Dasar Pendidikan Yang Tunggang Langgang

3 02 2011

Kerajaan pimpinan DS Najib, di mana TS Muhyiddin adalah Menteri Pelajarannya, begitu prihatin terhadap desakan/aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pelajaran Bahasa Melayu, YAKNI BAHASA KEBANGSAAN NEGARA INI, yang mahukan guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular adalah terdiri dari guru-guru yang mahir berbahasa ibunda. Pantang ada aduan dari masyarakat bukan melayu yang melibatkan sekolah vernakular, yang sebenarnya HARAM di sisi undang-undang negara, kerajaan terus bergegas memenuhi tuntutan mereka, biarpun tuntutan tersebut membelakangi atau menidakkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Kerajaan melalui Menteri Pelajarannya, akan terus memenuhi kehendak ini bagai menatang minyak yang penuh. Apakah pernah desakan ataupun aduan dari pihak-pihak di sekolah Kebangsaan dilayan sebegini rupa oleh Kerajaan?

Adalah jelas, dalam membuat desakan mereka ini, masyarakat bukan Melayu berkenaan telah mengutamakan bahasa ibunda masing-masing MELEBIHI Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu di mana guru yang mengajar diperlukan untuk mahir dalam bahasa ibunda dahulu dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu. Adalah amat tidak masuk akal apabila Kerajaan tunduk kepada desakan sedemikian rupa kerana Kerajaan sanggup membelakangi Bahasa Kebangsaan sendiri (juga bermakna membelakangi Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa) dalam memenuhi tuntutan ini. Kerajaan, dalam hal ini, boleh dianggap sebagai pengkhianat Bahasa Kebangsaan sendiri.

Walaupun terdapat dasar kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu yang digubalkan pada tahun 2000 lagi, tetapi dasar ini tidak pernah dilaksanakan. Hanya Kerajaan hari ini saja mengarahkan supaya dasar ini dilaksanakan mulai tahun 2011. Dasar ini memberi penekanan kepada guru dwibahasa di mana pembelajaran mata pelajaran bahasa ini dikendalikan melalui KAEDAH PENTERJEMAHAN.

Seperti yang dinyatakan Prof. Teo Kok Seong, kaedah penterjemahan ini adalah tidak berkesan jika dibandingkan dengan KAEDAH LANGSUNG, di mana kaedah langsung akan memerlukan seseorang pelajar itu berfikir dalam bahasa yang hendak dipelajari itu. Seseorang itu akan berfikir SEBAGAI SEORANG RAKYAT MALAYSIA, bukannya sebagai seorang rakyat cina atau india, apabila mempelajari bahasa Melayu melalui kaedah langsung ini. Ini adalah baik untuk pembinaan negara yang benar-benar beridentitikan Malaysia.

Guru-guru dwibahasa yang akan mengajar matapelajaran bahasa Melayu melalui kaedah penterjemahan ini akan secara tidak langsung meletakkan status bahasa Melayu SEBAGAI BAHASA ASING di bumi Malaysia sendiri! Pemikiran seperti ini akan ditanam di dalam setiap benak pelajar-pelajar tersebut yang akan melihat Melayu itu adalah BAHASA ASING di bumi sendiri. Sila hayati tulisan Prof. Teo Kok Seong di bawah ini.

Betapa kerajaan pimpinan DS Najib dan Menteri Pelajaran, TS Muhyiddin, begitu TUNGGANG LANGGANG dalam cuba memenuhi tuntutan kaum bukan Melayu, biarpun tuntutan mereka itu akan menjadikan Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan) sebagai bahasa asing di bumi sendiri, memporak-perandakan pembinaan negara melalui slogan, “SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA“. Tidakkah DS Najib dan TS Muhyiddin Yasin berasa bersalah terhadap bangsa dan negara dalam begitu melayani tuntutan-tuntutan masyarakat bukan Melayu begitu rupa? Sudahlah sekolah vernakular yang bermati-matian dibela oleh kerajaan adalah, pada hakikatnya, merupakan SEKOLAH HARAM, kini tuntutan bahasa asing pula dilayan walaupun ianya akan menghancurkan bahasa kebangsaan negara ini. Tidakkah ini merupakan suatu tindakan pengkhianatan terhadap nusa dan  bangsa?

Artikel di bawah ini dipetik dari laman Cikgu Taufiq – BAHASA ITU INDAH.

ISU BAHASA : Apabila Bahasa Melayu diajar guru dwibahasa

Oleh Teo Kok Seong (teokok@ukm.my)

Sistem pendidikan, kurang pergaulan kekangan penguasaan

DASAR mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan yang digubal pada 2000, yang didakwa sesetengah pihak tidak pernah dilaksanakan, kini akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011. Dasar ini mengkehendaki mata pelajaran wajib ini diajar guru dwibahasa, iaitu mereka yang mahir dalam bahasa ibunda masing-masing dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu.Penguatkuasaan dasar ini mulai 2011 antaranya adalah ekoran aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular yang masih diajar guru yang tidak mengetahui bahasa Mandarin dan Tamil. Untuk ini, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan bahawa guru mengajar mata pelajaran ini khususnya kepada pelajar tahap satu dan dua hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh berbahasa Mandarin atau Tamil, selain bahasa Melayu. Mereka juga perlu mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Pelajar tahap tiga sehingga enam pula hendaklah diajar guru yang bidang pengkhususannya adalah bahasa Melayu. Untuk sekolah vernakular yang mempunyai bilangan pelajar kecil, mata pelajaran ini hendaklah pula diajar guru dwibahasa berpengalaman dan mereka ini perlu memiliki kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap SPM.

Dengan penekanan menggunakan guru dwibahasa, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dikendalikan melalui kaedah penterjemahan. Kaedah ini adalah pendekatan tradisional dan popular pada abad ke-19. Walaupun begitu, kaedah ini adalah pendekatan dominan dalam perkaedahan pendidikan bahasa pada awal zaman moden ini.

Namun hanya segelintir pendidik mendapatinya masih sesuai dengan keperluan pelajar dan kebahasaan semasa. Sebaliknya, ramai guru bahasa mendapati kaedah ini tidak banyak membantu pelajar menguasai bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.

Pendidikan bahasa yang tidak menggunakan bahasa ibunda pelajar dan mereka digalakkan berfikir dalam bahasa yang sedang dipelajari itu adalah pendekatan dikenali sebagai kaedah langsung. Melalui kaedah ini, tidak ada usaha menterjemah sebarang apa diajar dan dipelajari itu. Dengan ini, pelajar diajar segala kemahiran berbahasa berdasarkan situasi bahasa berkenaan dengan serealistik yang mungkin dalam bilik darjah.

Kaedah ini sangat diminati dan pelbagai kelainan berkembang daripada yang asal. Oleh sebab diajar oleh guru yang dilatih khas, pelajar didapati bukan saja berjaya menguasai sistem nahu bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Tetapi yang lebih penting ialah mereka didapati berjaya menguasai sebutan dan intonasi bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.

Semua ini kurang berjaya digarap menerusi kaedah penterjemahan. Ini antaranya kerana pemilihan guru amat bergantung kepada mereka yang cekap berbahasa ibunda, walaupun tidak dilatih khas untuk mengajar sesuatu bahasa itu. Oleh itu, mutu pendidikan bahasa yang sedang dipelajari itu, sering didapati tidak sebaik yang dikendalikan melalui kaedah langsung.

Persoalan lebih penting mengenai dasar ini ialah bukan mengenai kaedah pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular, tetapi implikasi desakan menggunakan kaedah penterjemahan sebagai satu-satunya pendekatan berkesan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar Cina dan India yang baru memasuki alam persekolahan formal.

Dengan penggunaan kaedah penterjemahan, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan diajar dan dipelajari sebagai bahasa asing oleh rakyat Malaysia sendiri di bumi Malaysia ini, iaitu tanah tumpah darah mereka. Perkara ini bukan saja pelik tetapi menyedihkan, selain sangat memalukan sehingga boleh menjejaskan imej negara dari segi kebahasaan di mata masyarakat luar.

Bahasa Melayu adalah bahasa negara di Malaysia. Sebagai bahasa negara, sama ada dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi, ekologi linguistiknya cukup agam dan banyak sekali.

Ia dituturkan di seluruh pelosok negara dan kedengaran di media elektronik pada setiap masa sepanjang hari. Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah bahasa fungsional di negara ini, iaitu digunakan meluas, selain amat penting untuk kebanyakan tujuan.

Dengan kepentingannya yang begitu utama sifatnya, mengapakah anak kecil ini tidak disediakan ibu bapa mereka melalui persekitaran bahasa Melayu yang begitu lawas di bumi watannya, untuk menguasai bahasa Melayu secara tidak formal, sebelum menjejak kaki ke sekolah?

Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu gagal disanjungi banyak pihak sebagai memiliki status kudus apabila didaulatkan sebagai bahasa negara.

Ia dianggap mereka ini sebagai bahasa etnik kaum Melayu semata-mata, yang dipaksakan penguasaan kepada kaum bukan Melayu. Tanggapan begini salah sama sekali dan perlu diperbetul segera agar penghormatan kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara itu, mendapat sanjungan yang khalis sifatnya oleh semua pihak dan tidak yang sebaliknya.

Sehubungan ini, pada satu pihak lain, masyarakat Cina dan India tidak pun kedengaran mendesak agar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah vernakular juga diajar guru dwibahasa, seperti yang berlaku pada bahasa Melayu. Ini adalah kerana ibu bapa membuat persediaan awal secara tidak formal, agar anak mereka didedahkan kepada bahasa antarabangsa ini, melalui ekologi linguistik bahasa Inggeris yang ada di negara ini.

Pendedahan yang kurang dan dalam sesetengah kes tiada langsung terhadap bahasa Melayu, rata-ratanya diakui sebagai sebab utama keperluan kaedah penterjemahan ini digunakan untuk pendidikan bahasa Melayu pada peringkat permulaan di sekolah vernakular.

Sehubungan ini, apakah yang sudah berlaku kepada kurikulum pendidikan bahasa dan pergaulan secara formal antara anak bukan Melayu dengan Melayu ketika bersama-sama di institusi pendidikan prasekolah yang boleh memberi pendedahan awal itu?

Sesungguhnya pendidikan bahasa dan pergaulan ini tidak pernah wujud secara berleluasa. Sistem pendidikan pelbagai aliran diamalkan di negara ini. Melalui sistem begini, semenjak usia muda lagi, kanak-kanak sudah dididik melalui bahasa ibunda secara dominan dan untuk bergaul sesama sendiri daripada kelompok sebangsa saja.

Sehubungan ini, pergaulan secara tidak formal antara kanak-kanak daripada pelbagai bangsa dalam kejiranan sama juga tidak wujud di kebanyakan tempat. Tidak dapat dinafikan pergaulan semasa pada peringkat prasekolah dan dalam kejiranan sama, selain dapat memupuk semangat muhibah yang penting untuk menjalin perpaduan, sudah tentu penting dalam memberi pendedahan awal itu, selain membantu anak bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara tidak formal.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/


Actions

Information

One response

5 02 2011
Bahasa dan Patriotisma « Kempen SSS

[…] lanjutan kepada artikel yang di terbitkan sebelum ini, “Dasar Pendidikan Yang Tunggang Langgang“, kami terbitkan semula di bawah ini artikel  dari laman Cikgu Zul – BAHASAKU GLOBAL […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: