Satu Cara Bagi Menarik Perhatian Kepada Sekolah Kebangsaan

23 12 2010

Kali ini kita ingin kongsikan suatu pandangan yang dilontarkan melalui sebuah email pembaca. Kita sering juga mendengar alasan-alasan bahawa Sekolah Kebangsaan tidak mempunyai daya saing untuk menarik minat ibubapa-ibubapa. Kami berpendapat pandangan yang dikemukakan ini wajar diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran untuk diteliti dan dipertimbangkan. Ianya mengenai kegiatan kokorikulum yang sedia ada di semua sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini.

 

(image courtesy of SHUTTERSTOCK)

Salam sejahtera Admin SSS,

Saya ingin berkongsi pendapat mengenai kegiatan kokorikulum, khasnya, kegiatan bersukan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Kita sedia maklum bahawa banyak aktiviti-aktiviti kokorikulum (sukan) disediakan di sekolah-sekolah kebangsaan untuk dipilih oleh murid-murid. Tetapi, persoalannya adakah akvitiviti-aktiviti kokorikulum ini dilaksanakan dengan sewajarnya secara bersungguh-sungguh ataupun hanya sekadar “melepas batuk ditangga” oleh kerana mematuhi keperluan penyediaan kokorikulum sahaja?

Mengapa saya berkata demikian? Saya mengambil contoh ‘bolasepak’ yang disertai oleh anak saya di sekolah. Siapakah jurulatih ‘bolasepak’ di sekolah? Beliau adalah seorang guru yang tugas utamanya adalah mengajar sebuah matapelajaran di sekolah tersebut. Beliau bukanlah sorang jurulatih bolasepak. Disebabkan hanya beliau berminat kepada bolasepak dan boleh “tendang bola” berbanding dengan guru-guru lain yang ada, lalu beliau ditugaskan juga sebagai guru pelatih bolasepak di sekolah.

Apa yang berlaku? Anak saya tidak pernah turun ‘berlatih’ bolasepak kerana setiap kali tiba waktunya, murid-murid hanya diberikan bola untuk ‘bermain’ bolasepak dan bukannya ‘berlatih’ bolasepak. Tiada teknik-teknik atau latihan-latihan tertentu diajarkan oleh ‘pelatih bolasepak’ tersebut. Perkara yang sama juga berlaku kepada ‘badminton’ yang sudah tidak disertai lagi oleh anak saya.

Anak yang kecil (pra-sekolah) pula meminati ‘jimnastik’ dan mengikuti latihan-latihan ini di sebuah pusat latihan swasta. Dia mempunyai bakat dalam jimnastik ini dan telah menjadi juara di beberapa buah pertandingan yang disertai oleh kelab-kelab jimnastik yang ada di Selangor/ Wilayah Persekutuan. Tahun depan anak saya akan bersekolah di sekolah kebangsaan berhampiran dengan tempat tinggal baru di Negeri Sembilan.

Oleh kerana minat yang mendalam serta bakat yang ada pada anak-anak saya, kami meneruskan kegiatan latihan bolasepak dan jimnastik ini dengan pusat latihan swasta di Selangor. Setiap hujung minggu kami akan berulang dari Negeri Sembilan ke Selangor untuk tujuan ini.

Kami tidak pasti tentang jimnastik, tetapi ‘latihan’ bolasepak memang ada di sekolah anak kami. Tetapi, seperti yang saya gambarkan, latihan bolasepak ini hanya akan mensia-siakan apabila ianya bukan ‘latihan’ sebenar. Ianya cuma ‘waktu bermain bola’ tanpa sebarang latihan yang bermakna.

Bukan kita hendak salahkan pihak sekolah kerana menyediakan seorang guru yang bukan sebenarnya jurulatih bolasepak. Tetapi pokoknya, apabila guru-guru yang tugas utamanya adalah mengajar matapelajaran dibebankan dengan pelbagai tugas termasuk menjadi guru ‘jurulatih’ kokorikulum, maka mutu pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan akan menurun dan menjadi tidak menentu. Maka ramailah para ibubapa yang mengeluh terhadap kualiti pembelajaran yang disediakan di sekolah-sekolah kebangsaan ini. Contohnya, adakah guru-guru disekolah vernakular dibebankan juga dengan tugas-tugas bukan mengajar seperti yang dibebankan oleh pejabat pelajaran kepada guru-guru di sekolah kebangsaan?

Sekiranya begini keadaannya di sekolah-sekolah kebangsaan, bagaimanakah sekolah kebangsaan dapat menarik minat para ibubapa? Saya rasa, sekiranya ada pilihan, ramai ibubapa tidak mahu menghantar anak-anak mereka di sekolah kebangsaan (kecuali di beberapa sekolah tertentu sahaja) demi pembelajaran anak-anak mereka.

Terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki di sekolah-sekolah kebangsaan di mana saya berpendapat, guru-gurunya telah dibebani dengan pelbagai tugas yang membantutkan tugas utama mereka, yakni MENGAJAR matapelajaran. Oleh itu saranan KEMPEN SSS supaya kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara amatlah bertepatan dan kena pada masanya.

Berbalik kepada kegiatan kokorikulum (sukan) di sekolah-sekolah kebangsaan.

Saya rasa tidak menjadi suatu masalah yang besar kepada kerajaan untuk menyediakan suatu bentuk peruntukan bagi membolehkan pihak-pihak sekolah kebangsaan menyediakan jurulatih-jurulatih khusus bagi setiap kegiatan kokorikulum (sukan) yang ditawarkan di sekolah masing-masing.

Pihak sekolah akan menyediakan kemudahan-kemudahan (yang memangpun sedia ada) seperti bilik latihan, padang bola, perkakas latihan dsb bagi jurulatih-jurulatih yang di ‘sub-let’ kan bagi melatih murid-murid sekolah.

Di samping ianya meringankan beban guru-guru yang sepatutnya menumpukan perhatian untuk mengajar, cadangan ini juga dapat menyemarakkan lagi pertumbuhan jurulatih-jurulatih profesyenal yang selama ini hanya bergantung sumber pendapatan daripada ibubapa-ibubapa yang mampu mengeluarkan belanja. Ini juga memberi peluang kepada mereka-mereka yang mempunyai kelayakan melatih, tetapi tidak mampu memulakan ‘bisnes’ melatih secara profesyenal apabila kemahiran mereka diperlukan melalui skim ini yang boleh di adakan di sekolah-sekolah kebangsaan seluruh negara. Ibubapa pun akan berpuas hati kerana di sekolah-sekolah pun, latihan profesyenal bagi kegiatan sukan boleh disediakan. Tidak payah lagi membahagi masa untuk menyertai latihan profesyenal di pusat-pusat latihan swasta. Dengan cara ini bakat-bakat sukan dapat dicungkil dan dikenalpasti di sekolah lagi di mana ianya boleh di asah secara lebih khusus lagi bagi melahirkan bintang-bintang sukan negara. Sekarang ini, nampaknya bintang-bintang sukan ini hanya mampu dikenalpasti melalui ibubapa-ibubapa yang berkemampuan serta berpeluang untuk menghantar anak-anak mereka dipusat-pusat latihan swasta tertentu. Mampukah Datuk Nicol David ditonjolkan sekiranya ibubapa beliau bukanlah terdiri kalangan mereka-mereka yang berada?

Kalau sekiranya kerajaan dapat menyediakan peruntukan sehingga RM100juta lebih untuk program Permata, tak kanlah perntukan seumpamanya bagi program kokorikulum (sukan) disekolah-sekolah kebangsaan tidak dapat disediakan? Melalui program ini, guru-guru akan dapat menumpukan lebih perhatian kepada tugas mengajar, murid-murid akan mendapat latihan kokorikulum yang lebih profesyenal sehingga mampu mengenal pasti bakat-bakat terpendam secara lebih meluas yang suatu masa nanti mampu mengharumkan nama negara di arena antarabangsa, ibubapa akan lebih gembira menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah-sekolah kebangsaan dan akhir sekali tiada sebab lagi bagi mempertahankan kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara ini.

Sekian terima kasih.

Salam hormat,

Pengunjung dan Pembaca Blog Kempen SSS.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: