Dasar Pemimpin Yang Menyalahi Perlembagaan

6 04 2011

Penerbitan semula artikel dari PANEH MIANG,

Dasar Pemimpin Yang Menyalahi Perlembagaan“.

PANEH MIANG©

Semasa menghadiri seminar yang disampaikan oleh seorang mantan hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini, saya telah memperolehi beberapa maklumat yang agak menarik. Seminar ini menjadi bertambah ‘paneh’ apabila disertai oleh beberapa orang hakim serta ramai pegawai kanan kerajaan yang turut terlibat dalam perbahasan. Topik yang dibincangkan mungkin bukan baru bagi saya atau bagi anda semua, tetapi inilah kali pertama saya diberi penjelasan yang sungguh terperinci mengenai undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Antara yang dibincangkan ialah berkenaan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang kurang diberi perhatian bukan sahaja oleh rakyat Malaysia bahkan juga oleh para pemimpin negara.

Perkara 152 adalah berkenaan Bahasa Kebangsaan atau National Language yang menyebut Bahasa Melayu lingua franca di Nusantara sebagai bahasa kebangsaan dan amat bersalahan jika dikatakan Bahasa Malaysia sebagaimana yang selalu disebut oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Dalam perlembagaan persekutuan hanya menyebut atau dinyatakan atau ditulis perkataan bahasa Melayu dan tidak ada satu bahasa lain yang tertulis atau dinyatakan secara jelas berbanding bahasa Melayu. Tiada dalam perlembagaan ditulis bahasa Mandarin, Tamil, Kantonis, Bajau, Murut atau mana-mana bahasa sekalipun dan bahasa tersebut hanya dirujuk dalam perlembagaan sebagai bahasa lain atau bahasa kaum lain.

Penekanan istilah atau aspek teknikal perkataan dan ayat dalam perlembagaan sebenarnya adalah amat penting sebelum pemimpin negara ini ingin merangka dasar yang hendak dilaksanakan terutama perkara berkaitan bahasa. Perkataan-perkataan dalam Perkara 152 (a) dan 152 (b) seperti “menggunakan”, “mengajar”, “belajar”, “penggunaan” serta “pengajian” adalah perkataan-perkataan untuk membezakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa lain yang terdapat di Malaysia (sila rujuk Perlembagaan Persekutuan).

Maka berdasarkan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC & SJKT) sepatutnya dikategorikan sebagai sekolah swasta sebagaimana Sekolah Jepun atau sekolah antarabangsa yang lain terdapat di Malaysia. Kerajaan seharusnya tidak bertanggungjawab untuk memberi kemudahan serta bantuan kewangan daripada dana negara atau negeri kepada SJKC dan SJKT. Kerajaan hanya dibolehkan memberi bantuan kewangan hanya dengan tujuan untuk memelihara “penggunaan dan pengajian” bahasa kaum lain tetapi bukannya untuk “belajar dan mengajar” bahasa-bahasa kaum lain.

Apa yang dimaksudkan dengan bahasa kaum lain itu termasuk bahasa kaum Cina dan kaum India serta kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak serta kaum minoriti di Semenanjung Malaysia. Kerajaan Persekutuan atau Negeri sepatutnya tidak membezakan atau mendiskriminasi bahasa kaum minoriti lain seperti bahasa Telegu, Malayalam, Malayalee, Punjabi, Urdu, Hindi serta pelbagai bahasa Cina selain Mandarin, Jawa, Banjar, Mandailing dan sebagainya. Mengutamakan bahasa Tamil dan bahasa Cina adalah bertentangan dengan hak kesemarataan dan hak tentang pendidikan di Malaysia.

Kerajaan kini melalui Kementerian Pelajaran sebenarnya telah melanggari undang-undang Persekutuan apabila memberikan bantuan dan kemudahan kepada SJKC dan SJKT kerana secara tidak langsung telah menyamaratakan sekolah kebangsaan dengan dua aliran sekolah tersebut. Ini jelas merupakan satu bentuk diskriminasi kepada sekolah Kebangsaan yang memperolehi dana hanya daripada kerajaan sedangkan SJKC dan SJKT memperolehi dua saluran dana iaitu daripada kerajaan serta bantuan orang perseorangan serta entiti perniagaan kaum masing-masing. SJKC dan SJKT adalah tidak wajar untuk dibantu menggunakan wang kerajaan seperti mengajar matematik, sejarah dan geografi dalam bahasa Cina atau India. Jika kerajaan masih tetap memberi bantuan kepada kedua jenis sekolah aliran ini bermakna kerajaan sebenarnya telah melakukan ketidakadilan terhadap kaum lain terutama bahasa anak negeri Sabah dan Sarawak serta kaum minoriti lain di Semenangjung Malaysia (sila rujuk Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan).

Dasar Pendidikan Negara sepatutnya berteras dan berpaksi ke arah Intergrasi Nasional iaitu semua murid seharusnya belajar di Sekolah Kebangsaan sahaja dari sekolah rendah hinggalah ke universiti dimana “pupils own language” hanya boleh diajar di peringkat rendah. Intergrasi Nasional sebagaimana yang sering dilaungkan oleh pemimpin terutama bukan Melayu di negara ini tidak akan terlaksana dan tercapai sekiranya murid-murid di Sekolah Kebangsaan diklasifikasikan berbeza dengan murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Sebaliknya perbezaan sekolah ini hanya akan menyebabkan kerajaan dituduh untuk cuba menabur benih-benih perkauman dan menjadi mustahil untuk diselesaikan apabila umur murid-murid ini meningkat dewasa.

Berdasarkan perlembagaan juga, tulisan bahasa Melayu ialah tulisan rumi tetapi penggunaan tulisan Jawi sebenarnya tidak boleh disekat atau dihalang di Malaysia. Ini bermakna bahawa bahasa Melayu dalam tulisan Jawi sahaja bukanlah bahasa Melayu sepenuhnya. Penggunaan bahasa kaum lain sama ada pertuturan atau penulisan boleh dipelihara dan diteruskan TETAPI pemeliharaan penggunaan bahasa kaum lain itu bukan bermakna merestui “mempamerkan papan tanda pelbagai bahasa”. Penggunaannya hendaklah selektif menurut keadaan seperti amaran, notis etc. Malahan penggunaan papan tanda perniagaan dalam tulisan Mandarin atau Tamil sekalipun adalah bersalahan menurut undang-undang Persekutuan sekiranya ia digunakan bagi “maksud rasmi”. Ini bermakna, bahasa lain selain bahasa Melayu boleh dilarang atau dihalang daripada digunakan bagi “maksud rasmi” yang bererti bagi maksud kerajaan serta pihak berkuasa awam.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, seharusnya tidak boleh wujud sekolah berbilang bahasa sebagaimana yang terdapat di Malaysia kini. Sebetulnya hanya perlu ada satu jenis sekolah sahaja untuk semua kaum di Malaysia iaitu sekolah kebangsaan. Kini hanya pemimpin bukan Melayu yang kelihatan bersungguh memperjuangkan sekolah aliran kaum masing-masing serta pernah menolak saranan Tun Dr. Mahathir untuk menggalakkan intergrasi kaum melalui sekolah wawasan. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini bahawa tentangan orang bukan Melayu terhadap politik perkauman sebenarnya tidaklah mencerminkan sentimen anti-perkauman mereka sendiri. Jelas orang bukan Melayu tidaklah seikhlas mana dalam perjuangan mereka ke arah kewujudan bangsa Malaysia. Sewajibnya kerajaan tidak harus tunduk kepada tuntutan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan INGATLAH bahawa mempersoalkan Perkara 152 adalah jelas merupakan kesalahan menghasut.


Actions

Information

3 responses

6 04 2011
Mae

Semuanya bergantung kepada siapa yang berkuasa pada satu-satu masa, dan bagaimana pihak yang berkuasa itu mengawal keadaan. Itulah ‘Perlembagaan’ yang sebenar, iaitu perlembagaan yang hidup dan dinamik.

6 04 2011
PornStar

Tuan admin,

Bilakah masanya gerakan SSS akan menyaman kerajaan kerana melakukan perkara bertentangan Perlembagaan?

7 04 2011
kassim

perlu tindakan serampang 2 mata. yg tolak & yg tarik.. perlu tolak insan / kelompok drpd Melayu terutamanya dperingkat atas / pimpinan yg tidak mahu perkasakan bahasa sendiri! yg lebih segan krn jatuh martabat diri apabila bbahasa Melayu. DBP wajib lebih mampu cipta istilah & terapkan penggunaannya. tidak sekadar ejaan kat pinjaman dr English yg kian berlambak tanpa pengawasan. wajar DBP sbg pakar rujuk & tidak dbelakangkan umpama kisah Pangkat Polis. akhbar utama patut bperanan sbg pembimbing bukannya perosak dikala ini yg tunggang langgang berbahasa tanpa silu. apabila bahasa kebangsaan didokong & dguna secara fasih oleh pimpinan / penjawat awam / pengamal ‘perantara umum’ di RTM & lain-lainnya, masyarakat akan kembali berbahasa Melayu. Pusat pendidikan dr peringkat asuhan hingga pengajian tinggi wajib amal dasar bahasa! bukannya kait kelingking spt halnya PnP matematik & sains / (ilmu hisab & ?). alatan baru masa kini amat kurang ataupun hampir tiada istilah Melayu yg Melayu. begitu juga iklan / bahantara lebih utama bahasa slain Melayu. Kenapa perlu yg lain? memadai bahasa & English, sbg plambangan jatidiri, semangat cinta negara & kebangsaan. DBP main peranan cipta & sebar luas istilah pelbagai bidang / banteras pcemaran terutamanya bidang niaga & pdidikan,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: