Bahasa Dan Nilai Komersil

24 01 2011

Petikan dari laman Cikgu Taufiq – BAHASA ITU INDAH

ISU BAHASA : Kita tak patut malu naikkan nilai komersial bahasa Melayu

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu : Salah satu usaha Kementerian Pengajian Tinggi mengantarabangsakan bahasa Melayu

Oleh : Kamal Shukri Abdullah Sani

MASIH ada pihak khususnya mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan percaya dongeng bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak mempunyai nilai ekonomi. Justeru, ia tidak digunakan bagi tujuan komersial seperti dalam iklan, urusan perniagaan atau perdagangan, sama ada pada peringkat dalaman mahupun antarabangsa. Benarkah kenyataan ini?

Sejarah membuktikan bahawa di alam Melayu atau kepulauan Melayu di Nusantara ini, bahasa Melayu digunakan sejak berabad-abad lamanya oleh ramai pedagang yang berurusan di sini, sama ada dari Eropah, China, India, Portugis dan Belanda dalam perdagangan rempah-ratus, pakaian, herba, ubat-ubatan, makanan dan sebagainya.Mengimbau sejarah Melaka sebagai empayar perdagangan suatu ketika dulu bukanlah untuk tujuan nostalgia, tetapi mengambil pengajaran mengapa Melaka maju sebagai pusat perdagangan dan bahasa Melayu berkembang dengan penggunaannya sebagai bahasa perdagangan di samping bahasa perhubungan diplomatik.Bagaimana bahasa mendapat nilai yang tinggi? Tidak lain dan tidak bukan apabila penuturnya sendiri menggunakannya pada waktu dan tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar, di kaki lima atau digunakan sehingga di gedung ternama, hotel, mesyuarat, persidangan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Mengambil contoh mudah, suatu ketika dulu, ulam-ulaman seperti ulam raja dan pegaga hanya tumbuh di bawah tangga rumah di kampung. Tidak ramai yang mencari petai, jering, pucuk paku, air kelapa muda, mengkudu, durian belanda, kacip fatimah, tongkat ali, daun serapat atau daun sirih.

Kini semua ulaman itu menjadi hidangan hingga ke hotel terkemuka. Kajian membuktikan khasiat tertentu seperti mengkudu dan sirih menyebabkan ramai yang bersedia membeli jus mengkudu sekalipun harganya mencecah puluhan ringgit di samping minuman herba tempatan yang sudah dikomersial dan menjadi industri menguntungkan.

Tetapi kini keadaan sudah berbeza. Jika kita sendiri yang menetapkan bahawa bahasa Melayu hanya boleh digunakan ketika makan di kafeteria atau di pondok pengawal dan tidak boleh digunakan dalam mesyuarat syarikat, brosur, iklan atau bungkusan produk, maka kitalah yang sebenarnya merendahkan nilai ekonomi bahasa itu.

Bahasa itu lengkap dengan laras dan istilahnya untuk digunakan. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana ‘memandulkan’ keupayaannya dengan menetapkan secara paksa akan had penggunaan bahasa itu sedangkan keupayaan bahasa itu jauh menjangkau lebih daripada itu, malah sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa ilmu.

Kitalah yang perlu menetapkan nilai ekonomi yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan dengan menunjukkan keutamaan penggunaan jenama produk, iklan, pembungkusan dan pengumuman.

Dalam satu pertemuan berkaitan pelaksanaan bahasa kebangsaan baru-baru ini, penulis dimaklumkan bahawa sebuah bank perdagangan asing di Malaysia turut menggunakan bahasa Melayu dalam urusannya.

Tentulah ini sesuatu yang amat membanggakan berbanding cerita yang ironi mengenai sebuah bank tempatan yang dikatakan enggan memberi nilai ekonomi terhadap bahasa kebangsaan sendiri.

Mungkin kita tidak perlu risau dan dapat menerima jika cuma beberapa kerat saja yang berjenama asing, tetapi malangnya ketara sekali yang berjenama asing itu terlalu berleluasa sehingga menenggelamkan jati diri kebangsaan.

Selain jenama produk yang sememangnya milik rangkaian antarabangsa, sepatutnya yang lain perlu memaparkan citra dan jati diri kebangsaan negara ini dan kita tidak perlu berkompromi lagi selepas usia kemerdekaan negara mencapai 53 tahun.

Jika dibiarkan, kita percaya status sedia ada akan berterusan buat selama-lamanya. Justeru, usaha secara lembut dan diplomasi perlu digantikan dengan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi sektor awam mungkin tidak banyak masalah kerana mereka terikat peraturan, tetapi tetap ada ruang yang perlu ditambah baik.

DBP juga perlu memastikan penguatkuasaan semula peraturan mengembalikan surat urusan rasmi pejabat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, seperti yang pernah dilakukan ketika Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail menerajui DBP suatu ketika dulu sebagai pengajaran agar bahasa kebangsaan tetap diutamakan dan dihormati.

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)


Actions

Information

3 responses

25 01 2011
Wak Segen

Some wrote this in Tun’s blog..
Don’t have to publish here if not relevant…but please rebut..
Wak Kurang pintar nak jawab dia..
Wak
By L_JAuthor Profile Page on January 25, 2011 10:05 AM

Tun,

Kewujudan sekolah2 Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah di Malaysia ialah suatu kebetulan sejarah dan suatu syarat (penjajah) prajadian kermerdekaan, serupa seperti kehendak penjajah bahawa kewarganegaraan termesti dikurniakan ke atas orang bukan Melayu yang duduki di Semenanjung pada waktu sebelum Merdeka.

Jadi ia bukan, seperti mana yang dijerit2kan selama ini oleh Tun dan UMNO, suatu hadiah yang dikabulkan oleh orang Melayu dan UMNO.

Itu hakikat dan kebetulan sejarah. Apakah boleh UMNO selepas Merdeka menukar keadaan tersebut tanpa persetujuan parti2 Cina dan India dalam Perikatan/BN? Itu memang mustahil, kerana teras pimpinan MIC & MCA merupakan mereka yang kukuh kepada pendidikan vernakular dan yang menang kerusi2 mereka atas janji memperjuangkan untuk bahasa ibunda mereka.

Jika Tun dan UMNO berani “menasionaliskan” keadaan sedia ada, itu akan menjadi suatu revolusi politikal.

Secara kesimpulan, hujah saya sungguh mudah, yakni kewujudan sekolah2 Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah di Malaysia ialah suatu kebetulan sejarah dan diberikan oleh penjajah dan bukan, seperti yang dicanangkan oleh Tun & UMNO bertubi2 kali sejak revolusi pos-1969, suatu hadiah yang dikabulkan oleh orang melayu atau UMNO.

Dalam konteks ini, soalan adakah keadaan ini unik kepada Malaysia adalah tidak penting (dalam pepatah Bahasa Inggeris “neither here nor there”).

Salam,

LJ

26 01 2011
SSS Admin

Terima kasih atas muatan komen Wak Segen di sini.

Kami bercadang untuk memuatkan sebuah artikel tidak lama selepas ini untuk menunjukkan bahawa SRJK adalah sebenarnya menyalahi undang-undang negara. Masalah pertumbuhan sistem vernakular ini adalah kerana perlaksanaan undang-undang/ Perlembagaan negara tidak dipertegaskan oleh pemimpin hingga kini, malah lebih buruk lagi pemimpin sendiri telah membelakangi Perlembagaan dalam hal ini.

Malaysia telah tertubuh dengan Perlembagaan yang sedia ada maka tidaklah logik untuk mengatakan bahawa SRJK ini adalah anugerah British ataupun kebetulan sejarah. Kalau begitu, sudah pasti artikel Perlembagaan (terutamanya Perkara 152 dan akta Bahasa) bersabit dengan hal ini tidak akan wujud.

Ianya bukan anugerah British tetapi sebenarnya masalah kolonial British apabila mereka meninggalkan bumi ini. Mereka telah meniggalkan masalah buruh-buruh cina & india yang mereka impot untuk mengaut hasil bumi ini kerana orang-prang Melayu dan Bumiputera tidak rancak menolong mereka mengaut kekayaan bumi di lombong-lombong bijih dan ladang-ladang getah. Pihak British tidak mahu mengambil buruh-buruh impot ini ke negara mereka dan buruh-buruh ini tidak pula mahu pulang ke negara asal masing-masing semasa peninggalan British.

Orang Melayu dan Bumiputera telah memberikan penyelesai yang amat bermakna bagi British dan buruh-buruh ini apabila menerima mereka sebagai warga negara dengan bersyarat (terutamanya Artikel 153 Perlembagaan) di samping perkara-perkara yang melibatkan Bahasa Kebangsaan, Raja-Raja Melayu, adat resam, budaya Melayu sebagai teras dsb.

Malangnya, akibat tiada ketegasan, ianya memberi suara yang semakin lantang terhadap orang-orang cina (terutamanya) dan india untuk menekan kerajaan dalam isu kewujudan sistem vernakular ini.

Hanya Malaysia, yang merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempertahankan sistem vernakular, suatu tindakan yang tidak dilakukan oleh negara-negara lain di dunia ini. Mereka-mereka yang mempertahankan sistem ini akan memutarbelitkan soal “pengajian bahasa-bahasa lain (bahasa ibunda)” dengan isu “bahasa pengantar (bahasa kebangsaan)”, seperti yang ditulis oleh Tun Mahathir dalam artkel terbaru beliau.

Salam Sejahtera.

26 01 2011
SSS Admin

Saudara Wak Segen,

Artikel yang kami maksudkan, sekiranya tiada apa-apa aral, akan kami terbitkan dalam masa sehari dua lagi selepas ini.

Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: