Di manakah dasar kebangsaan yang menjadi tulang belakang negara?

9 03 2012

 

Bertegas laksanakan agenda kebangsaan

 

(Sinar Harian 5 Mac 2012)

Februari yang berlalu meninggalkan banyak kenangan yang sukar dilupakan. Menghadiri Seminar Pencapaian Umat Islam Pasca Merdeka dalam slot pembentangan kertas kerja mengenai masa depan bahasa Melayu anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), sememangnya menyakitkan. Pelik sekali, kenapa bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, termaktub pula dalam perlembagaan tidak terdaulat dan terdarjat, sedangkan kepemimpinan tertinggi semua orang Melayu Islam. Perlukah saya menulis buku bahagian kedua nasib Melayu di bumi Melayu?

Sebelum saya mengulas lanjut, cuba tatapi beberapa kes ini. Pertama, surat Michael Ng yang disiarkan oleh akhbar akhbar the Sun bertarikh 2 Februari 2012 (ms 12), bertajuk Use Bahasa Malaysia for school notices. Ng berbangsa Cina, berpendidikan Inggeris, tidak dapat membaca atau memahami notis bahasa Cina yang dihantar oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tempat anaknya belajar. Beliau terpaksa meminta rakan Cinanya untuk menterjemahkan notis tersebut dan mahukan pihak sekolah menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan notis.

Kes kedua, pandangan Eric Yong dalam akhbar yang sama, bertarikh 10 Februari yang tidak bersetuju dengan tindakan Dong Jiao Zong (DJZ) yang mahu berdemonstrasi membantah tindakan kerajaan menghantar guru-guru kanan yang tidak boleh berbahasa Cina ke SJKC. Ternyata DJZ mahu jadikan sekolah Cina sebagai sekolah yang begitu terasing daripada pendidikan nasional, sedang sekolah terletak dalam sebuah negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan, dan sekolah tersebut dibantu oleh kerajaan sepenuhnya. Dalam kes berkaitan, pemimpin ultra kiasu yang baru habis berdebat sesama mereka mahu menemui Menteri Pelajaran mengenai masalah kekurangan guru di SJKC. Bagaimana guru di sana boleh mencukupi bila mana setiap guru baru ditempatkan SJKC, ultra kiasu menolak mentah-mentah atas alasan mereka tidak tahu berbahasa Mandarin.

Kes ketiga, dalam akhbar The Star 6 Februari 2012, melaporkan kajian ahli antropologi Perancis, Fiorella Allio Pusat Kebangsaan De La Recherche Scientifique (CNRS), Marseille, mengenai budaya dan dialek Hokkien jauh lebih terpelihara dan terjaga sama seperti zaman dahulu di Malaysia berbanding negara asal China sendiri. Beliau mendapati orang-orang Cina Hokkien di Malaysia dapat mengekalkan budaya dan bahasa mereka dengan lebih dari segi keaslian.

Kes keempat, debat dua ultra kiasu menggunakan bahasa Cina (Mandarin) daripada bahasa kebangsaan atau sekurang-kurangnya bahasa Inggeris. Mereka sahaja faham, orang Melayu hanya ternganga-nganga. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, bahasanya sendiri tidak terangkat dan terdaulat. Salah siapa? Kita ada dasar, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan.

Kes kelima, majlis dialog awam dengan pihak berkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Khidmat terjemahan terpaksa dilakukan kerana ada yang tidak faham dan tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. Perlukah mereka ini dihantar balik?

Persoalan daripada kesemua kes ini, di manakah dasar kebangsaan yang menjadi tulang belakang negara? Apakah ini yang dinamakan kekuatan unity in diversity? Diversity sebegini akan membawa kehancuran. Saya berkali-kali nyatakan, apa lagi yang bukan Melayu mahukan lagi di negara ini. Semuanya mereka telah perolehi. Mereka langsung tidak berubah seperti asalnya. Tidak diasimilasikan. Integrasipun tidak sekuat mana. Mereka seperti seadanya. Itupun mereka tidak pernah puas. Terus mendesak dan mengugut agar ditambah lagi identitinya yang sememangnya telah terpelihara. Apa sudah jadi negara ini? Identiti orang lain semakin terpelihara, identiti sendiri entah ke mana? Ke manakah negara ini hendak kita bawa?

Tidak cukup dengan itu, mereka terus menuntut agar lebih banyak sekolah jenis kebangsaan terus ditambah dan dibina, apa juga prasyarat yang dikenakan kerajaaan ditolak mentah-mentah. Mereka mahukan operasinya mesti ditentukan oleh lembaga pertubuhan pendidikan mereka. Campur tangan kerajaan setakat ini langsung tidak berkesan. Kerajaan terus mengambil pendekatan memberi, demi undi. Balasannya belum tentu lagi diperolehi.

Di manakah agenda kebangsaan? Bagaimanakah kita mahu memandai pelajar-pelajar sekolah vernakular dengan bahasa negara ini jika notispun tidak boleh dibuat dalam pelbagai bahasa. Sebab itu saya memuji sesetengah SKJC yang menggunakan dwi bahasa sebagai menghormati bahasa kebangsaan.

Saya memuji seoorang warga negara China kebetulan berkahwin dengan Cina Malaysia. Beliau yang begitu ikhlas melahirkan rasa ketidakselesaannya apabila orang Cina di Malaysia ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu, sedangkan mereka tinggal dalam sebuah negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Pada beliau, ia tidak sihat dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Agenda negara ternyata diketepikan. Persoalannya, kenapa Cina di China begitu memahami pembinaan bangsa negara ini, sedangkan rakyat sendiri langsung tidak cuba memahami?

Pertubuhan-pertubuhan ultra kiasu ini perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepada bangsanya mengutamakan agenda negara. Anak-anak Malaysia wajib didedahkan kepada erti sebenar patriotisme dan menerima bahawa Bahasa Malaysia adalah lebih penting dari bahasa ibunda. Malangnya kita langsung tidak malu jika tidak tahu berbahasa kebangsaan, tetapi terasa amat malu jikat tidak boleh berbahasa ibunda.

Ultra kiasu wajib memberitahu kepada anak-anak ini bahawa negara ini adalah Malaysia, negara majoriti Melayu. Mereka mesti bergaul dengan bangsa ini, bersikap terbuka dan ikhlas supaya mereka boleh membentuk Malaysia yang lebih baik. Adalah mustahil hari ini untuk mewujudkan sekolah satu sistem. Namun, apa yang hanya boleh dilakukan adalah menghapuskan sikap ultra kiasu. Jika sikap ini terus mencengkam, sifat ikhlas tidak akan wujud.

Amatlah membimbangkan melihat NGO seperti DJZ yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak kita mempunyai mentaliti yang begitu tertutup seperti yang dibangkitkan oleh Eric Yong. Pertubuhan ini bukannya mengajar anak-anak kita ke arah perpaduan dan menerapkan patriotisme, tetapi sebaliknya.

Perlu diingat, DJZ pernah mengadakan perhimpunan pada 1987 yang membawa kepada ucapan-ucapan provokasi perkauman semata-mata kerana mereka tidak boleh menerima perlantikan lebih kurang 100 orang penolong kanan dan pengetua di sekolah jenis kebangsaan Cina yang tidak boleh berbahasa Mandarin. Provokasi akhbar berbahasa Cina, telah menyebabkan keadaan menjadi semakin serius sehinga berlakunya Ops Lalang. Tindakan undang-undang terpaksa diambil untuk mengelakkan rusuhan kaum berlaku.

Terbaharu, mereka sekali lagi mahu mengadakan demonstrasi yang sama. Pertubuhan ini sudah menjadi ancaman kepada kestabilan negara dan integrasi nasional. Persoalannya, sampai bilakah perjuangan yang bersifat ultra kiasu ini akan berakhir? Mereka selalu berhujah kononnya pendidikan vernakular dianaktirikan dan dipinggirkan dalam arus perdana serta dilayan seperti warganegara kelas dua. Tidakkah mereka harus bertanya pada diri sendiri, wajarkah agenda nasional diketepikan semata-mata untuk meraikan agenda bangsa?

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 36 other followers

%d bloggers like this: