1-Malaysia DS Najib Yang Mirip “Malaysian Malaysia” DAP

11 04 2011

Ucapan Perasmian Forum 153 oleh Tan Sri Sanusi Junid. (pautannya DI SINI)

Beliau ada mengatakan “…Kita perlu kekalkan sekolah China dan India, dan memunafa’atkan kewujudannya, dan menjadikan perbezaan antara kita sebagai ukuran atas kegagalan atau pencapaian kita..

Kini sudah terbukti bahawa perbezaan yang diamalkan oleh Pelbagai 1-Malaysia itu telah gagal, sebagai gagalnya negara ini melahirkan anak-anak bangsa yang berjiwa patriotik dan kebangsaan melalui pendidikan vernakular. “Multi-culturism” juga tidak lama dahulu telah diakui “gagal” oleh negara Jerman dan United Kingdom.

Oleh itu sekolah china dan india sudah jelas menjadi ukuruan kegagalan pepaduan negara, maka tidak perlu lagi dikekalkan sebagai yang pernah disaankan oleh Tan Sri Sanusi Junid. Malah ibarat kera tunggal, hanya Malaysia sahaja yang merupakan satu-satunya negara yang ada di muka bumi ini yang masih mempunyai sistem pendidikan vernakular.

Thursday, March 17, 2011

FORUM 153: PERJUANGAN KEADILAN SOSIAL


Nota Ucaptama dan Perasmian Forum 153: Perjuangan Keadilan Sosial anjuran Kursi Tun Abdul Ghafar Baba (KTAGB) dan Institut Kajian Integrasi Nasional (IKIN), Universiti Pendidikan Sultan Idris di Auditorium Utama UPSI, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan pada hari Rabu 16hb Mac, 2011 dari 2.30 hingga 4.30 petang.


SAMBUTAN
Assalaamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Yang Berbahagia Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Timbalan Naib Cancelor Prof. Dr. Nooraini Idris,
Tan Sri Pendita Professor Emeritus Dato’ Dr. Haji Ismail Hussin, Ketua Satu Gapena,
Yang Berbahagia Professor Datuk Dr. Zainal Kling, Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba dan Pengarah Institut Kajian Integrasi Nasional,
Yang Berbahagia Professor Datuk Dr. Abdul Latif Bakar,
Ahli-ahli panel –
Yang Berbahagia Professor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Universiti Malaya,
Yang Berbahagia Professor Dr. Kamarudin Said, Universiti Kebangsaan Malaysia
Barisan Akademik dan Pentadbiran UPSI,
Para Pelajar Yang Dihormati Sekalian.

TERIMA KASIH

1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Kursi Tun Abdul Ghafar Baba (KTAGB) dan Institut Kajian Integrasi Nasional (IKIN) yang memberi kesempatan dan penghormatan kepada saya untuk menyampaikan ucaptama pada hari ini.

TAJUK

2. Forum yang bertajuk ‘Forum 153: Perjuangan Keadilan Sosial’ sudah tentu difikirkan perlu kerana adanya gelombang yang mempertikaikan relevannya Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia untuk masa depan bangsa Melayu dan Negara Malaysia.


3. Perkara 153 – melibatkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan, termasuk tentera dan polis, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan atau yang seumpamanya atau kemudahan khas yang lain, lesen dan permit.

DASAR EKONOMI BEBAS KE DASAR EKONOMI BARU

4. Di waktu Malaya baru merdeka dan di waktu penubuhan Malaysia, Perkara 153 ini tidak pernah dipertikaikan.

5. Malahan, setelah Dasar Ekonomi Bebas didapati tidak mencukupi untuk mengekalkan keamanan negara, sehingga tercetusnya Peristiwa 13 Mei, 1969, perlaksanaan Perkara 153 ini telah diperjelaskan di bawah Dasar Ekonomi Baru.

6. Kalau di bawah Dasar Ekonomi Bebas kerajaan membebaskan pihak swasta menjalankan apa jua jenis perniagaan dan perusahaan, asal legal, tanpa campur-tangan kerajaan, di bawah Dasar Ekonomi Baru pula kerajaan tidak lagi meneruskan, untuk satu jangka waktu, kebebasan itu.

7. Di bawah Dasar Ekonomi Baru Kerajaan berhasrat membasmi kemiskinan, tanpa mengira kaum, dan menentukan bahawa penglibatan rakyat dalam kegiatan ekonomi tidak lagi dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja; seperti Melayu bekerja dengan kerajaan, China berniaga dan India bekerja di estet-estet.

AMANAH YANG DISIA-SIAKAN

8. Walau bagaimana pun kejayaan Barisan Nasional yang sangat cemerlang dalam Pilihan Raya Umum ke 11 pada tahun 2004 telah mendedahkan kelemahan kepimpinan Melayu  dalam kegiatan penyalahgunaan kuasa, nepotisma dan rasuah yang menjadi amalan yang berleluasa yang menimbulkan kebencian rakyat.

TSUNAMI POLITIK 2008

9. Akibatnya ialah berlaku Tsunami politik ke atas Barisan Nasional setelah Gempa bumi prestasi yang cukup buruk dalam Pilihan Raya Umum ke 12 pada tahun 2008.

10. Dalam pilihan raya 2008 ini Barisan Nasional hilang kuasa bukan saja di Kelantan, tetapi juga di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sementara di Wilayah Persekutuan pula Barisan Nasional kehilangan majoriti.

TUKAR NAMA UNTUK SELESAI MASALAH

11. Sebagaimana biasa, amalan tradisi orang-orang Melayu di kampung ialah apabila seseorang anak itu didapati selalu sakit maka namanya, yang disalahkan itu, ditukar; maka untuk membasmikan gejala rasuah yang berleluasa Badan Anti Rasuah ditukar namanya dari ACA digantikan dengan MACC.

12. Hanya keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 sahaja yang dapat menentukan samaada pengundi puas hati dengan kegiatan MACC sementara tokoh-tokoh yang rasuah dan menyeleweng masih kelihatan belum menghilang. Isu Beng Hock pula diharapkan oleh pembangkang dapat mencemarkan imej MACC.

PERKARA 153 DIJADIKAN ALASAN DAN SASARAN

13. Bagi yang sememangnya mencari alasan untuk menghakis dan menghapuskan keistimewaan orang-orang Melayu, maka prestasi buruk Pilihan Raya Umum 2008 dijadikan alasan untuk menghakiskan apa yang ada untuk Melayu dalam Perlembagaan khususnya Perkara 153.

SAINGAN MENAWAN PENGUNDI

14. Perangkaan menunjukkan bahawa Tsunami politik yang melanda Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12 pada tahun 2008 berlaku kerana kehilangan undi bukan Melayu dan juga undi Melayu yang dirosakkan.

15. Oleh itu pihak Barisan Nasional berusaha untuk menyaingi Pakatan Rakyat dalam usaha menawan kembali kawasan dan negeri yang kalah pada tahun 2008.

KURBANKAN HAK MELAYU

16. Oleh kerana Pakatan Rakyat telah ‘berjaya’ membesarkan isu keadilan untuk menawan hati penyokong-penyokong mereka maka dalam usaha menawarkan keadilanlah maka kerajaan Barisan Nasional juga, di bawah pimpinan Perdana Menteri yang lalu, telah turut menyaingi dengan mengurangkan peruntukan biasiswa, dari kerajaan, untuk pelajar Melayu dan Bumiputra untuk dilebihkan pemberian kepada yang bukan Bumiputra.

17. Keputusan ini dibuat tanpa menyedari bahawa biasiswa dari pihak swasta non-Bumiputra adalah 100% terus dikhaskan oleh mereka untuk yang bukan Bumiputra.
18. Tindakan yang merugikan Melayu ini adalah menyentuh sebahagian dari isi Perkara 153 yang berkaitan dengan biasiswa.

19. Tindakan beginilah yang menaikkan semangat sehingga mereka ingin menghapuskan sama sekali peruntukan-peruntukan dalam Perkara 153 itu.

BAYANGAN MALAYSIAN MALAYSIA

20. Usaha untuk mengurangkan hak Bumiputra ini telah pernah dipopularkan sebelum Singapura dipecat keluar dari dalam Malaysia, setelah konsep ‘Malaysian Malaysia’ diketengahkan oleh Lee Kuan Yew.

21. Itulah sebabnya konsep 1Malaysia pada awalnya ditakuti oleh orang-orang Melayu sebagai kesinambungan ide ‘Malaysian Malaysia’.

22. Salah tafsir ini menjadi-jadi kerana cara mempersembahkan Model Baru Ekonomi kepada rakyat telah tidak disebut langsung adanya elemen kesinambungan Dasar Ekonomi Baru sebagaimana Dasar Pembangunan Negara telah diperkenalkan dulu oleh Tun Dr. Mahathir dengan cara yang tidak terpisah atau memperkecil-kecilkan Dasar Ekonomi Baru.

TAFSIRAN FAKTOR KEADILAN MEMPERTIKAIKAN PERKARA 153

23. Dalam membahaskan faktor keadilan maka Perkara 153 Perlembagaan telah dipertikaikan sebagai sesuatu yang tidak adil.

24. Sebenarnya Perkara 153 inilah yang dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai hak yang adil diperuntukkan kepada Melayu dan Bumiputra, yang majoriti di dalam negara ini, untuk mengimbangkan kedudukan yang  tidak adil, ciptaaan British untuk Bumiputra sepanjang zaman penjajahan dahulu.

25. Oleh kerana dalam mengimplimentasikan Perkara 153, selama ini, kita tidak menghalang kemaraan kemajuan kaum Bukan Bumiputra maka Perkara 153 kekal relevan untuk beberapa waktu yang lama lagi.

26. Malahan, jika matlamat keadilan yang sebenarnya ditetapkan pada angka lebih dari 60% dari ekonomi negara menjadi milik Melayu dan Bumiputra, kerana peratus jumlah penduduk adalah demikian, maka Perkara 153 ini perlu dikekalkan untuk jangka masa yang sungguh lama.

27. Sikap Melayu yang sanggup menerima hanya 30% ekuiti swasta dalam negara yang ianya, sebagai penduduk, berjumlah melebihi 60% adalah sesuatu yang sungguh mengkagumkan.

28. Tanggungjawab untuk melindungi kedudukan orang-orang Melayu dan Bumiputra, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 ini terletak pada Yang Di Pertuan Agong yang terdiri dari seorang dari Raja Melayu yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu dari antara 9 orang mereka.

29. Kerana mengetahui adanya kuasa Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan hak orang-orang Melayu inilah maka, di puncak keghairahan mereka berkuasa, pihak yang anti kedaulatan atau hak Melayu ini telah cuba menghinakan raja kita.

30. Oleh kerana pihak yang anti kedaulatan hak Melayu ini mengetahui kuasa Raja untuk mempertahankan hak dan ketuanan Melayu itu adalah mengikut peruntukan yang ada dalam Perlembagaan mereka juga cuba mencemarkan nama judiciary yang bertanggung-jawab mentafsir Perlembagaan itu.

1MALAYSIA HANYA UNTUK PERPADUAN

31. Dalam memperdebatkan gagasan 1Malaysia kita hendaklah berpegang teguh kepada matlamatnya untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama dan tidak terbawa-bawa sehingga menyatakan kesanggupan kita untuk mengorbankan hak kita jika yang bukan Melayu sanggup mengorbankan sekolah-sekolah yang mengajar bahasa-bahasa mereka.
INDONESIA, FILIPINA DAN THAILAND

32. Sebenarnya syarat ini tidak perlu diberi kerana jika mereka bersetuju menghapuskan sekolah-sekolah China dan India, ia merugikan kita juga.

33. Pendekatan kita hendaklah berbeza dari cara di Indonesia, Filipina dan Thailand di mana mereka kesemuanya mempunyai satu bahasa.

34. Apabila bahasa dan agama hanya satu, dan namanya juga serupa, bagi pendatang dan Bumiputra di Filipina dan Thailand, maka persoalan perbezaan pencapaian di bidang ekonomi dan pendidikan antara Bumiputra dan pendatang tidak menjadi perhitungan lagi dan kedua negara ini selesa mempunyai pemimpin bukan Bumiputra sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

35. Di Indonesia, walau pun agama masih berbeza antara Pribumi dan pendatang, kerana satu bahasa dan penggunaan nama yang serupa, sementara perbezaan agama pula dikompromikan dengan membolehkan perkahwinan antara pasangan yang berbeza agama, perangkaan perbezaan pencapaian di bidang ekonomi tidak menjadi persoalan lagi.

36. Konsep ‘Indonesia Satu’ yang diketengahkan dalam pilihan raya umum yang lalu di Indonesia adalah untuk mengekalkan perpaduan antara wilayah dan berbeza dengan konsep 1Malaysia yang berfokas kepada perpaduan antara kaum.

MALAYSIA MIRIP SWITZERLAND

37. 1Malaysia bolehlah bermiripkan Switzerland di mana bangsa Swiss boleh bercakap dalam tiga bahasa, Jerman, Perancis dan Itali, sementara agama mereka juga berbeza walau pun pihak Katholik dan Protestan boleh sembahyang dalam satu gereja.

SEMOGA MELAYU TIDAK LALAI

38. Untuk mengelak dari bahaya kelalaian di kalangan bangsa Melayu apabila mereka tidak dapat membezakan, atau merasakan perbezaan antara China, India dan Melayu, kerana hanya ada satu bahasa, menggunakan nama yang serupa walau pun berbeza agama, maka lebih baik dikekalkan China dan India dengan identi mereka seperti sekarang.

39. Pandangan ini tidak bererti orang-orang China dan India tidak perlu belajar bahasa Melayu. Sebagai Bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia seseorang itu hanya layak menjadi warganegara jika fasih dalam bahasa Malaysia. Sebagai seorang yang masih belajar berbagai bahasa saya Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai bahasa yang terindah di dunia, yang mudah dipelajari tetapi susah dikuasai, akan menjadi bahasa yang popular di dunia apabila para ilmuan dapat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

40. Dengan itu kita akan sentiasa nampak perbezaan pencapaian kita, dengan mereka, dalam sektor ekonomi dan pendidikan, pada setiap masa.

CONTOH DI BIDANG EKONOMI

41. Sebagai contoh: dari 40 orang yang terkaya di Malaysia yang disenaraikan dalam majalah Malaysian Business baru-baru ini terdapat 32 orang China, 7 orang Melayu dan seorang keturunan India. Tetapi kekayaan India yang seorang itu tiga kali ganda lebih kaya dari kesemua 7 orang Melayu. Yang terkaya ialah dari keturunan China. Kita hanya dapat mengetahui semua ini kerana kita berbeza. Dari senarai 40 orang terkaya di Indonesia yang bernama Salim, Thohir dan Mochtar semuanya China belaka.

PERBEZAAN YANG MENGUNTUNGKAN

42. Kita perlu kekalkan sekolah China dan India, dan memunafa’atkan kewujudannya, dan menjadikan perbezaan antara kita sebagai ukuran atas kegagalan atau pencapaian kita.

43. Hanya apabila bangsa Melayu sudah dapat melihat dengan jelas betapa jauh ketinggalannya dalam bidang ekonomi dan pendidikan, jika dibandingkan dengan bukan Melayu, barulah mereka akan berusaha, jika mereka betul-betul sedar, untuk mengekalkan kuasa politik bagi membolehkan mereka membuat dasar yang boleh membantu mengimbangkan kedudukannya dengan China dan India.
44. Perbezaan-perbezaan yang ada inilah yang menyebabkan wajib dikekalkan Perkara 153.

Sekian, Wabillaahi Taufik Assalamu’alaikum
Terima kasih.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: