Bahasa Kebangsaan dan Pemimpin Negara

18 04 2011

Dalam perbincangan menentukan kedudukan bahasa-bahasa yang digunakan di negara ini, para pencinta-pencinta sejati bahasa Melayu khuatir dengan kedudukan bahasa kebangsaan negara ini dengan penggunaan bahasa Inggeris. Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa yang amat penting bagi rakyat negara ini untuk menguasainya. Adalah menjadi harapan supaya setiap rakyat negara ini pada suatu hari nanti dapat menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris ini disamping tidak memberikan apa jua alasan pun untuk tidak dapat menguasai sepenuhnya Bahasa Kebangsaan. Harapannya adalah supaya setiap rakyat dapat menguasai sepenuhnya kedua-dua bahasa ini, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (suatu kemestian yang tidak boleh tidak) dan Bahasa Inggeris (suatu kemestian juga) dengan mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam segenap hal dan meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa Kedua negara. Selepas ini dicapai oleh setiap individu, maka adalah disarankan pembelajaran bahasa-bahasa lain mengikut keperluan masing-masing.

Yang amat peliknya adalah pemimpin negara sendiri, melalui konsep pelbagai 1-Malaysianya, nampak lebih condong terhadap bahasa kebangsaan negara asing, terutamanya, Mandarin. Sehinggakan pada suatu ketika dahulu seorang Menteri Besar di Perak pernah mengarahkan ahli-ahli DUN supaya fasih berbahasa cina ini, kononnya, untuk memberikan perkhidmatan yang baik terhadap rakyat. Ini seolah-olah mengenepikan kaum-kaum lain termasuk orang-orang asli dalam aspek penggunaan bahasa.

Konsep pelbagai 1-Malaysia dalam sudut penggunaan bahasa ini mungkin boleh agak terima sekira ianya berjaya meletakkan semua bahasa-bahasa pertuturan yang ada di negara (termasuk semua bahasa-bahasa orang asli Semenanjung, Sabah dan Sarawak) berkongsi semuanya ditempat pertama ( “No language is second to any”), bukannya berhenti setakat bahasa Mandarin sahaja.

Tentu sekali ini hampir mustahil dilakukan, sekali gus ia menjadikan konsep Pelbagai 1-Malaysia ini mustahil untuk dilaksanakan sama sekali, tidak seperti matlamat “SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA” yang sememangnya bersifat patriotrik dan kebangsaan; tidak seperti “rojaknya” Pelbagai 1-Malaysia itu yang lebih mirip kearah “kecinaan”.

 

March 30, 2011

30 MAC — Tohmahan terhadap pencinta bahasa Melayu, sama ada mahasiswa, pensyarah mahupun sesiapa saja yang memiliki rasa bangga, sayang dan setia terhadapnya, sebagai golongan fanatik, bukan saja tidak tepat, malah tuduhan melulu itu tidak sensitif langsung kepada sentimen nasionalisme Melayu, yang menjadi asas kepada nasionalisme Malaysia.

Memburukkan lagi keadaan, prasangka begini datang dari kaum Melayu sendiri, di kalangan pemimpin pula, untuk menyelar pencinta bahasa Melayu yang ingin melindungi warisan Melayu ini, yakni bahasa leluhur mereka daripada dikuasai bahasa Inggeris yang lebih berprestij.

Sehubungan itu, pencinta bahasa Melayu bukan fanatik yang terlalu taksub sehingga tidak berpijak di bumi nyata dalam hal penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini. Mereka tidak sekali-kali menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia dan bahasa ibunda zaman globalisasi.

Malah, mereka ikut menyarankan keperluan menguasai bahasa ini dengan sebaik mungkin oleh rakyat. Ini dilakukan agar rakyat tidak ketinggalan dalam tuntutan kepenggunaan tempatan dan pasaran antarabangsa yang diidentifikasikan dengan bahasa Inggeris.

Nilai pragmatik bahasa Inggeris di Malaysia dan juga di merata tempat di dunia, adalah sentiasa tinggi. Dengan ini, pelbagai usaha diperkenal untuk memajukannya. Bagaimanapun, dalam keghairahan mempertingkat penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris, kaedah pembelajaran didapati mempunyai impak bukan saja atas jati diri linguistik rakyat, tetapi juga terhadap jati diri nasional.

Justeru, kaedah yang tidak sesuai didapati boleh mencabar kejayaan bahasa negara di sesebuah tempat itu, sama ada untuk tujuan penyatuan mahupun kemajuan.

Sesungguhnya julat kaedah pembelajaran ini adalah luas. Pada satu penghujung, mereka yang mempelajarinya didapati tidak pun teruja walaupun ia bahasa yang hebat.

Dalam kes begini, masyarakat Jepun secara umumnya didapati tidak memperlihat rangsangan berlebihan ketika mempelajari bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, pelajar Jepun menguasai sistem bahasa Inggeris sebaik mungkin, sama saja seperti yang berlaku ketika mereka mempelajari mata pelajaran lain.

Dengan kata lain, bahasa Inggeris tidak dipelajari dengan minat dan semangat yang berkobar-kobar sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan sikap mereka sebagai orang Jepun.

Hal sebaliknya berlaku pada satu penghujung lain. Golongan elit di sesetengah negara didapati mempelajari bahasa Inggeris dengan penuh teruja. Mereka didapati hanya boleh berbicara dengan baik apabila menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Disebabkan mereka tidak fasih ketika menggunakan bahasa negara sendiri, mereka bukan saja dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri oleh rakyat jelata. Tetapi lebih mengecewakan ialah mereka tiada jati diri etnik dan nasional pada diri mereka.

Di antara dua penghujung ini, wujud keadaan yang memperlihat pelbagai cara bahasa Inggeris menceroboh lalu mengubah jati diri etnik sesetengah kaum dan juga jati diri nasional di beberapa negara.

Impak begini berlaku di Singapura yang mana sebilangan besar belia Cina dilaporkan menyesal dilahirkan sebagai orang Cina. Mereka ini yang dari segi budayanya bukan lagi Cina, merungut bahawa mereka sepatutnya dilahirkan sebagai orang Barat.

Jati diri sedemikian sudah tentu tidak unggul untuk jati diri etnik Cina. Ia juga tidak ulung untuk mewakili jati diri nasional republik itu yang ingin menonjol sistem nilai Asia dalam bentuk kepelbagaian budaya Cina-Melayu-India.

Sebetulnya kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu amat penting dalam usaha warga dunia menguasai bahasa dunia yang penting ini.

Perkara inilah yang menjadi kebimbangan pencinta bahasa Melayu agar penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan yang tidak boleh sekali-kali menyebabkan bahasa Melayu terpinggir di tanah air sendiri.

Landasan itu adalah kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan dan arena antarabangsa. Berlandaskan kepercayaan dan kefahaman begini, kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu dihadkan, pertamanya kepada peri pentingnya sebagai bahasa sumber ilmu.

Dalam konteks ini, bahasa Inggeris perlu dipelajari sebaik mungkin untuk memahami kandungan ilmu yang rata-rata ditulis dalam bahasa Inggeris.

Pemahaman dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu ini kemudian diungkapkan semula dalam bahasa Melayu selaku bahasa ilmu.

Ini bukan saja cara yang amat nasionalistik sifatnya untuk kita membina peradaban dan tamadun di Malaysia. Tetapi ia juga seiringan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Dasar ini adalah dasar sosial penting untuk pembentukan dan pengekalan jati diri nasional di Malaysia, selain menangani persaingan antara bahasa negara ini dengan bahasa antarabangsa yang penting itu, secara bestari.

Seterusnya bahasa Inggeris dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa paling penting. Dengan penguasaannya rakyat Malaysia apabila perlu berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, sudah tentu dapat menggunakan bahasa pengantar ini dengan berkesan sebagai medium komunikasi.

Ini dapat dilakukan ketika mengendalikan hubungan antarabangsa, selain terbabit dalam perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Inilah kaedah pembelajaran terbaik untuk melindungi bahasa Melayu daripada dikuasai oleh bahasa Inggeris. Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahasa Inggeris di Malaysia tidak dipelajari atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris.

Ini bermakna kita tidak boleh mempelajarinya kerana kuasa dan prestijnya dalam pelbagai bentuk imperialisme. Antaranya adalah imperialisme budaya yang meliputi media, pendidikan, sains dan teknologi.

Apabila bahasa Inggeris dipelajari atas landasan ini, minda dan kehidupan rakyat Malaysia, akhirnya ditakluki. Penaklukan ini antaranya mewujudkan keadaan yang memperlihat rakyat benar-benar taksub bahawa bahasa Inggeris saja yang mampu memajukan negara, selain menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Oleh itu ia perlu digunakan untuk mengendalikan hal yang menyangkut semua aspek kehidupan yang maju sifatnya. Antaranya pendidikan, urus tadbir negara, perundangan dan kegiatan budaya tinggi lain. — Berita Harian

* Teo Kok Seong ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: