Sistem Pendidikan Yang Bercelaru

31 03 2011

Kami paparkan di bawah ini sebuah artikel yang ditulis oleh Kunta Kinte terbitan BERITA HARIAN, dan disiarkan juga oleh The Malaysian Insider pada 4 March, 2011. (pautan artikel ini)

Ramai yang menyuarakan pendapat yang serupa dan senada dalam menyentuh soal pembinaan negara. Sememangnya ia tidak boleh dinafikan bahawa usaha pembinaan negara ini amat berkait rapat dengan sistem pendidikan, di mana anak-anak bangsa dididik dalam soal kenegarawan sejak dari bangku sekolah lagi. “To build a nation, build a school” kata Tagore.

Pendapat-pendapat ramai ini juga dapat dirumuskan kepada satu rumusan, yang boleh disimpulkan dengan tepat kepada slogan “SATU BANGSA, SATU NEGARA DAN SATU BAHASA“, sebuah slogan yang unggul tercipta sudah sekian lama. Perdana Menteri kita pada hari ini, Dato Seri Najib haruslah menilai kembali konsep 1MALAYSIA nya, yang tidak menjiwai SATU BAHASA dan juga tidak akan mampu merealisasikan SATU BANGSA dan SATU NEGARA apabila konsep 1MALAYSIA yang didokong oleh Dato Seri Najib lebih banyak menekan kepada perbezaan daripada keseragaman.

Kita sedar akan masyarakat kita yang pelbagai, justeru itu segala usaha hendaklah dipadukan bagi mencari sebarang titik persamaan di mana masyakarat yang pelbagai ini akan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas yang seragam, bukannya pentas yang berbeda. Konsep 1Malaysia lebih mewar-warkan kepelbagaian yang kita ada lalu diciptakan slogan yang “bombastik” bunyinya padahal langsung dari segi praktikal ianya tidak mempunyai sebarang makna, seperti “Unity in Diversity” di mana dengan bahasa yang pelbagai (Bahasa Kebangsaan tidak didaulatkan dengan sewajarnya), bukannya SATU BAHASA, rakyat diharapkan untuk memahami antara satu sama lain.  Mudahkah orang ramai untuk memahami sama sendiri apabila masing-masing bertutur dengan bahasa masing-masing yang pelbagai itu? Apabila seseorang itu tidak memahami seseorang yang lain akibat dari pertututran bahasa yang berlainan, bagaimanakah seorang itu boleh bertoleransi? Usah mimpi untuk melahirkan bibit “penerimaan”, sedangkan dari awal lagi faham bahasa pun tidak.

Bagaimana pula SATU BANGSA dan SATU NEGARA akan terbentuk apabila Dato Seri Najib begitu tegar membela sekolah-sekolah vernakular yang berpaksi  kepada bahasa asing? Mandarin adalah bahasa kebangsaan negara Komunis Cina, sedangkan orang-orang keturunan cina di negara ini sendiripun tidak begitu mahir dengan bahasa Mandarin. Sistem pendidikan vernakular ini memang tidak diamalkan oleh negara-negara lain di dunia, kecuali negara Malaysia dibawah Dato Seri Najib. Bukan ini suatu perkara yang amat pelik?

Seharusnya Dato Seri Najib patut menilai kembali konsep 1Malaysianya yang begitu mengelirukan dari sudut pembinaan bangsa dan negara, malahan mencemarkan identiti negara ini sendiri. Seharusnya juga Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran memgambil berat dan  bertindak serius tanpa membuang masa lagi, daripada membiarkan sistem pendidikan negara ini menjadi semakin hari semakin memburuk dan celaru.

KEMPEN SSS menyeru agar Kementerian Pendidikan mengkaji kembali sistem pendidikan yang ada pada hari ini agar usaha-usaha pembinaan negara ini berada dilandasan yang betul.

Kesan negatif kecelaruan sistem pendidikan — Kunta Kinte

March 04, 2011

 

4 MAC — Minggu ini Kunta Kinte nak sentuh sikit mengenai sistem pendidikan kita. Mula-mula sekali kita tak boleh elak daripada mengaku yang sistem pendidikan kita ada baik dan buruknya.

Malah kalau kita fikir masak-masak, kita akan sedar iaitu dalam kebaikan ada keburukan dan dalam keburukan ada kebaikan.

Kita ambil sistem persekolahan. Kita ada sekolah kebangsaan yang bahasa pengantarnya Melayu. Kemudian kita ada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang utamakan bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil.

Tak cukup dengan itu, kita juga ada sekolah aliran agama (Islam) yang bagi keutamaan kepada bahasa Arab. Kemudian muncul pula sekolah swasta. Ada yang ikut kurikulum kebangsaan tapi utamakan bahasa Inggeris dan ada yang tak ikut sistem kebangsaan.

Kemudian kita ada sekolah antarabangsa yang mana ramai orang politik kita, termasuk menteri dan timbalan menteri, hantar anak mereka.

Kerana ada banyak jenis sekolah maka anak-anak kita daripada pelbagai kaum ada yang masuk sekolah kebangsaan dan mulalah bergaul sejak usia muda. Tapi yang masuk sekolah jenis kebangsaan hanya kenal kaumnya sendiri saja, melainkan sekolah jenis kebangsaan Cina yang besar-besar yang ada jugalah murid Melayu dan India.

Tapi yang pergi ke sekolah Tamil rasa-rasanya semuanya budak-budak India daripada keturunan Tamil. Ini kita kena faham pasal bukan semua orang India Malaysia keturunan Tamil, bercakap Tamil dan beragama Hindu.

Ada India keturunan Punjab (Punjabi), Bengal (Benggali), Kerala, Goa dan sebagainya. Ada juga yang datuk neneknya datang dari Sri Lanka atau Myanmar. Di kalangan mereka pula ada yang agama Hindu, Islam, Buddha dan Kristian.

Jadi tak betullah kalau kita kaitkan semua orang India dengan pertubuhan haram Pasukan Bertindak Hak Hindu atau Hindu Rights Action Force (HINDRAF). Seperti jelas daripada namanya, HINDRAF ini adalah pergerakan agama Hindu.

Kalau hari ini rakyat negara kita mudah dipanaskan oleh api perkauman, salah satu puncanya adalah sistem persekolahan yang pelbagai dan terasing ini.

Kunta Kinte mula sekolah pada zaman penjajah di sekolah Melayu. Semua budak-budak Melayu, kecuali sekerat dua budak-budak Siam. Budak-budak Cina pergi ke sekolah Cinalah.

Masa darjah lima, Kunta Kinte ambil Peperiksaan Masuk Darjah Khas Melayu (Special Malay Class Entrance Examination). Bila lulus masuklah ke sekolah mubaligh Roman Katolik Saint Michael Primary School di Alor Setar.

Dalam Darjah Khas Melayu 1 dan 2, kita diajar berbahasa Inggeris secara intensif. Guru kelas saya namanya Syed Salim. Dia garang tapi sangat baik hati dan tekun. Cakap sepatah saja bukan dalam bahasa Inggeris kena denda 15 sen. Aduhai, pada zaman itu, 15 sen sama besar dengan roda kereta lembu.

Jadi dalam masa dua tahun, budak-budak Melayu dari kampung dah boleh ‘speaking’ dan dinaikkan ke darjah enam. Kalau nak teruskan pelajaran ke sekolah menengah kena ambil Secondary School Entrance Examination untuk masuk form one (tingkatan satu). Lulus boleh masuk, tak lulus balik kampung atau masuk sekolah persendirian.

Tapi bila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenal pada penghujung 1960-an dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, ramailah budak-budak Melayu masuk sekolah menengah kebangsaan. Malahan budak-budak sekolah Inggeris pun dibagi pilihan untuk pindah ke sekolah menengah kebangsaan kalau mahu. Tapi tak ramai yang terima dan kami terus belajar di sekolah Inggeris.

Memanglah sistem pelbagai bahasa ini bagi peluang kepada kaum-kaum utama di negara kita belajar dan kekalkan identiti mereka. Tapi perhubungan mereka tidaklah mesra seperti yang belajar dalam satu kelas macam di sekolah kebangsaan atau di sekolah Inggeris zaman dulu.

Kalau hari ini ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum tidak kenal satu sama lain, kurang bertolak-ansur dan mudah dibakar api perkauman, salah satu puncanya adalah kerana mereka tidak disatukan dari awal lagi.

Kemudian kita juga abaikan mata pelajaran asas macam penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tulisan jawi dan akhlak.

Hari ini, maaf cakaplah, penguasaan bahasa Inggeris pelajar kita sangat lemah dan bahasa Melayu semakin hari semakin kelam-kabut. Dah jadi bahasa rojak, bahasa pasar dan bahasa jalanan.

Jangan cakap mengenai ‘bangsa Malaysia’, bahasa Melayu pun tidak lagi dijiwai oleh bangsa Melayu. Bahasa jiwa bangsa tak lebih daripada slogan untuk ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’.

Begitu daifnya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sehingga kita terpaksa adakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) selepas 50 tahun melaksanakan dasar bahasa. Kunta Kinte adalah hasil BBK. Pada 1966, Kunta Kinte wakili Kedah dalam pertandingan pidato pelajar di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah dapat nombor tiga.

Kemudian penguasaan bahasa Inggeris. Lepasan sistem pendidikan kebangsaan, kecuali di bandar-bandar besar dan di kalangan elit, tidak lagi mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, manakala penguasaan bahasa Melayu semakin hambar.

Jadi, Kunta Kinte mintalah kepada semua pihak iaitu dalam usaha hendak perkukuhkan semula pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, termasuk dengan bawa masuk guru bahasa Inggeris dari luar, kita jangan sekali-kali abaikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Memang betul bahasa Inggeris kini bahasa lingua franca dan bahasa teknologi utama dunia yang wajib kita kuasai, tapi kedaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jangan diabaikan.

Hari ini, bahasa Melayu semakin terumbang ambing. Ditikam oleh penjaganya sendiri dan dipinggirkan dalam proses pembangunan. Ada menteri Melayu depan khalayak Melayu pun dia berucap dalam bahasa Inggeris. Dia tak mohon izin lagi.

Hinanya bahasa Melayu. Apabila kampung Melayu Pantai Dalam dibangunkan menjadi penempatan moden pelbagai kaum namanya ditukar menjadi Pantai Hill Park. Siapa pemajunya? Syarikat Perumahan Negara milik kerajaan dan YTL Corporation.

Apabila rumah setinggan dan rumah pangsa Dewan Bandar Raya di Kampung Kerinchi dirobohkan dan pencakar langit dibina, namanya sekelip mata jadi Bangsar South. Apakah hina dan tak laku sangat kalau ditukar jadi Taman Bukit Pantai, Taman Kerinchi atau Bangsar Selatan?

Di manakah pejuang dan pelindung bahasa? Di mana agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab majukan Bahasa Kebangsaan dan yang berkuasa ke atas pemaju dan peniaga? Adakah bahasa Melayu hanya sesuai untuk kampung Melayu dan sinonim dengan kemunduran? Wallahualam. — Berita Harian


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: