

Ini Helen Ang nampaknya putar belit. Dia mengata “SSUS berhasrat memansuhkan sekolah vernakular”. Saya tidak ada baca begitu. Yang saya baca SSS mahukan sekolah vernakular “diserapkan kedalam sistem Sekolah Kebangsaan.”

Betul SJKC atau SRJK (C) tidak beri peluang kepada murid bergaul dengan kaum-kaum lain. SSS mahu supaya kanak-kanak dapat “menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk negara ini”. Dan kegiatan-kegiatan ko-kurikulum digalakkan bagi mendedahkan murid kepada kepelbagaian budaya.

Dia berbunyi apa yang orang panggil “ultra kiasu” bila menanya adakah sekolah kebangsaan pula menyerapkan nilai-nilai kaum lain. Dia tidak sedarkan bahawa budaya dinegara ini telah berteraskan budaya Melayu dan Islam. Pemakaian songkok bukti yang nyata. Telah dipraktikkan diseluruh negara. Pakaian resmi Wakil Rakyat, ADUN, Hakim Hakim dll kesemuanya melibatkan songkok. Duta duta Malaysia diluar negara, tak kira apa keturunan, bila diupacara resmi menyampaikan tauliah semua nya berpakaian Melayu keseluruhannya – baju, seluar, kain samping, siap dengan tengkolok dan keris.

Apa pulak dia cakap pasal Thaipusam dan sambutan ‘Hantu Lapar’ diadakan di sekolah? Apa dia mahu murid Melayu berbudaya Hindu dan Cina? Dah melampau tu. Pulak dia sebut upacara-upacara Kristian yang melibatkan nyanyian, lakonan Nativity (kelahiran Yesu), Santa Claus, dsb disekolah kebangsaan. Dah mengarut tu. Tak beri perhatian kapada Perlembagaan kata Islam adalah agama negara ini ke?

Dia langsung tak hiraukan Kedudukan Istimewa Melayu dan lain lain peruntukan yang tercatit diPerlembagaan negara yang menggambarkan budaya Malaysia perlu berteraskan budaya Melayu. Apa pun, Melayu adalah majoriti dinegara ini. Dan PM Britain David cameron telah berkata “Multi-culturalism is dead”. Dilaung jugak dek Chanselor Germany dan dua lagi pemimpin European Union.

Saya sokong kata kata mereka yang mengaku dirinya rakyat Malaysia tetapi tidak hemahkan, hormati dan patuhi Perlembagaan negara ini perlu cari negara yang Perlembagaannya mereka boleh hormat dan patuhi.

11 11 2011
Halim

Wo la wei, apa makna “Yang dipersalahkan SSUS bertekak leher di alam siber merupakan ‘anasir-anasir’ yang mendokong bahasa Inggeris ataupun bahasa Cina?”

Dia tahu “SSUS melemparkan tuduhan terhadap “anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara” sebagai bertanggungjawab atas perpecahan kaum.”

Apa pulak nak kenen kapada “SSUS bertekak leher di alam siber”? Di Kelantan boleh main bola kenen ke?

12 11 2011
Halim

Lupa mau cakap:

Nampaknya dia Buddhist sebab dia kata emak dia cakap tak boleh makan daging lembu.

Apasal nama dia Helen? Bukankah itu nama Kristian? Dia dah tukar agama ke? Atau tukar nama saja?

Kalau boleh tukar agama atau nama, tak boleh tukar cara mikir ke – mikirkan dia rakyat Malaysia, kena ikut Perlembagaan Malaysia, kena hormat agama Islam yang jadi agama negara ini.

Kalau tak mahu mikir gitu, tak bagus lah. Rakyat Malaysia apa macam gitu.

11 11 2011
antu

Saya rasa ada mesej yang hendak disampaikan oleh Helen Ang apabila beliau menulis mengenai lembu korban dan beliau memilih gambar seperti yang tertera dlm artikel di atas.

Apakah yg ingin di sampaikan oleh Helen? Seekor lembu yg tidak besar saiznya sedang diikat dan ramai orang sedang menarik kaki lembu yang terikat itu – menggambarkan kejam pada binatang? Ini korban aidil adha – mahu menunjukkan bahawa agama Islam itu kejam?

Dalam banyak gambar-gambar lembu korban, yang ini jadi pilihan Helen?

Sebenarnya, kalau Helen tidak biasa dimajlis pemyembelihan lembu korban, mengikat kaki dan menariknya adalah satu cara/teknik utk merebahkan lembu. Saya tidak mahu mengulas panjang sebab saya rasa memang Helen Ang memang sinis dalam tulisannya – secara kasarnya, Helen Ang nampak ingin mencemuh Agama Islam melalui salah satu daripada ibadah orang Islam, iaitu korban.

Seorang perempuan yang amat cantik, akan nampak begitu hodoh apabila gambar perempuan itu yg sedang berak dipertontonkan, bukannya gambar perempuan itu sedang bersolek. Berak itu sememangnya tidak dapat dielakkan cuma manusia tidaklah berak ditengah-tengah jalan, tapi di dalam tandas yang tertututp. Tapi nampaknya Helen lebih suka ambil gambar yang dalam tandas.. kerana apa? Sudah tentu kerana suatu niat yang tidak baik yg ingin ditonjolkan..

Baiklah.. sila ke sini:-

http://rmf7.wordpress.com/2011/11/08/tengok-gambar-ini-lim-kit-siang-jangan-provokasi-bangsat/

Gambar-gambar dlm artikel di atas ini adalh gambar-gambar yang berkaitan dgn suatu upacara keagamaan di Nepal yang juga melibatkan lembu – binatang ternakan.

Apakah Helen Ang ini sama dengan DAP Lim Kit Siang yang cuba membuat provokasi yang agak terlampau.

Asas negara Malaysia berteraskan kepada bahasa dan adat budaya orang Melayu serta berteraskan Agama Islam. Harap cina bukit seperti Helen Ang ini memberi perhatian kepada perkataan “TERAS” ataupun dlm bahasa inggerisnya “core”, di sini. Ingat bagaimana Tanah Melayu bertukar nama kepada MALAYsia. MALAYsia bukan Melayu tetapi BERTERASkan Melayu.

Kalau cina bukit tidak selesa dengan asas negara MALAYsia ini, dipersilakanlah mencari negara yang lebih sesuai dengan cina bukit.

12 11 2011
Sayong

Waaah, diam diam, deme dah ramai masuk sini sekarang ye? antu pun dah masuk lagi. Teman tak sedor. Nak juga numpang semangkok.

Taman nak kabor – nenek moyang teman dah beratus tahun diSayong ni. Entah entah dah beribut tahun. Takde pun orang komplen pasal korban sembelih lembu kat mana pun.

Ape ke he’ nye deme masuk Perak kamdian negeri lain bawak gengster dan mcm mcm. Hormatkan orang tempatan le deme tu.

PS:

Jangan marah teman cakap oghang Peghok ni ha. Mike me tulis panjang panjang cakap serius semua, bagi teman chan nak cakap rengan sikit le.

13 04 2012
teloklipat

Mansuhkan sekolah2 srjk sudah terlambat apabila kita semua bersetuju menerima org cina dan org india sebagai warganegara….apa yg perlu sekarang , ialah memasukkan bahasa mandarin dan bahasa tamil di sek rendah dan dlm masa yg sama bahasa melayu di srjk mesti setaraf dgn sek sk…..walaupun begitu , persatuan DZ supaya jangan bermain api perkauman utk tidak benarkan guru melayu mengajar di srjk dan smjk….jangan ambik kesempatan dgn keadaan politik yg ada….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 36 other followers

%d bloggers like this: