Artikel Politik – Perjuangan Politik Cina

29 04 2011

Beza antara politik Melayu dan Cina — Ridhuan Tee

March 07, 2011

7 MAC — Orang nombor dua PKR baru-baru ini begitu marahkan PAS kerana PAS dikatakan turut mengintai kawasan PKR dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau terus mengeluarkan kenyataan bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada lagi formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. Sekarang, PAS dikatakan juga mahu kawasan bercampur.

Umum mengetahui, secara tradisinya, selama ini PAS bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kekalahan PAS dalam beberapa pilihan raya kecil akhir-akhir ini, menjadikan PKR begitu bernafsu mengintai kawasan PAS. PKR merasakan mereka kuat. Sedangkan pada masa sama mereka tahu, kekuatan mereka bergantung kepada PAS.

Kini PAS mempertaruhkan dua kerusi di DUN Kerdau dan Merlimau, kawasan majoriti Melayu. Keputusannya telahpun diketahui. PAS boleh dikatakan “kalah teruk”. Selepas ini, PKR akan berkata, mereka lebih layak bertanding di kawasan PAS, daripada PAS bertanding di kawasan PKR. Nampaknya, PKR begitu bernafsu besar untuk menambah kerusi bagi menguasai beberapa negeri lain dan impian mereka untuk menguasai Putrajaya. Mampukah mereka?

Tanpa menamakan kawasan terlibat, orang nombor dua PKR berkata, mahukan kerusi mereka lebih banyak daripada PAS, sama ada di kawasan majoriti Melayu mahupun bercampur. Saya yakin, isu pembahagian kerusi antara PKR dan PAS akan menjadi hangat menjelang PRU 13 akan datang. Tidak mustahil kedua-dua parti ini mengintai kerusi yang sama.

Sebagai parti yang lebih tua dan lebih tersusun daripada PKR, sudah tentu PAS memerlukan lebih kredit berbanding PKR. Tetapi PKR tidak berfikir sebegitu. PKR juga akan melihat pada kerusi-kerusi yang PAS dan DAP tewas, meskipun kedua-dua parti tertua itu mempunyai sokongan akar umbi di bahagian yang majoriti pengundinya ialah Melayu dan Cina.

Pandangan rakus pemimpin PKR telah menimbulkan kemarahan pimpinan PAS. PAS mengingatkan orang nombor dua PKR itu, supaya jangan cakap sesuka hati sebelum dibincangkan di peringkat tertinggi Pakatan Rakyat. Jawatan kanan yang dimenangi akhir tahun lalu, bukanlah petanda yang beliau bagus dan mendapat sokongan akar umbi.

Setiausaha Agung PAS berkata, PKR seharusnya menyuarakan isu-isu sensitif seperti pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Rakyat dalam mesyuarat tertinggi parti, bukannya secara terbuka melalui media.

PAS mengingatkan pemimpin PKR tersebut bahawa beliau tidak layak bercakap dan mendakwa PAS mahu mengintai kawasan PKR kerana isu tersebut tidak pernah muncul dalam perbincangan pemimpin tertinggi parti Islam itu sebelum ini.

Dalam mengulas isu ini, ternyata parti setahun jagung ini merasakan dirinya cukup kuat setelah mendapat kemenangan yang tidak disangka-sangka pada PRU 12 tahun 2008. Walaupun Selangor jatuh ke tangan mereka, itu bukan bermakna mereka kuat. Mereka tidak tahu bagaimana susah payahnya PAS berjuang hingga ke hari ini. Sepatutnya PAS tidak memberikan laluan kepada PKR di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Tetapi ada dasar kesepakatan, PAS memberikan laluan untuk mereka bertanding.

Adalah tidak mustahil PAS turut mengintai kawasan bercampur memandangkan sokongan pengundi Melayunya mengalami kemerosotan. Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang di Johor bulan lalu menyaksikan 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada Umno. Begitu juga kerusi di Hulu Selangor, Galas dan Manek Urai semasa diadakan pilihan raya kecil tahun lalu dan 2009.

PAS perlu berhati-hati dengan rakan sepakatannya. Keputusan di Merlimau dan Kerdau sudah membuktikan segalanya. Kekalahan ini akan dijadikan hujah utama bahawa PAS tidak mendapat sokongan politik dalam konteks sebenar atau mungkin tidak relevan. Isyarat ini akan memberi makna bahawa PKR lah sebenarnya parti altenatif kepada PAS.

Inilah rata-rata persepsi PKR sekarang. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika benar, saya cadangkan PAS memberikan laluan kepada PKR, kita lihat sejauhmanakah kekuatan mereka? Saya yakin jika dibuat kajian secara jujur, bukan Islam (DAP) lebih selesa dan mempercayai PKR daripada PAS. Hujahnya mudah, PKR tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, berbanding PAS.

Maka, tidak hairan jika agenda Islam tidak menonjolkan di negeri yang perintah oleh DAP dan PKR. Bantuan kepada sekolah agama dan urus tadbir Umar Abdul Aziz hanya wayang untuk mencairkan orang Melayu. Cadangan PAS untuk mengharamkan judi loteri di Kelantan begitu ditentang hebat oleh DAP dari segala peringkat. Juga tidak ketinggalan parti bukan Islam yang lain.

PAS nampaknya tidak ada pilihan, terpaksa akur. PAS tidak boleh menang jika bersendirian. Umno tidak menjadi pilihan PAS. Pada PAS, Umno lebih bahaya daripada DAP. Selaku parti yang senior, sepatutnya PAS bertindak lebih matang dalam menangani politik Malaysia secara keseluruhan, terutama dua pilihan raya kecil ini. Pendekatan terlalu keras terhadap Umno tidak menguntung Islam, juga orang Melayu. Jika PAS bisikkan kepada Umno akan haramnya judi dan nombor ekor, sekurang-kurangnya Umno akan dengar, walaupun mungkin pengharamannya belum mungkin dilaksanakan.

Benar, kita tidak diminta dilahir menjadi Melayu (Cina, India dan lain-lain), yang penting adalah Islam. Tetapi tidakkah kita sedar bahawa perlembagaan menetapkan Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Maknanya, dua-dua perlu diberikan perhatian kerana dua dalam satu (Islam). Lemah satu, lemahlah satu lagi, kerana Melayu dan Islam telah sinonim.

Lihatlah bagaimana orang bukan Melayu berpolitik. DUN Tenang telah terbukti, kini beralih ke Merlimau. Pada waktu getir inilah segala tuntutan dikemukakan oleh bukan Melayu demi kepentingan dan survival bangsa. Pada mereka kepentingan bangsa mesti diutamakan berbanding yang lain. Segala ruang dan peluang digunakan sepenuhnya. Tidak seperti kita, agenda bangsa dan agama entah ke mana.

Seperti yang dijangka, ketika penamaan calon DUN Merlimau, 106 NGO Cina di Melaka di bawah naungan Dong Lian (sepupu Dong Zong dan Dong Jiao Zong) mengemukakan empat tuntutan pilihan raya (suqiu). Sokongan undi Cina dikatakan bergantung sejauhmanakah tuntutan dapat dipenuhi?

Saya selaku orang Cina, amat mengharapkan masyarakat Cina dapat berfikir dan bertindak secara matang, jika mereka benar-benar inginkan masa depan negara yang lebih bermakna. Politik gertak dan ugut sebegini amat tidak sihat dalam masyarakat majmuk.

Trend pengundian Cina hari ini bukan lagi berasaskan parti dan calon tetapi sejauhmanakah tuntutan mereka dipenuhi, terutama di kawasan majoriti Melayu, yang mana undi mereka akan menjadi undi penentu kejayaan parti politik yang bertanding.

Sikap ini tidak menyerlah jika pertandingan berlaku di kawasan majoriti Cina, kerana pilihan mereka sudah jelas. Jika sikap ini diterjemahkan juga, maka akan lebih terserlah dan terbuktilah dapatan saya selama ini bahawa sikap ultra kiasu menguasai segalanya. Jangan bertindak seperti gergaji dua mata, kiri kanan mau makan.

Jelas di sini bahawa cara orang Melayu dan bukan Melayu berfikir dan berpolitik begitu berbeza. Hala tuju dan matlamat mereka amat jelas. Malangnya, kita masih kabur. Ada yang masih bertindak begitu fanatik calon dan fanatik kepartian.

Antara tuntutan Dong Lian di Merlimau adalah: pertama, layanan sama rata sekolah kebangsaan dan sekolah vernacular. Kedua, kerajaan mesti mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC). Ketiga, kerajaan mesti membantu lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina di Melaka dan akhirnya mengembalikan status warganegara kepada pejuang kebangsaan Cina, mendiang Lim Lian Geok yang ditarik balik pada tahun 1961.

Isu sekolah vernacular dan UEC tidak perlu saya terangkan lagi kerana ramai sudah mengetahuinya melalui penulisan saya sebelum ini. Namun, saya yakin tidak ramai kalangan kita yang mengenali mendiang Lian Geok. Kenapa nama beliau begitu penting dan sentiasa berkumandang? Elok juga kita lihat untuk dijadikan teladan.

Lian Geok yang meninggal pada tahun 1985, dianggap pejuang yang amat berjasa kepada kaum Cina, terutama ketika memimpin Dong Jiao Zong. Setiap tahun ada saja sambutan mengingati perjuangan dan jasa beliau tanpa berkecuali. Beliau adalah ikon. Perjuangan mempertahankan kewujudan sekolah vernakular adalah satu jihad dan hidup matinya.

Bila membaca belangsukawanya, saya pun rasa “kagum” dalam konteks kenapa umat Islam tidak mempunyai “pemikiran” seperti beliau. Semangat dan perjuangan memartabatkan pendidikan Cina tidak pernah luntur. Lian Geok meletakkan agenda bahasa dan bangsa di tempat pertama, sehingga terpaksa melupakan kemewahan hidup. Berbanding kita hari ini, agenda memperkasakan bangsa dan bahasa kebangsaan masih tunggang langgang.

Kata-kata keramat Lian Geok yang terus menjadi pegangan orang Cina adalah: “orang Cina mesti menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Sekolah Cina adalah ibarat nyawa dan roh. Jika orang Cina mahu memastikan mereka tetap Cina, tidak ada cara lain melainkan bersekolah Cina. Ini amat penting bagi mengekalkan identiti Cina, sayangkan bangsa Cina, budaya Cina, bahasa Cina, bangga menjadi Cina, dan lebih penting lagi tahu asal usul atau akar Cina”.

Patrioat yang sebenar pada Lian Geok bukanlah setakat mengibarkan bendera ketika merdeka, tetapi mereka yang berkorban untuk kebenaran, keadilan dan persamaan. Pada Lian Geok, beliau adalah seorang patrioat. Perjuangan beliau menjadi sumber inspirasi kepada majoriti persatuan Cina hari ini. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri.

Maka tidak hairanlah Presiden MCA baru-baru ini menggunakan psikologi berbalik dengan mencabar kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat supaya mengambil lulusan UEC sebagai pegawai atau kakitangan kerajaan pimpinan mereka, daripada terus mendesak Umno supaya menambah sekolah dan mengiktiraf sekolah vernakular terbabit. Jika Pakatan Rakyat menyahut cabaran ini, ia akan menjadi precedent. Sistem pendidikan kita akan berada dalam keadaan dilema.

Insiden yang sama berlaku seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sin Chew, di SJKC Hau Lim, Muar, Johor. Persatuan Cina mendesak supaya guru bahasa Melayu yang tidak menguasai bahasa Mandarin supaya ditukarkan serta merta. Mereka mahukan guru yang mengajar bahasa Melayu mesti menguasai bahasa Mandarin pada masa sama.

Guru Bahasa Melayu di sana dikatakan terpaksa meminta bantuan murid Cina untuk menterjemahkan subjek bahasa Melayu yang diajar ke dalam bahasa Mandarin. Persoalan saya, apa sebenarnya yang diajar dan dipertuturkan oleh ibubapa ketika berada di rumah? Mereka telah tahu, anak mereka tidak boleh berbahasa Melayu, tidak adakah inisiatif dibuat untuk memandaikan mereka dalam bahasa Melayu? Apa kewajipan kita sebenarnya sebagai warganegara terhadap bahasa kebangsaan yang jelas termaktub dalam perlembagaan?

Satu lagi kebimbangan Dong Jiao Zong adalah ada kalangan segelintir ibu bapa dan pelajar Cina mulai menentang tindakan mewajibkan mereka mengambil subjek bahasa Mandarin di peringkat SPM seperti yang berlaku di salah sebuah sekolah di Selangor. Jika dibiarkan, masa depan bahasa mandarin dan SJKC akan tergugat. Saya amat pelik, mereka tidak pernah bimbang anak mereka gagal bahasa Melayu, tetapi mereka amat bimbang jika anak mereka tidak mengambil subjek bahasa Mandarin. Kemudian mendesak supaya kerajaan mengiktiraf UEC. Adakah tindakan ini wajar? Fikirkanlah secara waras wahai bangsaku.

Pada saya suara generasi baru Cina ini perlu didengar. Masyarakat yang terlalu cauvanis tidak akan membawa kita ke mana-mana. — ridhuantee.blogspot.com


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: