Kami terbitkan semula dibawah sebuah berita yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-bn-sahabat-sejati-pendidikan-sekolah-cina/) di mana Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa kerajaan pimpinan beliau adalah sahabat sejati pendidikan sekolah cina.
Kami serahkan kepada sidang pengunjung untuk memberikan ulasan mengenai kenyataan Perdana Menteri dalam konteks pembinaan negara serta dasar pendidikan negara dengan mengambil kira kedudukan Bahasa Kebangsaan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa. Negara ini negara Malaysia.
Sehingga kini kami masih belum merasakan ada keinginan dari Dato Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan pendidikan Sekolah Kebangsaan sebagai sahabat paling akrab kepada kerajaan pimpinan beliau.
Bagaimana pula dengan pendidikan sekolah tamil? pendidikan sekolah agama? pendidikan sekolah pondok dan lain-lain jenis pendidikan sekolah lagi? Tidakkah Dato Seri Najib Tun Razak ingin jadikan pendidikan-pendidikan ini sebagai kawan rapat, kawan seperjuangan atau apa-apa kawan lagi?
Najib: BN sahabat sejati pendidikan sekolah Cina
May 12, 2010
SIBU, 12 Mei — Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus melakukan lebih banyak lagi bagi pendidikan sekolah Cina di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kerajaan BN adalah sahabat sejati pendidikan sekolah Cina,” katanya semasa berucap kepada lebih 3,000 warga pendidik Cina pada perhimpunan di sini hari ini.
Beliau berkata adalah satu hakikat bahawa masyarakat itu amat menghargai pendidikan dan sanggup berkorban semuanya untuk itu.
“Tetapi pada masa yang sama, anda akan perlukan bantuan kerajaan untuk pendidikan,” katanya.
Mengimbas kembali ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, Najib berkata beliau telah mengambil “risiko politik” apabila beliau mencadangkan Akta Pendidikan dipinda untuk membolehkan sekolah rendah Cina ditukarkan menjadi sekolah jenis kebangsaan.
Beliau berkata pada masa itu beliau merasakan keadaan itu boleh membawa “nahas” kepada kedudukannya kerana isu berkaitan pendidikan sekolah Cina telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak berjaya diselesaikan oleh beberapa menteri pendidikan sebelum itu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini Ketua Pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Oleh kerana Anwar juga aktif berkempen bagi calon DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, Najib mencadangkan masyarakat Cina di sini bertanyakan kepadanya apakah sumbangan beliau (Anwar) terhadap pendidikan sekolah Cina.
Perdana Menteri (gambar) kemudiannya mengumumkan peruntukan berjumlah RM18 juta bagi 67 buah sekolah dalam kawasan Parlimen Sibu.
Ini termasuk RM10 juta untuk 60 sekolah jenis kebangsaan, RM5 juta untuk lima sekolah menengah persendirian Cina, RM2 juta untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart dan RM1 juta untuk Sekolah Kebangsaan St.Mary.
Beliau berkata sebagai perdana menteri, beliau mahu memberikan khidmat yang terbaik dan juga mahu kerajaan melaksanakan yang terbaik untuk penduduk di Sibu.
Namun, katanya kerajaan dalam melakukan semua usaha itu juga pada masa yang sama memerlukan sokongan rakyat dalam menjayakannya. — Bernama
Pembaca sekelian, silalah baca komen-komen dibawah ini untuk mendapat perspektif yang lebih luas berkenaan perkara ini.
Latest Comments