Pemimpin China atau Pemimpin Malaysia?

22 11 2011

Kenyataan Chua Soi Lek Membelakangi Semangat Perlembagaan dan Legasi Kepulauan Melayu

Suntingan oleh Dari Mata Pena, Perkasa, Semasa Nov 7, 2011

Laporan Razak dan Rahman Talib yang telah diwartakan sebagai Akta Pelajaran 1961 meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam rangka pembinaan bangsa, jatidiri dan landasan perpaduan bangsa yang tersuntik dan digagasi menjadi agenda pendidikan negara. Laporan-laporan tersebut secara jelas dan tegas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua sekolah kebangsaan serta penekanannya dalam sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia pula menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Di samping itu, ia menyebut bahawa bahasa rasmi termasuk semua prosiding mahkamah, dokumen-dokumen parlimen dan mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu. Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Perkara 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan jawi tidak dilarang.

Kenyataan Chua Soi Lek di dalam akhbar The Star (6hb November, 2011) yang menyarankan agar Bahasa Inggeris dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus di dalam peperiksaan SPM serta Kesusasteraan Inggeris sebagai mata pelajaran wajib setelah kerajaan mewar-warkan pemansuhan PPSMI bermula pada tahun 2012, dapat disifatkan sebagai membelakangi semangat yang terkandung di dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia serta Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bertitik-tolak dari Laporan Razak dan Rahman Talib.

Sementara itu akhbar Strait Times (4hb November, 2011) melaporkan Chua juga mahu sekolah-sekolah di Malaysia memberi penekanan terhadap bahasa Mandarin kerana China dianggap sebagai penjanakuasa ekonomi nombor dua di dunia dan perdagangan dengan China telah mencecah US$74 bilion tahun lalu.

Beliau turut menegaskan semula bahawa MCA berpendirian supaya seluruh warganegara Malaysia seharusnya boleh menguasai pelbagai bahasa dengan menguasai sepenuhnya bahasa Malaysia (bahasa Melayu), Inggeris dan Mandarin.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan tersebut, Chua sebenarnya cuba mempermain-mainkan kedudukan Bahasa Melayu sambil memberi keutamaan kepada bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Memang beliau ada menyebut supaya rakyat seluruhnya dapat menguasai pelbagai bahasa tetapi tidak dengan tepat dan beriltizam meletakkan serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sebagai bekas Menteri, beliau sepatutnya lebih menghargai bahkan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan walaupun beliau berketurunan Cina. Sepatutnya beliau mencari jalan agar rakyat berketurunan Cina memiliki perasaan cinta terhadap bahasa rasmi negara dan boleh bertutur dengan baik pada tahap penguasaan yang manasabah. Ini juga termasuk dalam ruanglingkup semangat patriotik dan cintakan negara.Sepatutnya Chua menyetujui agar sistem satu aliran digunapakai di sekolah-sekolah di Malaysia agar matlamat untuk menuju kearah Perpaduan Nasional menjadi kenyataan.

Sikap dan pendirian sedemikian mencerminkan darjah taat setia dan wala’ pemimpin sebuah parti yang mewakili satu sektor dalam masyarakat Malaysia kepada bumi Melayu ini. Jika penekanannya seimbang terhadap bahasa Melayu, kita musykil sangat tentang penguasaan bahasa Melayu asas yang dimiliki oleh kaum yang diwakilinya. Selama ini, rata-rata mereka hanya berbahasa Melayu pasar malah ada yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu sedangkan mereka adalah warganegara Malaysia.

Pernah berlaku dalam proses perbicaraan di mahkamah yang melibatkan para pelajar berketurunan Cina dari tingkatan tiga sekolah menengah kebangsaan terpaksa menggunakan khidmat penterjemah untuk menjawab soalan-soalan daripada peguam. Kita merasa yakin jika penekanan bermanca bahasa yang disarankan Chua itu sejajar dengan realiti Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menepati tuntutan dan kehendak Perlembagaan negara serta ia diterima-pakai dan dihayati sepenuhnya oleh semua kaum di negara ini, perkara sebegini tidak akan terjadi.

Kita setuju saranan supaya rakyat Malaysia boleh bermanca bahasa, tetapi sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, mekanisme penyatuan rakyat melalui penggunaan satu bahasa rasmi mesti dilaksanakan secara utuh, bulat dan tidak berbelah bahagi. Penghayatan, pemakaian dan penggunaannya harus luas terlaksana sehingga setiap orang yang telah bergenerasi bermastautin dan menjadi warganegara di negara ini tidak kekok dan merasa asing bertutur dalam bahasa Melayu.

Jika kayu ukuran Chua untuk memberi penekanan kepada bahasa Mandarin justeru China dianggap gergasi ekonomi dunia kedua dan hubungan dagang Malaysia-China sudah melewati paras berbilion ringgit, kenapa negara-negara maju seperti Amerika, Jepun dan Rusia tidak beranggapan sama sedangkan mereka juga mempunyai hubungan dagang dengan negara China dan rakyat Amerika misalnya, yang berketurunan Cina sudah mencapai angka 10 juta orang.

Kita ingin mengingatkan Chua dan sekongkolan fahamnya bahawa melalui usaha-usaha yang dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Melayu – sistem ejaan, sebutan, tatabahasa dan daftar perkamusannya – telah dibakukan serta mencapai tahap yang lebih baik dari bahasa Inggeris. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pengukuhan bahasa Melayu dalam bidang ilmiah melalui penerokaan disiplin keilmuan baru dan bidang-bidang penyelidikan yang diselia-selenggara dan dijalankan melalui bahasa Melayu telah menunjukkan tahap pencapaian luar biasa serta dikagumi dunia. Pencapaian dan pengiktirafan tersebut turut merentas benua melalui permintaan-permintaan di kalangan dunia akademik bagi mewujudkan makmal bahasa Melayu di negara-negara mereka.

Akhirnya, PERKASA memandang serius dan sentiasa memantau secara dekat lenggok dan keranah Chua dalam memperjuangkan kepentingan rakyat berketurunan Cina di negara ini sehingga menimbulkan semacam kontroversi atau percanggahan serta membelakangi Perlembagaan Negara serta legasi sejarah bangsa Melayu. PERKASA tidak akan berdiam diri sekiranya perkara-perkara yang ditimbulkan memberi kesan yang ketara merosakkan semua pihak.

Ruslan Haji Kasim
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA)
Email : hjruslan59@gmail.com
O12-2255366, 019-3109323


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: