Siri Artikel Pilihan e-Patriot Kempen SSS – 1

17 11 2009

[Artikel di bawah ini diterbitkan kali pertama oleh blog tun faisal dot com pada 7 November 2009 dan diterbit semula di Portal Kempen SSS dengan kebenaran penulis asal]

Merealisasikan Idea Satu Sekolah Untuk Semua

Oleh: Tun Faisal Ismail bin Aziz (tunfaisal@yahoo.com)

Rata-rata ramai yang menyambut baik idea Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) kerana hasratnya mulia, iaitu untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Bangsa Malaysia dan amat selari dengan hasrat 1Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pakar Sejarah Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, misalnya menyifatkan sistem persekolahan pelbagai aliran ini sebagai tinggalan penjajah dan tidak lagi sesuai untuk dikekalkan sekiranya matlamat 1Malaysia ingin dicapai. Menurut beliau pihak British membenarkan kaum imigran membuka sekolah mereka sendiri kerana mereka tidak bercadang untuk menetap di negara ini.

Aktivis SSS pula menyifatkan kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagai bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang mesti digunakan sebagai bahasa rasmi. SSS juga berpandangan bahawa bahasa Mandarin bukan bahasa ibunda kaum Cina di Malaysia, sebaliknya bahasa kebangsaan Negara China, manakala bahasa Tamil pula bukan bahasa ibunda masyarakat India di negara ini, sebaliknya merupakan bahasa rasmi Tamil Nadu.

Bagi mereka yang menentang hasrat SSS ini, penentangan mereka adalah kerana mereka mahu mempertahankan sistem persekolahan, kebudayaan dan bahasa yang dianggap sebagai bahasa Ibunda kaum mereka di negara ini. Ada juga yang menentang atas dasar pendemokrasian pendidikan, di mana ia membenarkan ibu bapa membuat pilihan.

Khoo Kay Kim tepat menyatakan bahawa pendirian asal British membenarkan sekolah kaum imigran adalah kerana berpandangan mereka tidak mahu menetap di negara ini. Disebabkan itu pendirian ini berubah dalam Laporan Barnes 1951 yang mencadangkan hanya dua jenis sekolah ditubuhkan, iaitu aliran kebangsaan dan dwi-bahasa. Begitu pun Laporan Fenn-Wu 1952 mencadangkan agar aliran vernakular ini dikekalkan.

Penyata Razak 1956 telah mengambil jalan tengah dan terwujudlah satu sistem pendidikan atas dasar kompromi. Walaupun begitu matlamat Penyata Razak ini amat jelas, iaitu untuk menyatukan anak-anak berlainan kaum di bawah satu sistem pendidikan (dan sukatan pelajaran), iaitu sistem pendidikan kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantar. Selepas 52 tahun merdeka hari ini dilihat sistem persekolahan pelbagai aliran ini kurang berkesan dalam membentuk perpaduan yang kukuh dalam masyarakat dan disebabkan itu gerakan SSS ini dimulakan.

Pastinya gerakan SSS ini akan menyentuh sensitiviti golongan tertentu. Disebabkan itu Datuk Seri Najib mengingatkan bahawa tujuan untuk mewujudkan sistem persekolahan aliran ini amat bagus kerana matlamatnya untuk mengukuhkan perpaduan, tetapi ia tidak bermakna sekiranya ia menimbulkan ketegangan kaum.

Ingatan Perdana Menteri ini betul, tapi jika matlamatnya mulia dan majoriti rakyat menyambutnya dengan baik, maka tidak salah untuk kita memikirkan jalan untuk merealisasikannya lebih-lebih lagi ketika ini majoriti anak-anak kita berada di Sekolah Kebangsaan (SK), iaitu sekitar 75 peratus di sekolah rendah dan 86 peratus di sekolah menengah. Mungkin sedikit lagi kesungguhan diperlukan untuk menjadikan sekitar 25 peratus lagi murid di sekolah rendah dan 14 peratus lagi di sekolah menengah berada dalam hanya satu aliran persekolahan.

Jika kita bercakap tentang pendemokrasian pendidikan, kita memahami kenapa setiap pihak tidak mahu mengalah dan mahukan yang paling ekstrem untuk aliran persekolahan yang mereka kehendaki. Bagaimanapun, adakah kita mahu kompromikan matlamat kenegaraan? Akhirnya, hanya yang sanggup berkorban atau yang tidak mampu sahaja yang akan berada dalam sistem kebangsaan.

Terdapat beberapa kaedah yang sedang dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 bagi memupuk perpaduan melalui sistem pendidikan.

Pertama, melalui kaedah memujuk melalui Teras Memperkasa Sekolah Kebangsaan. Ini merupakan pendekatan lama, yang diberi nafas baru dan dijadikan lebih berfokus berbanding pendekatan lama. Dalam teras ini, usaha ditumpukan untuk meningkatkan daya tarikan SK melalui penambahbaikan infrastruktur, penawaran program yang menepati keinginan ibu bapa seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil, penawaran program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF), penambahbaikan program dan kurikulum seperti pengajaran Bahasa Inggeris, meningkatkan kualiti dan keupayaan pentadbir sekolah dan guru, membangunkan budaya cemerlang dan menjadikan SK lebih beraspirasi nasional.

Kedua, melalui program-program yang dapat memupuk perpaduan seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) bagi kelompok-kelompok sekolah yang didominasikan oleh satu kaum.

Namun kaedah ini dianggap satu kaedah yang kurang radikal, kurang efektif dan mempunyai pelbagai masalah pelaksanaan. Misalnya, RIMUP kelihatan kurang menyerlah tahun ini, kemungkinan kefahaman dan kesungguhan mengenainya semakin menurun di kalangan warga KPM.

Justeru mungkin satu kaedah yang lebih radikal diperlukan.

Salah satu kaedah yang pernah digunakan dulu tetapi tidak diteruskan adalah pembangunan Sekolah Wawasan. Ia tidak diteruskan dalam PIPP kerana tidak ada kesungguhan dari pihak yang mempertahankan SJKC. Terdapat enam buah Sekolah Wawasan, bagaimanapun hanya satu sahaja yang melibatkan ketiga-tiga jenis sekolah. Bakinya hanya melibatkan SK dan SJKT.

Kaedah kedua yang pernah digunakan dan amat berkesan adalah dengan meminda Akta Pendidikan, misalnya pindaan yang dibuat dalam Akta Pendidikan 1991 yang menjadikan semua sekolah menengah berstatus SK. Begitu pun usaha ini hanya dapat dilaksanakan di peringkat menengah dan tidak dapat dilaksanakan di peringkat rendah kerana terdapat banyak tentangan.

Kaedah yang belum pernah dicuba adalah untuk menetapkan road-map dan sasaran untuk menukar status SJK kepada SK menjelang tahun sasaran tertentu terutamanya SJK yang sudah semakin hilang tarikan, terlalu dhaif dan berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM). Dimaklumkan terdapat sekitar 36 peratus atau 460 buah SJKC yang berstatus SKM dan 66 buah daripadanya berada di dalam bandar. Dikatakan juga, berbanding SJKC, lebih banyak SJKT yang berstatus SKM ini. Ini terpakai untuk sekolah vernakular yang lain juga.

Jika ini merupakan sasarannya, maka perlu ada kesungguhan politik dari segi pertama, untuk menghentikan sebarang permintaan untuk menambah jumlah sekolah vernakular; kedua, permintaan menggantikan sekolah vernakular yang bertaraf SKM dan tiada tarikan. Ketiganya, perlu ada kesungguhan untuk meningkatkan kualiti SK yang berada dalam kawasan yang mempunyai populasi campuran.

Mampukah ia dilaksanakan atau mahukah kita melaksanakannya?


Actions

Information

31 responses

17 11 2009
SUARAJAGAT

Di Luar Lingkungan semalam memperkatakan tentang Sekolah satu aliran / SSS.
Tahniah buat semua penggerak SSS. Semoga hasrat murni kita tercapai

18 11 2009
SSS Admin

Terima kasih saudara SuaraJagat. InsyaAllah, mudah-mudahan hasrat dan usaha murni ini dapat direalisasikan demi perpaduan yang lebih jitu.

Terima kasih atas komen dan sokongan anda.

18 11 2009
SUARAJAGAT

Saya telah meletakkan artikel yang ditulis oleh Ust.Ridhuan Tee yang menyentuh seputar isu sekolah satu aliran di blog SUARAJAGAT.
Artikel yang mempunyai tarikannya yang tersendiri..

Layari :

Memahami Konsep Satu Sekolah Untuk Semua

18 11 2009
Isa

Mengikut Tan Sri Prof Khoo Kay Kim, pihak British membenarkan kaum imigran membuka sekolah mereka sendiri kerana mereka tidak bercadang untuk menetap di negara ini. Rupanya mereka mahu menetap. Pemimpin Melayu dimasa Merdeka telah bersetuju diatas kerakyatan bagi mereka.

Disitulah mula nya masalah kita. Dimasa Merdeka dan bersetuju berkenaan kerakyatan bagi bukan Melayu, pemimpin kita tidak menyelesaikan perkara ini. Salepas Merdeka masalah ini berlarutan. Sudah 52 tahun lamanya sekarang. Setengah abad.

Pemimpin sekarang mesti ambil tindakan menyelesaikan masalah ini. Baguslah perkara Sekolah Satu Aliran sudah mula di bincangkan diParlimen. TPM/ Menteri Pelajaran TS Muhyiddin sudah menggalakkan penerusan perbincangan perkara ini dilain-lain tempat. Dan PM DS Najib telah mengajak rakyat memberi pandangan dan cadangan berkenaan dengannya diblognya 1Malaysia. Isnin lalu Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan menyamakan korikolum Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah Kebangsaan.

Tidak boleh tunggu lama lagi. Jurang sefahaman kaum semangkin meningkat sejak kebelakangan ini. Unsur-unsur persatuan dan semangat hidup bersama mesti ditanam dikalangan kanak-kanak didalam peringkat pembentukan pemikiran dan minda atau “formative years” mereka. Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) bertujuan dan menghala ke arah itu. Mulakanlah Satu Aliran atau SSS.

DS Najib mahu melihat SSS sebagai kehendak rakyat ramai. Timbul so’al bagaimana menentukan sama ada ramai atau majoriti rakyat mahukannya. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa cara yang paling senang dan selamat bagi menentukan kemahuan rakyat adalah melalui referendum.

19 11 2009
SSS Admin

Isa,

Terima kasih diatas komen Sdr.

Memang sudah lama masalah ini ada di masyarakat Malaysia. Kekurangan sefahaman diantara kaum nampaknya melanda-landa sejak pemerintahan yang lalu, yang mendiamkan segala jenis tuduhan dan dakwa’an. Gejala yang dipanggil “flip-flopping” menambah burukkan keadaan.

Amat perlu langkah-langkah diambil bagi memulihkan keadaan itu. Mendapatkan suasana muhibbah, aman dan tenteram makan masa yang lama. Langkah-langkah tersbut perlu diambil sekarang juga. Untuk yang dewasa dan untuk kanak-kanak juga. Kerajaan mesti melabur dari segi masa dan tenaga untuk kesempurnaan masa hadapan kita. Bak kata pepatah Melayu, melentur dimasa rebung. SSS bagi kanak-kanak di sekolah rendah memang tepat sekali.

19 11 2009
sepadu

Bagi menjawab so’al yang dikemukakan Tun Faisal di rencananya itu, saya fikir Kerajaan sudah tentu mampu melaksanakan langkah-langkah yang disebutnya itu. Hanya diantara mahu dan tidak mahu sahaja. So’al samaada ada keazaman politik (political will) atau tidak.

Malahan saya percaya Kerajaan pun mampu melaksanakan cadangan Sekolah Satu Aliran atau Satu Sekolah Untuk Semua (SSS). Kita sedar bahawa Perdana Menteri Dato Seri Najib perlu berhati-hati dalam perkara ini kerana implikasi politiknya. Saya faham pendiriannya bahawa perlaksanaan Sekolah Satu Aliran atau SSS bergantung kapada kemahuan rakyat. Dia berkata bahawa dia tahu ada banyak dikalangan rakyat yang mahukan Sekolah Satu Aliran itu tetapi dia masih ragukan berapa banyak sabenarnya.

Sekarang timbul so’al bagaimana menentukan berapa banyak sabenarnya yang mahukan Sekolah Satu Aliran atau SSS itu. Beberapa pendapat sudah dikeluarkan berkenaan perkara ini. Menentukannya dari segi berapa banyak yang memberi pendapat diblog 1Malaysianya saya fikir tidak wajar. Begitu juga dari segi berapa banyak surat dan memo yang diterimanya. Ini memang keputusan yang besar dan bersejarah, dan perlu dibuat secara mantap sebab masalah ini sudah lebih 50 tahun melanda negara.

Oleh itu, saya fikir memang wajarlah bagi Perdana Menteri kita membuat keputusan berdasarkan referendum yang telah banyak kali dicadangkan. Referendum adalah cara yang paling baik dan selamat baginya dan bagi negara. Referendum akan menunjukkan kemahuan rakyat jelata dengan sejelas-jelasnya. Referendum akan memberi mandat kapadanya membuat keputusan bersejarah itu dengan tepat. Referendum akan menyelesaikan masalah dan menyenyapkan kritikan, sungutan dan ketidak puasan hati mana-mana pihak. Bila majoriti (yang dipercayai ada bagi Sekolah Satu Aliran atau SSS) sudah mengeluarkan suara melalui referendum, kritikan yang timbul diatas keputusan itu tidak menjadi sah atau “valid”.

Akhbar yang mengatakan majoriti tidak semestinya tidak ambil kira perasaan minoriti bercakap secara tidak munasabah. Demokrasi menyatakan kehendak majoriti itu adalah agung, mesti dilaksanakan. Walhal tujuan Satu Aliran atau SSS adalah murni dan perlu dikejarkan.

Kumpulan yang mengatakan referendum itu tidak demokratik adalah mengarut. Referendum adalah cara yang demokratik bagi menentukan kemahuan rakyat diatas perkara yang kontroversial. Ini dilakukan di banyak negara demokratik diseluruh dunia. Memang referendum tidak menyeluruh saperti pilihan raya. Referendum adalah hanya untuk mendapatkan mandat khas untuk isu yang dijadikan perkara yang direferendumkan itu.

Oleh itu, amat wajarlah Perdana Menteri DS Najib menentukan kemahuan rakyat dalam perkara Sekolah Satu Aliran atau SSS itu melalui referendum. Cara ini boleh memberi asas yang kukuh baginya membuat keputusan yang besar dan bersejarah itu.

20 11 2009
SSS Admin

sepadu,

Sememangnya referendum ada lah cara yang baik dan selamat bagi menentukan kemahuan rakyat dalam perkara yang ada kontroversi atau pertikaian. Walau pun apa yang dipertikaikan itu tidak ada alasan yang kukuh.

Nyata diPerlembagaan negara bahawa Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan. Ia sepatutnya digunakan disemua sekolah-sekolah. Sekolah adalah urusan resmi negara. Apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun yang lalu tidak semestinya betul atau baik bagi persepaduan kaum dan kesejahteraan negara.

Cadangan Sekolah Satu Aliran atau Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) hanya untuk sekolah-sekolah vernakular diserapkan kedalam sistem sekolah kebangsaan. Bahasa Mandarin dan Tamil boleh diajar dan dipelajari sebagai mata pelajaran pilihan disekolah kebangsaan. Guru-guru dan kakitangan-kakitangan sekolah vernakular tidak akan kehilangan kerja kerana apa yang dicadangkan adalah penyerapannya kedalam sistem kebangsaan.

19 11 2009
tun faisal

terima kasih kerana siarkan tulisan saya di blog ini – mudah2an perbincangan mengenai topik ini akan dicambahkan lg agar lebih byk persolan dapat dirungkai dan semoga ia dpt diteruskan dengan penuh bersemangat demi manfaat kita bersama.. 🙂

20 11 2009
SSS Admin

tun faisal,

Kami berbangga diatas sokongan dan pendirian Sdr dalam perkara ini. Perbincangan baginya memang harus diperluaskan walau pun, sebagaimana telah kami sebutkan, bahawa apa yang dipertikaikan tidak ada alasan yang kukuh.

Namun demikian, perkara Sekolah Satu Aliran, yang setimpal dengan cadangan Satu Sekolah Untuk Semua (SSS), telah di perkatakan di Parlimen, perbincangannya dilain-lain tempat digalakkan Timbalan Perdana Menteri/ Menteri Pelajaran dan pandangan serta cadangan berkenaan dengannya dipelawa-kemukakan keblog 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita sendiri.

Hujah-hujah yang sepenuhnya bolehlah diberi dan diulang untuk memuaskan hati pihak yang berkenaan bahawa segala apa yang patut dibuat untuk memberi fahaman yang meluas ada dilakukan.

19 11 2009
azhar

Apabila kita memileh untuk sekolah bukan satu aliran bermakna juga kita memileh untuk membezakan diri kita.Bagi orang melayu dan bumiputra lain saya rasa dia bukan satu masalah besar tetapi bagi kaum lain iaitu kaum cina dan india ia adalah satu perkara yang mereka perlu membuat satu keputusan.jika ya saya rasa ia amat baik sekali dan jika tidak fikirkan generasi mereka yang akan datang.kanak kanak yang mula bersekolah pada tahun ini akan memasuki alam perkerjaan,alam bermasyarakat,bersosial secara total pada 20 tahun akan datang.pada ketika itu orang melayu dan bumiputra lain berjumlah lebih 70% daripada rakyat malaysia.ini bermakna dalam semua bidang pasti akan kita dapati orang melayu akan kelihatan menguasainya.pada ketika itu adakah orang melayu sanggup berkompromi lagi.sejarah telah membuktikan golongan majority tidak akan mengikut rentak minority.dan pada ketika itu akan ada lagi satu kaum yang merasa terpinggir sebagaimana dirasai oleh orang india sekarang.so baiklah kata ya untuk bangsa malaysia yang bersatu padu.satu bahasa satu negara.

20 11 2009
SSS Admin

Azhar,

Kami setuju bahawa mereka yang memilih dan terus mahukan sistem pelajaran yang berlainan dari sistem kebangsaan adalah pada umumnya memencilkan diri sendiri. Mereka tidak boleh marah atau menomah bahawa Kerajaan atau mana-mana pihak memencilkan atau me”marginalise”kan mereka, kononnya.

Bukan sahaja sejarah umum, tapi juga sejarah pengamalan demokrasi khasnya, dimana-mana pun didunia ini menunjukkan bahawa minoriti mesti menyesuaikan diri kapada kehendak majoriti. Biasanya, kehendak majoriti itu adalah rasional, berlunaskan kapada kepentingan negara dan, bagi sistem Sekolah Satu Aliran atau SSS ini, mengarah kapada persepaduan negara. Maka minoriti di negara ini hendaklah hemat kapada kemahuan majoriti.

19 11 2009
Zen

Ini kata-kata yang dipetik dari rencana Bakhari Ariff diUtusan Online hari ini:

“… dalam tempoh singkat sebagai perdana menteri, Tun Razak melakukan banyak perkara luar biasa”.

Dia menulis berkaitan ucapan Sultan Kedah di konvokesyen Universiti Utara Malaysia awal bulan lalu dimana Tuanku mencadangkan agar dilancarkan “Gerakan Razak”. Ia untuk menggerakkan perubahan sosial, seperti apa yang pernah berlaku dimasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.

Tun Razak melihat betapa perlunya pendidikan untuk menghasilkan generasi yang bersatu padu melalui Penyata Razak 1956. Walaupun tidak berjaya sepenuhnya kerana bangkangan ekstremis kaum, namun sekolah kebangsaan telah wujud dan menghasilkan majoriti rakyat berpendidikan kebangsaan.

Rencana itu mengatakan bahawa gerakan itu masih berkumandang sekarang dan begitu bersemangat dalam berbagai blog, termasuk yang di siarkan diatas, dengan gerakan dinamakan “Satu Sekolah Untuk Semua – Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”. Blog Kempen SSS ini menyenaraikan lebih 100 blog yang menyokong cadanagan SSS ini – lihatlah Senarai E-Patriotnya dimukasurat berikutan.

Diantara lain-lain kejayaan besar dan bersejarah yang di capai Tun Razak ialah: pembangunan luar bandar, penubuhan Universiti Kebangsaan, memulakan “affirmative action” dalam bentuk Dasar Ekonomi Baru. Saya rasa sekarang rakyat sangat mengaharapkan anak sulungnya, Dato Seri Najib, mengambil langkah untuk mencapai kejayaan yang besar dan bersejarah juga. Langkah yang paling baik sekarang ini ialah melaksanakan cadangan sekolah satu aliran atau Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) itu.

Itu akan menjadi suatu langkah luar biasa, saperti yang banyak di lakukan ayahnya Tun Razak.

22 11 2009
SSS Admin

Zen,

Terima kasih di atas komen Sdr.

Sabenarnya blog-blog e-patriot yang menyokong Kempen SSS ini dan mempamirkan logo Satu Sekolah Untuk Semua pada sa’at ini berjumlah 153. Kami sangat menghargai sokongan mereka. Mereka sejiwa dengan kami dalam hal mahukan SSS dilaksanakan. Kami bangga dengan pendirian mereka.

Kami berharap Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib, mengambil kira fakta ini bila menentukan berapa banyaknya sokongan kapada perkara Sekolah Satu Aliran yang telah dibincang diParlimen, digalakkan perbincangannya dilain-lain tempat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, dan disusuli Perdana Menteri sendiri dengan mengajak rakyat memberi pendapat dan cadangan diblognya 1Malaysia.

Kami setuju bahawa Sekolah Satu Aliran atau SSS merupakan peluang yang paling baik bagi Dato Seri Najib menempah tempat dalam sejarah sebagai Perdana Menteri yang menggerakkan perubahan sosial yang amat besar dan bermakna di negara ini, saperti yang telah dilakukan ayahnya, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang disayangi dan diingati hingga kebila-bila masa.

Cara yang paling baik dan selamat bagi menentukan kehendak rakyat berkenaan Sekolah Satu Aliran atau SSS ini ialah melalui pungutan suara dalam bentuk referendum. Tidak siapa boleh mengkritik secara sah atau “valid” diatas tindakan yang diambil berdasarkan referendum, saperti perlaksanaan Sekolah Satu Aliran atau SSS.

19 11 2009
Pok Jib Ganu

Guano mung Pok Jib? Tok macang ayoh mung? Ayoh mung beghani, mung pulok dok “play safe”.

Oghang semuo dok nok SSS ni, mung pulok dok dengar Dong Ziong? Guano pulok gitu? Setaghanggg mung Jib!

22 11 2009
SSS Admin

Pok Jib Ganu,

Terima kasih kerana singgah dan meninggalkan komen.

Kami setuju bahawa pendirian Dong Zong tidak wajar menjadi penghalang bagi keputusan berkenaan sekolah vernakular. Banyak hujah-hujah telah di keluarkan menidakkan apa yang di katakan atau diakui Dong Zong. Contohnya, berkenaan kedudukan Bahasa Malaysia diArtikel 152 Perlembagaan negara, Mandarin boleh di pelajari disekolah kebangsaan sebagai mata pelajaran pilihan, 25% murid-murid SJKC berhenti sekolah sabelom sampai peringkat SPM, sekolah-sekolah mereka sangat kurang kepelbagaian kaum, dan bermacam-macam hujah lagi.

Sekolah-sekolah “Jenis” Kebangsaan perlu diserapkan kedalam sistem sekolah Kebangsaan untuk menimbulkan semangat bersatu dan persepaduan negara dalam jangka masa panjang.

20 11 2009
msleepyhead

Tuan Admin,

Terima kasih diatas usaha kumpulan Tuan menyuarakan kempen SSS sehingga ia kendengaran di kalangan pemimpin dan golongan akademik negara. Ia adalah usaha yang murni dan harus disokong semua anak Malaysia yang sejati.

Kalau kita membaca laporan berita terkini ini, kita tahu hendak tak hendak, sistem ini telah dibiarkan berterusan semenjak Hari Merdeka kerana kemungkinan besar ia dilihat sebagai sebahagian kontrak sosial, pandangan tersebut tentunya salah, tetapi maksud kontrak sosial yang sebenarnya juga berbeza-beza kalau ditanyakan tokoh-tokoh yang berlainan. Sekiranya tidak, ia tentunya digunakan sebagai umpan untuk memancing undi kumpulan etnik yang terlibat. Ia boleh dikatakan modal politik murahan pemimpin masyarakat tersebut dan juga secara luasnya melihat kepada persetujuan peribadi pucuk pimpinan negara yang sehingga hari ini masih ‘mewakili’ kumpulan etnik masing-masing sehingga jawatan-jawatan Kabinet turut dibahagi-bahagikan berdasarkan persetujuan ini yang kononnya memilihara hubungan kaum sehingga hari ini.

Jelaslah halangan utama SSS bukan hanya kumpulan DZ tetapi termasuk juga pucuk pimpinan negara yang secara jelasnya masih menyokong sistem persekolahan vernakular melalui penganugerahan dana yang begitu ketara dilakukan untuk kepentingan kesinambungan kerjaya politik peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat dan Tanah Air.

22 11 2009
SSS Admin

msleepyhead,

Terima kasih diatas sokongan dan panggilan Sdr supaya semua anak Malaysia yang sejati juga menyokong Kempen SSS ini.

Tetapi kami berpendapat bahawa sistem sekolah vernakular tidak ada kena mengena dengan Kontrak Sosial yang di persetujui diantara pemimpin Melayu dan bukan Melayau dimasa Merdeka. Kontrak Sosia adalah hanya berkenaan persetujuan supaya bukan Melayu mendapat kerakyatan dan, sebagai balasan baginya, Melayu mendapat Kedudukan Istimewa. Kedua-dua hal itu telah dimaktubkan didalam Perlembagaan. Masakan hal sekolah vernakular tidak.

Perlembagaan hanya menyatakan bahawa bahasa ibunda boleh dipelajari. Tiada siapa menghalang atau membangkang perkara ini. Yang dibangkang ialah penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Hujah-hujah baginya sudah banyak di keluarkan. Mandarin dan Tamil boleh dipelajari disekolah sebagai mata pelajaran pilihan.

Pemancingan undi adalah urusan orang-orang politik. Yang penting adalah kesejahteraan, keamanan dan persepaduan negara. Penilaian diatas apa yang dikatakan aman, sejahtera dan bersepadu dan apa faktor-faktor yang mendatangkan keadaan itu perlulah betul. Kebelakangan ini persefahaman diantara kaum semangkin berkurangan dan polarisasi kaum semangkin ketara. Amat perlu rakyat Malaysia dididik kearah itu sejak kecil lagi, di bangku sekolah. Maka itulah yang di syorkan dibawah konsep Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) ini.

21 11 2009
Hee

Teruskan perjuangan….

22 11 2009
SSS Admin

Hee,

Terima kasih diatas sokongan dan galakan Sdr.

Kami sangat berharap mendapat sokongan yang luas bagi membuktikan kapada Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib, bahawa kebanyakan rakyat Malaysia mahukan sekolah Satu Aliran atau Satu Sekolah Untuik Semua (SSS) ini.

Kempen SSS ini telah dimulakan dalam bulan Mei 2009. Tidak berapa lama yang lalu perkara Sekolah Satu Aliran telah dibancang diParlimen. Berikutan dengannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah menggalakkan perbincangannya dilain-lain tempat, dan salepas itu, Perdana Menteri sendiri telah memperlawa rakyat memberi pendapat dan cadangan keblog 1Malaysianya. Setakat ini sudah ada lebih dari 150 blog yang menyokong dan mempamirkan logo SSS diblog mereka.

Marilah kita terus menggesa supaya Perdana Menteri kita mengambil kira suara-suara yang telah dikeluarkan itu sebagai kehendak rakyat Malaysia.

22 11 2009
Aminddin

Sekolah untuk semua?amat melucukan..kenapa sekolah vernakular harus dihapuskan.Saya sendiri telah menerima pendidikan di sekolah rendah jenis kebangsaan cina dan saya tidak rasa identiti saya terhapus malah membukakan peluang saya semasa mencari pekerjaan.Saya rasa kita harus mempunyai sekolah pelbagai aliran dan sekolah aliran inggeris juga harus dihidupkan semula kerana ramai orang tempatan yang ingin menerima pendidikan barat membatalkan niat apabila hanya terdapat sekolah antaranbangsa yang mana yurannya memang menakutkan..Lainlah cerita bagi Perdana Menteri kita dato sri Najib (anak beliau menerima pendidikan di Sri Garden KL)..tengoklah baik-baik, sekolah pelbagai aliran perlu dikekalkan dan intergrasi serta perpaduan boleh dipupuk melalui pelbagai aktiviti serta penggalakkan pelajar pelbagai kaum untuk memilih mana-mana aliran sekolah yang mereka ingini.

23 11 2009
SSS Admin

Aminddin,

Mengapa pulak melucukan? Bacalah hujah-hujah yang telah banyak dikeluarkan disana sini sabelum mengeluarkan kata-kata begitu. Dialam siber sahaja ada lebih 150 blog yang menyokong dan mempamirkan logo Kempen SSS yang mahukan Sekolah Satu Aliran atau Satu Sekolah Untuk Semua (SSS).

Tiada siapa mahu sekolah vernakular dihapuskan. Kami hanya mahu sekolah vernakular diserapkan kedalam sistem Sekolah Kebangsaan supaya ada hanya satu bahasa pengantar (Bahasa Malaysia) dan satu korikulum sahaja disemua sekolah. Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Resmi negara ini dan sekolah adalah urusan resmi dimana-mana negara pun.

Tidak juga ada so’al “mengahapuskan identiti” saperti yang Sdr sebutkan itu. Mungkin ini cara tanggapan atau pemikiran yang timbul dari sekolah yang banyak dikatakan kurang kepelbagaian kaum dan pemikiran yang luas sebagai warga negara Malaysia. Yang selalu disebutkan ialah menimbulkan suatu Bangsa Malaysia yang hormat dan hidup berdasarkan Perlembagaan negara. Bila hormat dan dan mahu didup dengan Perlembagaan negara itu akan timbullah sefahaman, semangat mahu bersama dan bersatu padu.

Sudah juga dimaalomkan dibeberapa tempat bahawa berbagai aktiviti persepaduan saperti Rukun Tetangga, persatuan-persatuan muhibbah dan sebagainya sejak Merdeka lagi. Tetapi jurang sefahaman dan polarisasi kaum semangkin meningkat.

Sekolah-sekolah vernakular boleh diteruskan tetapi dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, korikulum kebangsaan digunakan, dan bahasa Mandarin dan Tamil dipelajari sebagai mata pelajaran pilihan.

Silalah baca dengan teliti hujah-hujah yang telah dikeluarkan beberapa kali diblog Kempen SSS ini dan blog-blog dalam siri e-patriot yang kami senaraikan dimukasurat berlainan disini.

23 11 2009
Deano

Saya tertarik dengan kata-kata penulis rencana ini, “terutamanya SJK yang sudah semakin hilang tarikan, terlalu dhaif dan berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM). Dimaklumkan terdapat sekitar 36 peratus atau 460 buah SJKC yang berstatus SKM dan 66 buah daripadanya berada di dalam bandar.”

Bukankah ini satu bukti kukuh bahawa bukan sahaja SJK berupa minoriti tetapi juga hilang tarikan rakyat Malaysia? Dengan itu, apa lagi yang ditunggu Kerajaan? Bukankah boleh ambil kesimpulan bahawa majoriti rakyat Malaysia sedar kedudukan Bahasa Malaysia diPerlembagaan negara dan mahukan BM digunakan sebagai alat menyatu padu kaum-kaum diMalaysia ini?

Saya sudah bosan dengar jeritan mengaku sebagai rakyat Malaysia, mahukan persepaduan, tapi lihatlah apa yang dikatakan di akhbar-akhbar dan lain-lain media massa, terutamanya dilaman citra. Blogosphere penuh dengan maki memaki, kata mengata antara kaum. Sampai bila kita mahu begini?

Yang sudah dewasa memang susah mahu tukar pendirian, jadi kita perlu fokus kapada kanak-kanak. Lakukanlah Sekolah Satu Aliran atau Satu Sekolah untuk Semua ini supaya semua kanak-kanak dapat suasana belajar yang boleh bawa persepaduan.

24 11 2009
SSS Admin

Deano,

Terima kasih kerana singgah disini dan meninggalkan komen. Kami bersetuju dengan pendapat Sdr.

Masalah besar yang kita hadapi di negara ini sekarang timbul dari kurang menghormati dan mendampingi Perlembagaan negara. Kesemunya sudah termaktub dengan nyata di Perlembagaan. Artikel 152 berkenaan Bahasa Malaysia menjamin hak mempelajari bahasa ibunda. Tetapi semua sekolah mestilah mempunyai Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar nya. Bahasa ibunda boleh dipelajari sebagai mata pelajaran pilihan.

Jika semua rakyat Malaysia hormatkan, ikuti dan hidup berlandaskan Perlembagaan, akan kuranglah masalah negara. Itu adalah bukti ta’at setia kapada negara. Setiap rakyat mesti ta’at setia kapada negara. Itu satu kewajipan yang asasi bagi setiap rakyat.

Marilah kita mengajak semua rakyat Malaysia menghormati dan berpegang kuat kapada Perlembagaan negara kita. Perlembagaan adalah teras negara. Tiada Perlembagaan, tiadalah negara, hanya gerombolan maanusia yang hidup dengan “the law of the jungle” dan porak peranda. Nilai-nilai hormat kapada dan hidup berpandukan Perlembagaan itu boleh disemaikan dipemikiran dan minda kanan-kanak di bangku sekolah. Nilai-nilai hidup bersama, dengan sefahaman, perasaan bangga kapada negara boleh diserapkan disekolah-sekolah yang sama bahasa pengnatar dan kurikulumnya, ia itu Sekolah Satu Aliran atau SSS yang disyorkan itu.

24 11 2009
LtS

Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
Adakah bahasa memainkan peranan penting dalam usaha mencapai perpaduan?
Sekarang, semua pelajar pun wajib mengambil mata pelajaran BM. Sepatutnya perpaduan pun sudah tercapai. Akan tetapi, kenapa masih belum??
SSS mengambil konsep bahawa BM sebagai bahasa pengantar. Adakah cara ini memang dapat memupuk perpaduan??
Tukar tak tukar, kesan masih sama.
Kenapa perpaduan masih belum dicapai? Bukan kesalahan pendidikan.. salah kepada siapa?? tanya diri sendiri

25 11 2009
SSS Admin

LtS,

Terima kasih kerana mengunjung dan meninggalkan komen.

Bahasa sudah tentu memainkan peranan penting dalam usaha mencapai perpaduan. Contoh yang paling baik ialah People’s Republic of China (PRC). Mandarin digunakan di negara itu walau pun ianya bukan bahasa ibunda. Kita diMalaysia menggunakan Bahasa Malaysia yang termaktub diPerlembagaan negara.

Perpaduan negara melalui bahasa memang makan masa yang lama. Perpaduan yang telah dicapai pun boleh merosot. PRC yang berbentuk “homogeneous” atau hanya serumpun maanusia sahaja pun banyak kali merosot perpaduan negaranya dalam sejarah. Yang terakhir merosotnya ialah dimasa pemerintahan Mao Tse Dong, didalam tempoh sejarahnya yang dipanggil “Cultural Revolution” dipenghujung 1960an dimana keadaan sangat porak peranda, rakyatnya terkorban nyawa berjuta-juta.

SSS berharap dengan semua sekolah menggunakan BM sebagai bahasa pengantar dan menggunakan kurikulum dan syllabus yang sama, semua sekolah akan berpelbagaian kaum. Ini boleh berlaku kerana semua sekolah menjadi serupa dari segi sistem pelajaran, kemudahan-kemudahan dan sebagainya. Bila semua sekolah lebihkurang sama tahap kepelbagaian kaumnya, kanak-kanak akan belajar dengan suasana saling memahami antara kaum, akan timbul rasa mahu hidup bersama, sama tujuan, harapan dan cita-cita terhadap negara. Ini tentu dapat memupuk perpaduan.

Memang ada lain-lain sebab kemerosotan perpaduan. Diantaranya ialah pendirian yang timbul dari enggan menerima sepenuhnya beberapa aspek Perlembagaan negara. Artikel 152 Perlembagaan kita jelas menyatakan kedudukan Bahasa Melayu yang patut digunakan sebagai bahasa pengantar disemua sekolah-sekolah. Bahasa Mandarin (yang sabenarnya adalah bahasa kebangsaan PRC) dan Tamil boleh dipelajari di sekolah sebagai matapelajaran pilihan.

Lagi satu sebab ialah kengganan menerima sepenuhnya Artikel 153 berkenaan Kedudukan Khas atau Hak Istimewa Orang Melayu. Perkara ini telah dipersetujui pemimpin-pemimpin bukan Melayu dimasa Merdeka sebagai balasan kapada pemimpin-pemimpin Melayu menyetujui kerakyatan untuk bukan Melayu yang lebihkurang 100 tahun sehingga Merdeka, termasuk dimasa pemerintahan kolonial British, adalah bukan rakyat dan berstatus “stateless”. Untuk persepaduan, semua rakyat perlu menerima sepenuhnya apa yang di panggil sebagai “Kontrak Sosial” diantara kaum, yang telah dijalin kedalam Perlembagaan negara sebagai Hak Kerakyatan bukan Melayu dan Hak Istimewa Melayu.

Silap faham berkenaan perkara-perkara ini dan eksploitasi kumpulan-kumpulan politik diatas nya juga menjadi satu sebab kemerosotan perpaduan. Sungutan dan bantahan dasar Kerajaan timbul, akibatnya. Namun demikian, adalah diharapkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat membezakan mana so’al pokok dan mana so’al kelemahan implementasi atau pelaksanaan. Contohnya, kelemahan implementasi Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak bermakna DEB itu salah. DEB timbul dari Hak Istimewa Melayu yang dinyatakan diPerlembagaan kita, yang juga menyatakan Hak Kerakyatan bukan Melayu.

SSS juga mengesyorkan supaya mata pelajaran sejarah dimestikan disekolah-sekolah. Dengan itu bolehlah kanak-kanak sejak dibangku sekolah lagi mengtahui dan faham latarbelakang Perlembagaan negara dan sebagainya. Untuk persepaduan, kita semua mesti hormati dan hidup berlunaskan Perlembagaan negara.

25 11 2009
Semerah Padi

Sdr Lts,

Pendapat saya, sememangnya bahasa itu amat penting utk mencapai perpaduan.

“Common language is a key to nation building”

Benar, BM diwajibkan dan sepatutnya sudah tercapai perpaduan itu. Sekiranya BM itu sekadar utk lulus periksa, maka ianya tidak memadai utk perpaduan. Sekiranya BM itu tidak dijunjung oleh rakyat Malaysia, maka tidak tercapai perpaduan rakyat Malaysia itu.

Seperti kata Tagore, “To build a nation, build a school”. Jadi saya rasa pendidikan itu amat penting untuk memupuk anak bangsa agar akan lahirlah satu bangsa yg utuh serta bersatupadu. Satu Bangsa kita, satu Bahasa kita.

Tidak ada juganya untuk membentuk agar-agar yg telah keras. Melentur buluh, biarlah dari rebung. BM sebagai bahasa pengantar adalah wajib dari tadika lagi (kalau ditanyakan kpd saya), bukannya di peringkat sekolah menengah.

Tanyalah pada diri:-

– Adakah kita meletakkan BM itu dihadapan dlm segenap urusan harian?
– Adakah kita menggunakan bahasa Malaysia dgn rakan-rakan kita?
– Adakah kita menggunakan bahasa Malaysia di dlm rumah kita?
– Adakah kita mendahului BM dlm segenap urusan rasmi seharian kita?
– Adakah kita mendahului BM di papan-pan tanda perniagaan, rakaman telfon apabila pelanggan membuat panggilan, media cetak dsb?

Berbagai alasan akan diberikan. Tapi, bagi saya, inilah persoalannya:-

(I) Wajarkah bagi seorg Malaysia itu fasih dlm bahasa lain sedangkan dia sendiri belum fasih (atau tidak fasih langsung) BM?
(ii) Wajarkah Bangsa Malaysia, mendahului bahasa lain,meletakkan BM di belakang walaupun Perlembagaan & Akta Bahasa jelas menyatakan kedudukan BM?

Bagi saya, oleh kerana pendidikan dari awal, tidak menekan semangat Bangsa Malaysia ini, maka ramailah yang bergelar “rakyat malaysia” itu tidak menjunjung bahasa kebangsaan sendiri.

27 11 2009
LtS

memang bahasa dapat mencapai perpaduan, tetapi bahasa bukan cara terbaik untuk mencapai perpaduan.

Sekarang saya belajar di sekolah menengah. Dalam sekolah saya, saya mempunyai kawan pelbagai jenis kaum. Saya pun bertutur dalam BM/BI dengan mereka. Dalam sekolah saya, perpaduan kaum pun sudah dicapai. Kita dapat berkawan, bermain sama-sama dengan kaum lain. Sebenarnya, saya berpendapat bahawa sistem pendidikan kini sudah cukup untuk mencapai perpaduan. (Dulu saya belajar di SJK(c))
Adalah tidak perlu mengambil tindakan untuk mengubah sistem pendidikan kepada sekolah satu aliran. Sebaliknya, apa-apa yang saya dapati ialah perpaduan kaum masih belum tercapai adalah disebabkan isu politik.
Misalnya, pernah ada ahli politik yang mengambil keris….

Mereka sentiasa yang menunjukkan contoh yang tidak begitu baik terhadap kita sehingga mereka yang menyebabkan isu-isu perkauman yang sensitif.

Sepatutnya mereka yang harus berubah sikap, bukan sistem pendidikan.
Walaupun ada murid yang belajar di SJK(c) atau SJK(t), mereka masih dapat berkawan rapat dengan rakan lain. Saya tidak berasa apa-apa yang telah menghalang perpaduan atau berkawan rapat dengan rakan kaum lain semasa belajar di SJK(c).

Oleh itu, siapakah yang sentiasa menyentuh isu-isu perkauman sensitif sehingga perpaduan sentiasa tidak dicapai??

29 11 2009
SSS Admin

LtS,

Kedatangan Sdr kelaman kami ini lagi adalah dipersilakan. Pendapat Sdr itu sudah kami tatapi. Peranan bahasa sebagai alat perpaduan sudah terbukti dibanyak negara didunia. Termasuk diPeople’s Republic of China dan diUnited States.

Baguslah Sdr dari SRJKC dapat bergaul mesra dengan murid-murid lain kaum di SMK. Tetapi kami pecaya tidak semua berpendirian mahu bercampur saperti Sdr. Suasana dibanyak SRJKC tidak mendorong semangat mahu bersama. Tambahan pula ada sekolah-sekolah Chinese Independent Secondary Schools.

Kami juga tidak menggalakkan ahli-ahli politik berpidato dengan mengeluarkan keris. Kita juga harus coba fahamkan bahawa tindakan saperti itu dimaksudkan hanya untuk penonton yang terhad, ia-itu audiens di situ sahaja. Memanglah akhbar-akhbar mensensanalisasikan berita dan gambar saperti itu untuk melariskan jualan akhbar mereka. Efeknya kapada pembaca tidak baik. Namun demikain, amatlah jarang sekali tingkah laku ini berlaku. Ini dilakukan hanya 1-2 kali untuk meraih undi diperhimpunan agung parti. Ia tidak semestinya menggambarkan tingkah laku banyak ahli parti atau rakyat jelata.

Tetapi sikap kurang menghormati Bahasa Malaysia dengan menggunakan Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar mesti diubah. Semua rakyat Malaysia mesti menghormati Perlembagaan negara. Menghormati Perlembagaan adalah bukti kesetiaan kapada negara. Perlembagaan menyatakan Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan negara. Bahasa Malaysia adalah Bahasa Resmi. Sekolah-sekolah adalah urusan resmi mana-mana negara didunia.

21 12 2009
LtS

“Contoh yang paling baik ialah People’s Republic of China (PRC). Mandarin digunakan di negara itu walau pun ianya bukan bahasa ibunda.”
tidak bersetuju bahawa bahasa mandarin bukan bahasa ibunda bagi rakyat China.
Lagipun, China hanya mempunyai majoriti satu kaum, iaitu orang Cina. China tidak menghadapi masalah kaum yang seperti kita hadapi. (Malaysia mempunyai 3 kaum, iaitu Melayu, Cina, dan India.) Tambahan pula, bahasa ibunda merupakan akar bagi setiap jenis kaum. Sekiranya SSS dijalankan, mestilah banyak orang cina tidak tahu lagi bahasa ibunda diri sendiri, banyak orang india pun sudah lupa akar sendiri. Oleh itu, sistem pendidikan vernakular mestilah dikekalkan.

Diandaikan negara China juga mempunyai 3 kaum seperti negara kita. Katakan presiden China kata bahawa semua sekolah juga satu jenis bahasa pengantar iaitu bahasa Cina. Hal ini menjadi tak adil bagi kaum Melayu dan Kaum India kerana mereka tidak berpeluang lagi untuk belajar bahasa ibunda diri sendiri. Oleh itu, sistem pendidikan vernakular mesti dikekalkan. Masalah ini memang tidak dihadapi oleh negara China, US, Jepun, dan lain-lain kerana masyarkat mereka hanya majoriti wujud satu kaum sahaja.

kesimpulannya, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa wajib bagi semua rakyat Malaysia tetapi mesti mengekalkan sistem pendidikan vernakular.

24 12 2009
Zen

Lts

Anda “tidak bersetuju bahawa bahasa mandarin bukan bahasa ibunda bagi rakyat China”. Tetapi anda tidak memberi hujah-hujah menyebabkan anda tidak bersetuju. Sebutkanlah supaya dapat kita berbincang.

Tetapi anda mesti tahu bahawa ada berbagai suku kaum dan loghat atau dialek dinegeri Cina. Dibahagain selatan sahaja ada loghat Fukien, Canton, Hakka dan lain-lain. Di utara, ada loghat Shanghai dan beberapa lain diLembah Yangtze dan sebagainya. Mereka bertutur seharian didalam loghat-loghat tersebut. Loghat yang digunakan dalam perhubungan harian Itu dipanggil bahasa ibunda.

Mandarin digunakan hanya bila bertutur antara suku kaum dan dalam urusan resmi.

24 12 2009
SSS Admin

LtS,

China mempunyai berbagai suku kaum yang mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Asal usul orang China juga termasuk mereka yang datang dari Mongolian steppes. Ini ada dinyatakan oleh pakar sejarah. Termasuk juga mereka dari Asia Tengah; Rakyat China Uighers adalah buktinya.

Diselatan China sahaja ada bahasa Fukien, Canton, Hakka dan sebagainya. Masalah kaum masih ada diantara mereka, umpamanya pendirian kaum Fukien dan Canton terhadap kaum Hakka. Juga masalah kaum Uigher di barat laut China. Dan kaum Shan dan Miao dikawasan tenggara negeri China. Tetapi bahasa Mandarin adalah suatu alat yang telah menyatukan rakyat China. Perlulah kita diMalaysia menggunakan Bahasa Malaysia sebagai alat menyatukan rakyat negara ini.

Sekiranya SSS dijalankan, tidak semestinya rakyat Malaysia keturunan Cina dan India tidak tahu lagi bahasa ibunda sendiri. Sebab SSS tidak menghalang sesiapa menggunakan dan mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil. Malahan, SSS mengesyorkan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran pilihan (elective subjects). Asalkan semua sekolah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan kurikulum serta silabus yang sama dengan Sekolah Kebangsaan. Sekolah vernakular perlu diserapkan kedalam sistem sekolah kebangsaan.

Tidak timbul so’al tidak adil menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar disemua sekolah dinegara ini kerana bahasa Mandarin dan Tamil boleh dipelajari sebagai mata pelajaran pilihan.

US sangat berbilang kaum. Ada yang berasal dari Eropah, ada dari Afrika, Amerika Selatan, Asia dan sebagainya. Yang dari Asia sahaja ada yang dari China, India, Pakistan, Arab, Jepun dan sebagainya. Tapi mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar disekolah-sekolahnya. Bahasa Inggeris telah memainkan peranan penting bagi menyatu padukan mereka semua. Semangat bersatu, mempunyai cita-cita dan harapan yang sama untuk negera, ta’at setia dan cintakan negara adalah kuat diantara mereka. Marilah kita berbuat demikain juga diMalaysia.

Walhal, Bahasa Malaysia tercatit sebagai Artikel 152 diPerlembagaan negara. Semua rakyat Malaysia mesti hormati dan patuh kapada Perlembagaan. Itu adalah bukti kesetiaan sesaorang rakyat terhadap negaranya. Marilah kita semua menunjukkan kesetiaan kapada negara yang kita akui sebagai warga negaranya.

Leave a reply to Zen Cancel reply