Pendidikan, Bahasa dan Agama – Siapa Pula Yang Betul?

13 05 2011

Sebahagian dari kaum cina di negara ini semakin berani membuat pelbagai tuntutan yang hanya dapat dilihat sebagai tuntutan perkauman.  Dalam soal pendidikan dan bahasa kebangsaan, kaum ini sudah lagi tidak mengendahkan keluhuran Perlembagaan Negara, lebih-lebih lagi mereka-mereka ini diberi muka oleh DS Najib sendiri, selaku Perdana Menteri.

Ketegaran DS Najib membela pendidikan vernakular dan boleh dikatakan sentiasa tunduk kepada tuntutan-tuntutan kaum cina ini kini telah merebak kepada isu AGAMA RASMI NEGARA apabila kini, suara-suara mencabar agama rasmi negara ini begitu lantang dan bebas disuarakan oleh golongan-golongan. Amat dukacita, sekali lagi DS Najib sebagai pemimpin negara ini dilihat semakin terkulai dalam menangani isu-isu besar seperti ini.

Berikut adalah sebuah artikel Dr. Ridhuan Tee yang diterbitkan tidak lama dahulu di laman blognya.

Siapa pula yang betul?

Sinar Harian 11 April 2011

Menyambung bicara saya sebelum ini bertajuk akhbar mana yang betul? Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz berkata percakapannya semasa sesi temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini telah disalah tafsir oleh wartawan berkenaan sehingga menyinggung perasaan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Akhbar Cina melaporkan, Nazri menyifatkan MCA ibarat isteri yang asyik mengadu kepada orang luar akan perlakuan suaminya yang menganiayanya seperti penderaan seks, tidak memberi nafkah tetapi menolak untuk bercerai. Nazri juga dilaporkan berkata supaya MCA tidak bertindak seperti hero orang Cina melalui tindakannya mengkritik Umno. Pemimpin MCA tidak kurang hebatnya dengan skandal seksnya yang akan menyebab wanita tidak mengundi MCA.

Menurut versi MCA yang percaya kepada akhbar tersebut, Nazri dikatakan mencabar MCA untuk keluar daripada BN jika tidak bersetuju dengan dasar Umno daripada mencabar, dan mendesak Umno saban kali.

Nazri mengatakan pemberita tersebut tidak faham konteks yang dimaksudkan. Nazri berkata laporan berkenaan berpunca daripada salah tafsiran dan kemungkinan wartawan akhbar terbabit tidak begitu memahami Bahasa Melayu.

Saya tidak bertujuan menyebelahi Nazri, tetapi saya yakin kekeliruan ini disebabkan oleh soal bahasa dan bunga-bunga bahasa. Sama juga isu novel Interlok, agak sukar juga untuk difahami sepenuhnya jika tidak berlatar belakangkan bidang sastera. Dengan sebab itu, bidang kepakaran amat penting. Termasuk juga wartawan dan kefasihan berbahasa.

Subjek sastera kadang kala lebih susah daripada subjek sains kerana jawapannya subjektif. Dengan sebab itu, agak sukar sikit untuk pelajar sastera skor A atau A+ dalam SPM berbanding pelajar sains. Logiknya mudah, sastera bermain dengan lenggok bahasa dan seni, sedangkan sains dan matematik melibatkan hasil uji kaji dan angka.

Maka, tidak mustahil jika tidak ramai pelajar Cina dalam SPM baru-baru ini yang mendapat A+ atau A dalam subjek sastera dan bahasa Cina, kerana subjeknya susah seperti juga sastera Melayu.

Namun, cuba kita lihat reaksi pemimpin mereka. Pemimpin-pemimpin Cina tampil mendesak Kementerian Pelajaran memberikan jawapan kenapa pelajar-pelajar mereka tidak ramai dapat A? Tidakkah skima dan cara pemeriksaan boleh dilonggarkan agar ramai yang dapat A? Tujuannya tidak lain, supaya subjek ini tidak menghalang daripada ramai lagi yang mendapat straight A? Pendek kata, mereka tidak mahu subjek hidup mati mereka ini menghalang mereka untuk terus cemerlang. Saya harap kita semua dapat membuka mata akan strategi licik ini. Tidak perlu saya berbicara panjang.

Pemeriksa diminta memberikan kelonggaran. Adakah A+ yang kita lihat bukan kualitinya? Ini yang dikatakan buat salah, tak buat salah.

Kenapa tidak dipersoalkan berapa ramai pelajar Cina yang gagal dalam bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Mereka tidak kisah pun anak bangsa mereka gagal dalam bahasa kebangsaan. Yang penting adalah bahasa ibunda. Kita masih membutakan mata dan memekakkan telinga.

Buktinya nyata, sekolah di tempat saya menjadi Yang DiPertua PIBG, keputusan SPM tahun 2010 merosot 10 peratus kerana ramai pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Kenapa ia tidak dipersoalkan? Kenapa tidak dapat A dalam bahasa Cina yang dijadikan isu dan hujah untuk menekan Kementerian Pelajaran. Mana lebih utama bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan? Malang sungguh negara ini, setelah merdeka 53 tahun, kita masih gagal memberikan kefahaman bahawa bahasa negara itu lebih penting daripada bahasa bangsa.

Terbaharu, Dong Jiao Zong menentang keputusan kerajaan untuk menahan setahun lagi kepada pelajar-pelajar tahun enam yang gagal dalam Bahasa Melayu di sekolah vernakular. Pada mereka, mereka mesti dibenarkan untuk terus ke sekolah menengah. Menahan mereka selama setahun lagi selepas tamat darjah enam ini akan menjadi sekolah vernakular menghadapi masalah guru dan bilik kelas.

Pendek kata, sebarang usaha penambahbaikan bahasa kebangsaan akan ditentang. Manakala, jika adalah kekurangan dalam bahasa ibunda akan diperjuangkan habis-habisan. Maknanya, sampai kiamatpun, isu bahasa ini tidak akan selesai, kerana agenda bangsa lebih diutamakan daripada agenda negara.

Maka tidak hairanlah kes Nazri Aziz ini berlaku. Jika wartawan tersebut benar-benar menguasai bahasa Melayu sudah tentu tidak timbul isu. Tetapi saya naik meluat apabila MCA dan Gerakan terus-menerus membangkitkan ketidakpuasan hatinya terhadap kenyataan Nazri Aziz.

Kini, saban hari laman web pembangkang memainkan isu ini dan beberapa pemimpin parti komponen BN meminta Nazri memohon maaf secara terbuka. Sedangkan beliau bercakap atas kapasiti sebagai pemimpin bahagian bukan wakil kerajaan. Alasan mudah, kata-kata tersebut bercanggah dengan semangat 1Malaysia. Malang sungguh gagasan ini menjadi alat untuk memenuhi nafsu dan kepentingan bangsa.

Kepada Nazri Aziz, tidak perlu rasa cuak dengan desakan MCA dan Gerakan kerana dalam politik Cina, parti-parti politik tidak kuat. Gerakan dan DAP hanya menyuarakan pendapat Dong Jiao Zong. Yang paling kuat dalam permainan politik adalah NGO mereka seperti Dong Jiao Zong. Badan ini yang sepatutnya ditangani dengan serius.

Begitu juga dengan isu Persekutuan Kristian Malaysia seperti kaduk naik junjung, tidak mahu menerima al Kitab (Injil) dalam bahasa Melayu yang telah dicop oleh kerajaan. Pada saya mudah sahaja, tidak perlu layan golongan sebegini, buang masa sahaja. Bayangkan nasib umat Islam di negara bukan Islam seperti India dan China. Adakah mereka bebas melakukan apa sahaja?

Saya secara prinsipnya tidak pernah gentar atau mahu menghalang sama ada Al-Kitab tersebut mahu diterjemahkan dalam apa jua bahasa, hatta penggunaan nama Allah sekalipun. Malah tidak perlukan dicop dengan apa-apa perkataan. Berikanlah kepada mereka ‘sebiji’ seperti yang dicetak atau apa jua kemahuan mereka. Tetapi uniknya di Malaysia, agama Islam dilindungi dalam perlembagaan persekutuan.

Inilah perbezaan ketara antara Malaysia dengan negara-negara lain di mana bukan Islam menjadi minoriti. Bukan kerana Malaysia tidak mempraktikkan kebebasan, tetapi Islam mempunyai kedudukan istimewa berbanding dengan agama lain. Selain daripada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perkara 3(1), pihak kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atua Kerajaan Negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuh atau menyelenggara atau membantu penubuhan institusi Islam dan melaksanakan ajaran agama Islam serta mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu (Mohamed Suffian Hashim, 1987).

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa prinsip Islam yang termaktub dalam perlembagaan yang tercatat dalam beberapa fasal lain yang harus dibaca bersama dengan perkara 3(1) iaitu:

Perkara 11(4): Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.

Begitu dalam perkara 12(2) menyebut: adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

Tidak ketinggalan dalam Perkara 121(1A) turut menyebut: mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam kuasa mahkamah syariah.

Semua fakta ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan agama Islam dalam perlembagaan amat istimewa tanpa menafikan hak-hak agama lain. Malah kalau kita lihat secara realiti, hak-hak agama lain kadang kala sudah jauh meninggalkan hak-hak Islam itu sendiri. Lihat sahaja kedudukan bilangan rumah ibadat bukan Islam, berkali-kali ganda daripada bilangan masjid dan surau. Umat Islam tidak pernah bising atau menuntut supaya paling tidakpun bilangannya biarlah sama atau mengikut pecahan penduduk antara Islam dan bukan Islam.

Seperti yang pernah saya sebut dahulu, berapa banyak masjid dan surau menjadi korban untuk memberikan laluan kepada pembangunan. Umat Islam tidak banyak cakap dan mereka redha. Berbanding dengan jika sebuah dua rumah ibadat mereka mahu dirobohkan untuk laluan pembangunan. Maka hebohlah satu dunia seolah-olah hak agama mereka dinafikan. Malah ada yang sanggup mendesak kerajaan membuka semula rumah ibadat yang telah ditutup buat sementara kerana berada di kawasan berisiko tinggi dan tidak selamat digunakan. Sedangkan banyak lagi rumah ibadat yang masih kosong dan tidak digunakan sepenuhnya.

Pada saya toleransi umat Islam terhadap agama lain amat tinggi. Ini tidak termasuk peruntukan-peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk tujuan menyemarakkan agama mereka seperti pemberian tanah dan bantuan-bantuan yang lain. Cuma kita minta jangan terlalu mendesak dan mengambil kesempatan, kerana ia akan melukakan hati umat Islam.

Saya amat bersyukur dapat tinggal di bumi bertuah ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang merangka perlembagaan kerana melindungi kepentingan agama Islam di negara ini bagi melindungi orang-orang Melayu (Islam). Jika tidak, saya tidak tahu apa akan terjadi dengan sebahagian umat Islam hari ini yang mudah ‘cair’ dan rosak akhlak serta akidahnya. Jika tidak ada perlindungan, berapa ramai lagi yang akan murtad atau beralih kepada agama lain kerana serangan dan strategi mereka amat hebat dan licik?

Akhirnya, saya juga meminta pihak polis dan orang Islam supaya membuat pemantauan di gereja. Lihat realiti yang berlaku. Siasat apa yang ada di sana. Tidakkah kita sedar bahawa Selangor Times, bulletin pembangkang diedarkan di gereja-gereja, terutama di FGA Jalan Kuchai Lama?

Tidak ada siapapun yang bercakap isu ini kerana buletin tersebut menyebelahi mereka. Gereja telah menjadi tempat menyemaikan idea pembangkang. Tidak cukup lagikah kebebasan yang diberikan selama ini? Siapakah dan apakah yang betul sebenarnya?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau


Actions

Information

One response

13 05 2011
rakyatdidahulukan

Apa maksudnya keluhuran Perlembagaan?
Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan sudah termaktub agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan termaktub bahasa kebangsaan ialah Bahasa Malaysia dan hendak ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Dengan syarat bahawa
a) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain;
b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan penggajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.
Dalam Perkara 153(1) Perlembagaan Persekutuan: Adalah menjadi tanggungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum yang lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Keluhuran Perlembagaan terjejas sekiranya Perlembagaan Persekutuan hanya ditafsir dan dijunjung tinggi mengikut kepentingan pihak yang berkepentingan dan mengetepikan kepentingan mana-mana pihak yang lain. Adalah bercanggah dengan gagasan 1Malaysia yang disarankan oleh YAB DS Najib yang sudah dipilih dan disokongan majoriti oleh rakyat Malaysia. Janganlah kita kata Malaysia adalah negara demokratik tetapi kita cuba menghalang dan membelakangkan hala tuju negara yang betul ini: Transformasi Kerajaan dan ekonomi…Apa yang betul sebenar? Yang betul ialah jangan kita selalu menyalahkan orang atau pihak lawan adalah salah tetapi tidak mengakui kadang-kala kita pun ada silap juga, kerana hanya Allah yang benar dan tak bersalah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: