Kontrak Sosial – Aset Keharmonian Negara

29 05 2011

Dari laman LAMIAFAMILIA (MY FAMILY)

Kontrak sosial aset keharmonian kaum Melayu, Cina dan India


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
19.5.2011

PEMBENTUKAN Perlembagaan Negara mempunyai sejarah yang panjang.

Ia hasil tolak ansur antara kaum di Tanah Melayu pada waktu itu yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Semua pihak saling menerima di antara satu sama lain.

Melalui perjanjian itu juga, setiap kaum tidak akan mempersoalkan lagi apa yang telah dipersetujui bersama.

Ia mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, agama Islam sebagai agama rasmi negara serta hak-hak istimewa orang Melayu. Begitulah sebaliknya orang Melayu juga menerima hak-hak istimewa kaum lain di negara ini.

Kerana itu, dalam apa jua pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk balik kepada sejarah. Tidak kira apa isu pun, yang penting faktanya.

Katakanlah, terdapat kegiatan pihak tertentu cuba mewujudkan ‘perlembagaan baru’ bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan, kita mungkin belum lagi terkejut. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri sudah dipinda banyak kali.

Namun apabila dikaitkan ‘perlembagaan baru’ itu akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang, kita khususnya orang Melayu pasti berasa terhiris, lagi tersayat.

Sekadar renungan, meskipun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama.

Justeru, ada sebabnya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya tidak sesekali mempersoalkan isu agama dan kontrak sosial. Hakikatnya adalah mujur kaum Melayu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan oleh penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan ‘psyche keMelayuan’. Dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.

Ini kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada Tanah Melayu.

Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 pula, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.

Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut. Dan perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: “Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu”.

Ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.

Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dan walaupun ia telah dipinda berpuluh-puluh kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini.

Setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.

Perlembagaan Persekutuan dengan kontrak sosial perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan – seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.

Bangsa Malaysia yang progresif pada tahun 2020 akan tinggal sekadar utopia tanpa penghayatan terhadap semua ini.

KOMEN : BACA , HAYATI DAN FAHAMI SERTA USAH PERSOALKAN KONTRAK SOSIAL INI.

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: