Membina Identiti Kebangsaan

21 03 2011

Kami paparkan sebuah artikel yang menarik berkenaan identiti bangsa yang ditulis oleh Dr. Ridhuan Tee. Artikel ini juga telah diulas oleh VOICES AROUND, di sini.

Nota – “Boldface, underline” dan  >> capaian << adalah ditokok tambah kepada artikel asal.

Ikuti jejak adik Wee Soo Yen

Mingguan Malaysia 20 Februari 2011

Sejuk hati apabila melihat penerima tokoh Maulidur Rasul adik Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina daripada Kelantan kerana mendapat A subjek Bahasa Arab Komunikasi dan semua A subjek yang lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu. Apabila diwawancara, cara beliau berbahasa Melayu begitu fasih sekali.

Bertambah manis dan anggun berbaju kurung berselendang bersama ahli keluarganya. Langsung tidak kekok berakulturasi dengan budaya Melayu. Malangnya, ada segelintir daripada kita, mungkin ramai, apabila disyorkan supaya memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan, mereka melakukan protes tidak tentu pasal kerana takut diasimilasikan.

Sedangkan kita tahu ketika Tahun Baharu Cina, pemimpin Melayulah yang paling hebat menyepit, mengacau dan menghayun tinggi Yee Sang sehingga kelihatan lebih Cina dari Cina. Maaf, saya gunakan istilah ini kerana ada yang menuduh saya lebih Melayu dari Melayu, terutama pemimpin PAS Shah Alam yang sanggup merakamkan sidang video khas dalam you tube untuk mematahkan hujah artikel saya sebelum ini. Terima kasih atas publisiti itu.

Apa yang dilakukan Adik Soo Yen, pada saya, langsung tidak menggugat identiti kecinaannya. Adik Soo Yen tetap kaum Cina, seperti saya. Saya tidak pasti beliau boleh berbahasa mandarin atau tidak, tetapi saya yakin, majoriti masyarakat kita amat selesa dengan penampilannya. Inilah yang dikatakan 1Malaysia.

Walaupun saya tidak mengenai adik Soo Yen, dalam hati saya berkata jika ramailah rakyat Malaysia seperti beliau, sudah pasti kesepaduan sosial (social cohesion) mudah terjalin. Ini tidak, kita asyik berpolitik tidak pernah habis, mendesak dan menuntut dan seperti apa yang dibuat oleh persatuan Dong Zong minggu lalu.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwi bahasa. Inilah dilema sistem pendidikan >> Dasar Pelajaran Tahi Kucing << kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluar mati bapak, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Ada yang mengatakan kelunakan polisi dan dasar kerajaan ada kaitannya dengan soal undi dan pilihan raya. Kerajaan takut kehilangan undi bukan Melayu. Suka atau tidak, terima sahaja apa jua tuntutannya. Pegawai yang berada di kementerian berkaitan menjadi mangsa dan tertekan. Dari satu segi, memang ada kebenarannya, tetapi ditinjau dari sudut lain, inilah yang dikatakan keterbukaan kepimpinan negara untuk mencapai kesepaduan sosial.

Pada saya, apapun yang dilakukan, jangan sampai perlembagaan diketepikan, terutama soal bahasa kebangsaan. Jika adik Soo Yen boleh membuktikannya, saya tidak fikir orang lain tidak boleh atau terlalu sukar melaluinya. Tidakkah sepatutnya ia merupakan satu kebanggaan bangsa Malaysia?

Alasan kenapa kaunselor dan guru bahasa Melayu mesti mengusai dwi-bahasa cukup simplistik, pelajar sekolah vernakular tidak dapat memahami bahasa Melayu jika tidak diterjemahkan. Ini sudah tentu memberatkan mereka. Kesihan sungguh bahasa Melayu, selaku bahasa kebangsaan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak faham. Ini kerana, kita beranggapan di peringkat sekolah rendah, kita tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh mempelajari bahasa kebangsaan ini kerana bahasa ibunda lebih utama.

Sebelum ini mereka mendesak supaya kerajaan mengikhtiraf peperiksaan piawai yang dikenali sebagai Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) yang dikendalikan oleh mereka. Sesetengah pelajar di sekolah ini turut menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian. Program UEC dikendalikan oleh Dong Jiao Zong sejak tahun 1975.

Sijil UEC tidak diikhtiraf oleh Kerajaan Malaysia kerana tidak mematuhi kurikulum dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Sijil ini tidak melayakkan mereka untuk masuk kemasukan ke IPTA Malaysia. Namun, sijil ini diakui sebagai kelayakan kemasukan di beberapa universiti luar negara seperti Singapura, Australia, Taiwan, China dan sesetengah negara Eropah.

Isu Sekolah Persendirian Cina kerap menimbulkan kontroversi kerana Dong Jiao Zong terus menerus mendesak kerajaan Malaysia supaya mengikhtiraf sijil ini. Permasalahan ini dapat diselesaikan jika mereka mematuhi kurikulum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Tetapi mereka terus berdegil. Mereka sanggup bersusah payah mendapat pengikhtirafan antarabangsa, tetapi di dalam negara menggunakan taktik ugut dan ancam.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya kerajaan tegas dalam soal dasar. Tidak ada kompromosi. Langkah awal dengan menukar nama Sekolah Rendah kepada Sekolah Dasar, bersesuaian dengan makna Primary School dalam bahasa Inggeris, seperti yang dipraktiskan di Indonesia. Nama Sekolah Dasar lebih membawa signifikan yang perlu difikirkan bersama. Bila disebut Sekolah Dasar, membawa maksud kita mahu memupuk anak-anak bangsa kita memahami jati diri, mengerti asas-asas hidup bersama, dan menghayati dasar-dasar negara.

Jika sekolah dasar tidak diperkasakan masalah tidak akan selesai. Sebelum inipun, Dong Jiao Zong begitu kuat menentang hasrat kerajaan untuk menyeragamkan silibus bahasa Melayu di semua sekolah rendah. Untuk makluman, silibus Bahasa Melayu di sekolah vernakular lebih mudah berbanding dengan silibus Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan.

Alasannya adalah, pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan tidak boleh diberatkan lagi silibus Bahasa Melayu yang agak sukar seperti di Sekolah Kebangsaan. Pelajar-pelajar sekolah vernakular telah dibebankan dengan tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga.

Pengunjung blog saya melontarkan pengalaman dan luahan hatinya mengajar pelajar-pelajar sekolah vernacular. Katanya, majoriti pelajar ini tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu, juga bahasa Inggeris. Keadaan ini menjadi mereka merasa inferioriti kompleks. Ini menjadi pergaulannya terhad dan malu untuk bergaul dengan bangsa lain.

Pada beliau, jika orang Melayu ke sekolah vernacular, ia adalah satu kredit kerana mereka dapat belajar berinteraksi dengan bukan Melayu. Tetapi pelajar-pelajar sekolah vernacular hanya berinteraksi sesama mereka. Jika selepas ini mereka terus melanjutkan pengajian ke sekolah menengah vernacular dan universiti vernacular, bayangkan bagaimanakah bentuk manusia yang dilahirkan.

Justeru, kadang kala sukar golongan ini menjadi pemimpin peringkat negara walaupun mereka berwibawa. Mereka hanya diterima menjadi ketua persatuan perkauman dan mengemukakan tuntutan yang karut marut. Kita lihat sekarang inipun ramai ahli politik yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Bila didekati wartawan, kelam kabut menggunakan bahasa lain.

Benar, perjuangan bahasa Cina adalah antara rukun utama politik kaum Cina. Tetapi pasa masa sama, perlu juga menghargai toleransi dan sikap kerajaan yang begitu lunak selama ini. Janganlah terlalu mendesak sehingga apa juga tindakan kerajaan akan ditentang habis-habisan, walaupun sudah dirasionalkan. Kajian tidak dibuat secara serius tentang keberkesanan produk sekolah-sekolah vernacular ini, terutama dari segi kebolehan berbahasa dan interaksi dengan rakyat majoriti negara ini.

Justeru, saya meminta kerajaan supaya membuat kajian yang serius dan intensif tentang keberkesanan bahasa Melayu di sekolah vernacular dan produknya di kelas peralihan, supaya kita boleh bertindak berasaskan fakta, bukan berasaskan tuntutan dan desakan atau rayuan undi. Jika kementerian pelajaran tidak ada masa, kami selaku tenaga akademik boleh merentas kajian ini, tetapi sediakanlah dana yang mencukupi. Berdasarkan pengamatan awal, saya berani mengatakan ramai produk sekolah vernacular tidak boleh berbahasa kebangsaan. Jengoklah kelas beralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan di sekitar Ampang. Di sini kita boleh mendapat jawapan kajian preliminari.

Kajian sebegini amat penting kerana pada saat inilah masa yang paling penting untuk mendidik anak bangsa selaras dengan peri bahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pada sesetengah pihak biar mereka jahil bahasa kebangsaan tidak mengapa, asalnya mereka menguasai bahasa ibunda. Bila masalah ditimbulkan, masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Saling salah menyalah. Persoalan pokok tidak juga selesai.

Kita sebenarnya perlu belajar daripada adik Soo Yen yang mahu belajar bahasa lain, selain bahasa ibunda. Sama seperti orang Melayu yang ingin belajar bahasa Mandarin dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular. Persoalannya, sampai bilakah pelajar-pelajar sekolah vernakular akan terus kekal dengan kevernakularannya? Ini perlu difikirkan secara bersama. Gagasan 1Malaysia mahu kita melonggarkan sedikit sifat kevernakularan ini supaya masyarakat idaman (imagined society) dapat dilahirkan.

Artikel terbaharu Kua Kia Soong menuntut beberapa perkara berikut dilaksanakan dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia. Menghapuskan semua bentuk diskriminasi berasaskan kaum, menghapuskan parti politik berasaskan kaum, menggubal akta hubungan kaum dan menubuhkan suruhanjaya untuk memberi peluang samarata, perkhidmatan kerajaan mesti diwakili oleh semua kaum dan semua sekolah dilayan sama rata dari segi bantuan kewangan dan prasarana.

Cadangan ini agak baik, walaupun kita tahu makna yang tersirat disebalik. Tetapi sebelum dilaksanakan, buktikan dahulu bahawa kita lebih mengutamakan agenda nasional daripada agenda terlalu mementingkan bangsa. Barulah gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: