Yang Sepatutnya “Beransur-ansur” Kini Sudah Jadi Banyak “Bertolak Ansur”

4 03 2011

Sebuah artikel tulisan Faizal Riduan, “Memelayukan bahasa dan membahasakan Melayu”  yang dipetik dari KLPOS.com

“….Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa Penyata Razak bukan diperkasakan secara ‘beransur-ansur’ sebaliknya pemimpin Melayu terlalu ‘bertolak-ansur’ dan akhirnya ‘beransur-ansur’ peranan bahasa Melayu dikembirikan….”

Memelayukan bahasa dan membahasakan Melayu

01 Mar 2009 11:50PM

Oleh Faizal Riduan

IKLAN Deepavali Petronas baru-baru ini benar-benar menyentuh hulu hati saya sehingga menitis syahdu air mata bukan sahaja kerana mesej tersurat atau tersirat yang ingin disampaikan penajanya Petronas tetapi mungkin mesej ‘kebetulan’ tentang gambaran sebenar masalah bahasa di Malaysia. Iklan yang mengisahkan usaha seorang ayah, Macha dari keluarga India yang miskin di Ipoh dalam membesarkan anaknya Mahesh sehingga berjaya menjadi juruterbang.

Yang menyedihkan setelah setengah abad negara merdeka, bahasa yang digunakan antara kaum India dan Cina ini ialah bahasa Inggeris dan bahasa yang digunakan dalam sebuah keluarga India ini juga adalah bahasa Inggeris kecuali ‘appa’ yang jelas dalam sebutan bahasa Tamil. Sementara bahasa Melayu menepati realitinya hanya layak menjadi bahasa latar belakang perbualan ketika membersihkan pesawat itupun hanya 3 saat dari durasi iklan selama 181 saat!

Sayangnya iklan tempatan yang ditaja oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini tidak ubah seperti iklan kolonial yang pernah saya lihat di gedung pakaian yang berlatar gambar segak pegawai British dan pembesar India dengan tema “Presenting British Indian – An Era of Racism, Opprenssion, Injustice and Nice Outfits”!

Realiti sebenarnya, di negara India yang mengamalkan sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris tidak mampu melahirkan cerdik pandai elit India yang terfikir untuk mencipta periuk nasi automatik, traktor kecil ala-kubota, atau generator kecil atau motosikal kecil yang kesemuanya adalah penyelesaian untuk masalah Asia di mana India adalah penyumbang populasi penduduk ke-2 terbesar di Asia dan dunia. Sebaliknya semuanya dihasilkan oleh cerdik pandai Jepun yang terdidik dalam bahasa ibunda mereka.

Tetapi saya masih tidak faham mengapa sebahagian orang cerdik pandai seperti Datuk Dr S Vijayaratnam, Naib Presiden Gerakan mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengajar lebih banyak mata pelajaran terutamanya sains dalam bahasa Inggeris. Lainlah kalau cadangan itu dilontarkan oleh ‘orang kurang pandai’ seperti Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 yang boleh memberikan ucapan penghargaan “I sound like stupid if I speak in Malay”!

Sejujurnya dalam memperkatakan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak perlu lagi bercakap dengan suara perkauman apatahlagi dalam kerangka besar menjadi satu bangsa Malaysia dalam ‘Wawasan 2020’ yang tinggal hanya 11 tahun 1 bulan lagi. Kedudukan bahasa Melayu adalah bersifat supraetnik iaitu mengatasi batas etnik penutur asalnya yang walaupun secara harfiah namanya dikait-rapat dengan orang Melayu, hakikatnya bukan lagi bahasa mutlak orang Melayu sebaliknya adalah bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

Adalah satu pandangan yang sempit apabila melihat bahasa Melayu sebagai hak istimewa orang Melayu. Ini kerana hak istimewa orang Melayu adalah imbangan kepada penerimaan keturunan lain yang bukan bumiputera untuk menjadi rakyat negara ini sementara peruntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah proses pembinaan sebuah negara bangsa. Oleh yang demikian, kita perlu keluar dari hambatan psikologi dari batas bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu.

Jika satu masa dahulu, pada tahun 1947 All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang diasaskan oleh Tun Tan Cheng Lock yang kemudian turut mengasaskan dan menjadi Presiden pertama MCA boleh memilih nama ‘Melayu’ sebagai nama rupa bangsa dan kewarganegaraan bagi Tanah Melayu termasuk Singapura mengapa tidak pada hari ini setelah kita mendakap nikmat kebebasan dan kemerdekaan dengan orang Melayu sendiri mengetepikan faktor asal usul dan darah keturunan? Dan mengapa hari ini sebilangan daripada orang bukan Melayu mendakwa kemajmukan bahasa sebagai simbol perpaduan?

Tindakan kerajaan DAP di Pulau Pinang yang menokok-tambah penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil ke dalam papan tanda jalan atas nama ‘muhibbah’ sebenarnya akan membawa ‘musibah’ seperti tindakan mentornya PAP di Singapura yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi tiga bahasa lain iaitu Inggeris, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi. Bahasa Melayu akhirnya tertinggal dengan retorik gah sejarahnya sebagai bahasa kebangsaan bersumber dari zaman kerajaan Melayu Temasik!

Tetapi apa bezanya dengan tindakan Presiden MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu iaitu Dato’ Seri Ong Ka Ting pada 1 Januari 2004 yang membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan yang dikatakan tidak lagi diwajibkan pada papan perniagaan dan iklan?

Sebenarnya tiada bezanya baik DAP atau MCA mahupun Gerakan dalam memelayukan bahasa kebangsaan. Yang patut dibahasakan ialah orang Melayu yang terlalu banyak berkorban dari nama negaranya Tanah Melayu menjadi Malaysia. Pengorbanan elit Melayu dapat dilihat dari nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang merujuk dirinya sebagai UMNO dalam akronim bahasa Inggeris bahkan dieja dalam tulisan jawi “alif-mim-nun-wau” daripada akronim bahasa Melayunya sendiri – PEKEMBAR.

Jika dahulu Tun Haji Abdul-Rahman Ya’kub ‘menebal muka’ mengadap Presiden Suharto pemerintah Indonesia memohon mengirimkan guru-guru sains dan matematik ke Malaysia yang memulakan episod pertukaran aliran Inggeris kepada aliran kebangsaan dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan kemuncaknya penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dan pada tahun 1983 pula kursus tahun pertama di universiti dalam bahasa kebangsaan telah membuktikan bahawasanya bahasa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi maka apakah rasionalnya pemimpin Melayu menongkah arus sejarah dengan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris?

Salahkah Kongres Sejarah Malaysia II yang berakhir dengan 51 resolusi antara salah satunya berbunyi “untuk memantapkan teras pembinaan Malaysia negara bangsa yang merdeka… dihapuskan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (I(iv))” sedangkan inilah janji yang tidak dibayar semasa pilihanraya pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam manifesto yang turut menjadi antara kandungan kontrak sosial terawal “menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

Menurut Ibnu Khaldun dalam magnum opus-nya ‘Mukaddimah’, faktor bahasa selain budayalah yang dapat membina peradaban dan tamadun dalam sesebuah negara. Namun seperti kata Malik Bennabi seorang tokoh sejarah dan sosiologi dalam bukunya “Masalah Idea Dalam Dunia Islam” kegagalan negara bekas tanah jajahan Eropah dengan mengekalkan kesan penjajahan linguistik melalui bahasa penjajah sebenarnya telah mewujudkan gejala ‘bilingualisme’.

Kesannya boleh dilihat pada budaya ‘Seksyen’ di Shah Alam dan ‘Presint’ di Putrajaya adalah contoh mentaliti ‘jongkang-jongkit’ yang melonjakkan bahasa Inggeris dengan menekan bahasa Melayu sedangkan kedua makna tersebut terdapat istilah dalam bahasa Melayu sebagai ‘kawasan’. Barangkali mereka ini sebagai orang ‘bandar’ dan golongan elit Melayu merasakan istilah ‘kawasan’ sebagai bahasa bersifat ‘kekampung’ dan ‘kehuluan’.

Sebegitulah hampir sederet projek mega dinamakan dalam bahasa Inggeris yang berbelit dek lidah namun ‘catchy’ pada singkatannya seperti PWTC, KLCC, KL Central, KLIA, SIC, MSC termasuk yang terkini koridor ekonomi NCER, ECER, SDC dan SCORE. Apa yang perlu dihairankan sedangkan pembentangan kewangan negara dinamakan sebagai ‘bajet’ oleh Perdana Menteri sendiri sedangkan istilah yang betul ialah belanjawan.

Malah komplek mahkamah Putrajaya dinamakan sebagai ‘Place of Justice’, inilah warisan daripada legasi Common Law yang dibawa dari Britain sedangkan sebelum era penjajahan 1511 Melaka masih boleh berbangga dengan sejarah yang tidak kurang panjangnya dalam tradisi perundangan melalui Hukum Kanun Melaka yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456).

Sebelumnya, penjajah hanya berjaya  merendahkan martabat bahasa Melayu dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas  kepada bahasa setempat atau bahasa vernakular dengan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ melalui sistem pendidikan berasaskan kaum. Perencanaan jahat kerajaan Inggeris ini dirakam dalam dokumen rasminya yang memetik “Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, ilmu kira-kira, ilmu alam dan rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.” (Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898).

Kita kini tidak boleh lagi terus menyalahkan penjajah kerana setelah lebih 50 tahun kemerdekaan dengan kerajaan sendiri kita masih meneruskan legasi imprealis dan tidak mengidentitikan jati diri dan akar umbi Melayu itu sendiri. Selebihnya bahasa Melayu masih dapat bertahan berbanding dengan bahasa peribumi di Amerika Latin yang hilang melalui penjajahan Sepanyol dan Portugal adalah kerana tiada gangguan dalam sistem pendidikan negara secara total dan mandatori.

Tujuan Penyata Razak yang terkandung dalam perenggan 12 “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peratoran pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sa-bagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah di-perbuat dengan beransor-ansor.”

Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa Penyata Razak bukan diperkasakan secara ‘beransur-ansur’ sebaliknya pemimpin Melayu terlalu ‘bertolak-ansur’ dan akhirnya ‘beransur-ansur’ peranan bahasa Melayu dikembirikan. Sebab itulah Yang Mulia Tengku Razaleigh ketika membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dalam Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995 secara beremosi melihatnya sebagai usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak, ‘Bapa Pembangunan’ dan arkitek bangsa Malaysia.

Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa peribuminya menekankan peri pentingnya peranan satu bahasa kebangsaan dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa melalui dasar bahasa mereka “Americanism, they argue, loses something in the translation, while English offers the only key to the nation’s democracy, history and culture. Language thus becomes a literal shibboleth of nationality, a badge of true Americanism, and anything less than fluency in English – aforeign accent, let alone the maintainence of a minority tongue – is perceived to threaten national security and subvert the national ideal” (Dennis Baron, 1990).

Dasar bahasa terutamanya bagi negara pelbagai bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan daripada proses pembinaan negara bangsa. Agenda sosiopolitik ini boleh membentuk integrasi politik atau krisis politik jika perjuangan pelbagai bahasa ditakrif dalam kerangka perkauman sempit sebagaimana konflik antara kaum minoriti Tamil dengan kaum minoriti Singhalese di Sri Lanka, ancaman perpisahan antara kaum yang berbahasa Perancis di Quebec, Kanada dan ketidak-stabilan kerajaan Belgium yang silih berganti hanya kerana penggunaan bahasa Walloan atau bahasa Flemish.

Bagi orang bukan Melayu yang masih belum berasimilasi dengan kemerdekaan negara ini, kertas kerja Dr Ong Hok Ching wajib dibaca. Mereka boleh mengambil iktibar bagaimana orang Cina peranakan seperti Baba dan Nyoya yang membina jati diri dengan mengambil alih ciri-ciri budaya tempatan tanpa mengorbankan identiti dan jati diri asal warisan leluhur sebagai etnik Cina. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Malaka, mereka boleh melihat contoh India peranakan seperti Mamak yang kini boleh dilihat bertebar di mana-mana melalui rangkaian kedai makanan dan minuman mamak yang beroperasi 24 jam sehari!

Bagi orang Melayu yang masih belum beriman dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu maka tulisan Abdullah Munsyi pada tahun 1882 wajib diinsafi, “Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

* Pembaca yang ingin menulis diruangan Minda Pembaca ini bolehlah menghantar artikel, berita, rencana atau apa saja bentuk penulisan ke webmasterklpos@gmail.com. Siaran tertakluk kepada kelulusan dari pihak pengarang.


Kedudukan bahasa Melayu adalah bersifat supraetnik iaitu mengatasi batas etnik penutur asalnya


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: