Bahasa dan Patriotisma

5 02 2011

Sebagai lanjutan kepada artikel yang di terbitkan sebelum ini, “Dasar Pendidikan Yang Tunggang Langgang“, kami terbitkan semula di bawah ini artikel  dari laman Cikgu Zul – BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL yang membincangkan isu bahasa kebangsaan negara ini dan tahap kepenggunaannya oleh sebahagian dari yang kononnya bergelar “rakyat” bukan-Melayu.

Soal penggunaaan bahasa kebangsaan di mana-mana negara di dunia ini pun akan berkait rapat dengan soal patriotisma terhadap negara itu sendiri. Orang Amerika menggunakan bahasa Inggeris Amerika dalam hidupan seharian mereka. Begitu juga orang Jerman, Britain dan lain-lain negara di dunia termasuklah rakyat Negara Komunis China yang menggunakan bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan mereka.

Negara ini telah menggunakan dasar pendidikan yang tunggang langgang di mana benih patriotisma telah TIDAK DISEMAI dengan sewajarnya kepada anak-anak bangsa apabila secara tidak langsung ianya memberi lebih keutamaan kepada bahasa kedua (Inggeris) dan juga bahasa Mandarin daripada bahasa kebangsaan sendiri, iaitu bahasa Melayu. Contohnya, untuk lulus bahasa Inggeris, para pelajar juga disyaratkan lulus ujian lisannya. Tetapi syarat ini pula tidak dilaksanakan untuk lulus bahasa Melayu. Sila baca juga perenggan terakhir artikel yang dipetik dibawah ini.

Apabila disyaratkan guru-guru bahasa Melayu MESTI fasih bahasa Mandarin dan Tamil DAHULU, baru fasih bahasa Melayu (rujuk artikel sebelum ini) untuk mengajar bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah HARAM, apakah ini membayangkan “patriotisma” itu sendiri dalam dasar Pendidikan Negara? Mereka sendiripun TUNGGANG LANGGANG dalam menyebut bahasa Mandarin dan bahasa ibunda kerana bahasa Mandarin itu ADALAH BAHASA RASMI NEGARA CHINA KOMUNIS dan bahasa ibunda yang begitu tegar digunakan oleh yang konon bergelar “rakyat” negara ini adalah bukannya bahasa Mandarin, tetapi tionghua, cantonese dan sebagainya. Kerajaan dan Kementerian Pelajaran seolah-olah di TIPU HIDUP-HIDUP dalam penggunaan bahasa ibunda dan bahasa Mandarin di negara ini yang memudaratkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

ISU BAHASA : RAKYAT PATRIOTIK PATUT BANGGA BERTUTUR DALAM BAHASA MELAYU

Rakyat  bukan Melayu negara ini, khususnya yang berketurunan Cina begitu sensitif apabila ada pihak yang mempersoalkan semangat patriotisme mereka atau kesediaan mereka menjadi rakyat yang memiliki jati diri terhadap negara ini. Lantaran itu, pernahkah mereka bertanya pada diri sendiri kenapa masih ada orang Melayu yang sangsi terhadap pendirian sesetengah daripada mereka. Saya hanya mahu ajukan satu persoalan saja. Apakah semua mereka yang mengakui sebagai warga negara ini tahu apa itu jati diri sebagai rakyat Malaysia? Bolehkah sesetengah daripada mereka menunjukkan sikap bahawa mereka menerima sepenuhnya jati diri itu yang antaranya menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan menghayatinya?

Kenapakah sehingga kini pun masih terdapat pelbagai puak yang sengaja memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu hingga ada yang tidak langsung menunjukkan rasa menghormati kepada bahasa kebangsaan negara yang mereka sendiri akui sebagai tanah tumpah darah mereka?  Persoalannya ialah kenapa selepas 53 tahun merdeka pun masih ramai tidak mengambil kisah penggunaan bahasa kebangsaan negara ini? Sebagai warga negara yang taat setia, mereka sepatutnya berbangga dengan bahasa kebangsaan negara mereka sendiri. Apa kesetiaannya kalau bahasa kebangsaan negara sendiri pun mereka tidak berusaha mempelajari dan menggunakannya. Bahasa Melayu yang mereka pelajari di sekolah Cina pun hanyalah untuk lulus peperiksaan saja. Selepas menduduki peperiksaan, mereka terus melupakannya dan langsung tidak bertutur dalam bahasa Melayu. Maka itu, Kementerian Pelajaran patut mulai tahun ini menetapkan semua pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan lulus ujian lisan seperti ditetapkan untuk Bahasa Inggeris.


Kalau mahu lulus Bahasa Inggeris, pelajar dikehendaki juga lulus ujian lisan bahasa Inggeris, kenapa ujian demikian tidak boleh diadakan untuk bahasa Melayu juga? Kini ramai di antara mereka memberi alasan usaha kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk terus mengabaikan bahasa Melayu. Kenapa demikian? Penguasaan bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan pengabaian bahasa Melayu. Seperti yang pernah dinyatakan Prof Dr Teo Kok Seong dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, bahawa bahasa adalah medium untuk meningkatkan perpaduan dan semangat nasionalisme. “Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita dan diperkenalkan demikian ke persada dunia. Walaupun dalam masa sama kita pelajari bahasa Inggeris, ia bukanlah bertujuan mengetepikan bahasa Malaysia,” katanya.  Apakah keadaan ini yang menyebabkan akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu saja? Edaran akhbar Melayu kepada orang bukan Melayu tidak sampai lima peratus pun dari jumlah keseluruhan edarannya dengan hanya dua peratus dibaca orang Cina dan tiga peratus orang India.


Apakah kesimpulan yang kita boleh buat dari perkembangan akhir-akhir ini hinggakan risalah iklan pelbagai barangan dan pembinaan rumah hanya diadakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Seperti juga sesetengah kopitiam yang dilanggan orang Melayu pun tidak menghormati bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja di kedai-kedai itu. Apakah mereka bukan beroperasi di Malaysia? Apakah jati diri mereka sebagai rakyat negara ini? Salahkah kalau orang Melayu beranggapan bahawa ada orang Cina sememangnya tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kita tidak pula persoalkan malah jauh sekali mahu menyekat mereka mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda mereka. Tetapi dalam mereka berterusan menggunakan bahasa ibunda tidakkah mereka boleh berusaha dan menunjukkan kesungguhan mahu mendaulatkan juga bahasa kebangsaan negara ini? Apakah ini pun suatu kehendak yang melampau? Mereka ini begitu sensitif apabila semangat patriotisme mereka disangsikan tetapi sedikit pun tidak mahu berusaha mengguna dan faham bahasa Melayu?


Bilakah agaknya kita boleh mengharapkan keseluruhan rakyat keturunan Cina dan India akan bertutur dalam bahasa kebangsaan negara ini dalam perbualan harian mereka. Perkara ini adalah suatu kebiasaan di Indonesia yang mana rakyat berketurunan Cina akan bertutur bahasa Indonesia walaupun sesama orang Cina? Kita sudah merdeka lebih 53 tahun. Apakah kita perlu menunggu 50 tahun lagi baru dapat mengharapkan hal ini akan berlaku? Tetapi kalau kita lihat dari pelbagai tindak tanduk sesetengah mereka, lagi 100 tahun pun tentunya akan ada rakyat negara ini yang masih tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu. Mereka memberi alasan kononnya orang Melayu sendiri pun tidak bertutur bahasa Melayu. Ini sebenarnya tidak harus dijadikan alasan kerana sememangnya orang Melayu akan dapat bertutur bahasa Melayu pada bila-bila masa. Usaha kerajaan hendak menggalakkan bahasa Inggeris tidak seharusnya dijadikan alasan kenapa mereka tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu.


Buat masa ini pembelajaran bahasa Melayu sebagai subjek di sekolah Cina tidak diberikan penekanan. Mereka sebenarnya lebih mengutamakan bahasa Inggeris selain Mandarin. Sebab itulah guru yang mengajar bahasa Melayu dikehendaki juga tahu bertutur Mandarin. Anehnya syarat ini tidak pula dikenakan ke atas guru yang mengajar bahasa Inggeris. Mereka tidak perlu tahu berbahasa Mandarin. Kenapa guru bahasa Melayu didiskriminasikan demikian? Inilah yang patut direnungi kalau mereka benar-benar cintakan negara ini sebagai tanah tumpah darah sendiri.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 FEBRUARI 2011

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: