Apabila Kepentingan Politik Diutamakan, Kepentingan Membina Negara Diabaikan

3 12 2011

Satu Sekolah – Dua Artikel Terbaik

Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Sayapun dah berbuih-buih bercakap dan menulis. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan. Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan. Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Negara ini seolah-olah tidak ada identiti berbanding negara lain.

Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian. Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan menggugut sekiranya kerajaan meneruskan niatnya. Desakan dan ugutan mempunyai kaitan rapat dengan politik pilihan raya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah (1300 SJKC + 530 SJKT). Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina (5 peratus). Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.

Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Kanak-kanak tidak boleh dipisahkan sejak dari kecil. Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah. Wujudnya kelas-kelas peralihan dan penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan sekolah vernakular menyebabkan interaksi antara pelajar bukan Melayu dengan Melayu amat berbatas. Akhirnya, mereka kekok, malu dan tidak mahu bercampur. Apatah lagi bahasa kebangsaan tidak dapat difahami. Mereka akan hidup dalam kepompong mereka sendiri. Keadaan ini akan menjadikan mereka menjadi semakin kiasu.

Sebagai Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, selama 6 tahun hingga kini, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah 6 tahun dipisahkan di sekolah rendah. Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah dan pengajian tinggi. Lihatlah apa yang berlaku di IPTA dan IPTS. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Sudah terang lagi bersuluh. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi mana kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertandukpun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan. Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggup kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita? Saya bimbang ketika itu sudah terlambat untuk diperbetulkan.

Berkali-kali telah saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya. Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

Baru-baru ini Universiti Pertahanan Nasional Malaysia telah menganjurkan persidangan mengenai pendidikan tinggi dan pembangunan bangsa. Kerisauan yang sama diperbahaskan dengan panjang lebar mengenai sistem satu sekolah dalam arus pendidikan perdana seperti saranan Prof. Khoo Kay Kim.

Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Kalau adapun lebih dari satu, sudah lama dihapuskan, bagi mencapai kepentingan masa hadapan dan nasional. Dengan sebab itu, Thailand awal-awal telah menghapuskan dan merobohkan sekolah Cina pada tahun 1930-an (Ye Lin-Sheng, 2003). Sebenarnya Malaysia adalah syurga kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak dapat. Mereka adalah seperti seadanya mereka seperti mana asal mereka. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan. Malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular ini terus ditambah dalam setiap Rancangan Malaysia.

Persoalan saya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik. Sekolah nasional mesti diutamakan berbanding sekolah etnik. Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan. Manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Inilah bara yang masih terus menyala menunjukkan betapa serius politik perkauman di negara kita. Rujuklah artikel sebelum ini di dalam Utusan Malaysia.

Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas seperti yang telah dilakukan oleh negara lain seperti Thailand dan negara-negara lain di dunia. Kerajaan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan. Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka. Tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

Tamadun dunia membuktikan, apabila rakyat dipisahkan sejak dari kecil, kita sebenarnya mengundang bahaya di depan mata. Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat. Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? 20 tahun? 30 tahun? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan lagi dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa? Kalau inipun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam perlembagaan? Apakah kita masih belum faham perkara asas ini setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

Dr. Ridhuan Tee, Mingguan Malaysia 8 November 2009

Sistem sukatan satu sekolah berjaya dinegara lain, kenapa tidak Malaysia?

  • Isu cadangan sekolah satu sukatan ini menjadi perbualan hangat dibibir rakyat Malaysia. Samada dikalangan orang Melayu atau Bukan Melayu, sedikit sebanyak reaksi sudah mula kelihatan. Cadangan YB Dato’ Mukhriz Mahathir ini wajar dipertimbangankan secara objektif, oleh semua pihak dalam usaha permulaan untuk mencapai integrasi etnik dalam masyarakat majmuk dan sistem fabrik sosial yang kompleks dan rumit negara ini.
  • Hakikatnya, sistem sekolah satu sukatan ini berjaya dilaksanakan dan keberkesananya amat membanggakan dinegara lain, dimana berlaku masyarakat majmuk dan sistem fabrik sosial juga yang sama rumit. Kerajaan PAP Singapura mula menerapkan sistem ini pada lewat 60an dan memansuhkan sistem sekolah Melayu, Cina dan Tamil. Hasilnya, berlaku integrasi etnik yang berkesan dan pembangunan negara-bandaraya itu sebagai paling pesat dan progressif diperingkat global.
  • Perbezaan antara Malaysia dan Singapura ialah Singapura, penduduk majoritinya ialah orang etnik Cina (75%). Sekiranya masyarakat etnik Cina Singapura bersedia memansuhkan sistem pendidikan Cina mereka, demi kepentingan negara-bandaraya  itu, maka mengapa masyarakat etnik Cina Malaysia tidak sama mengikut langkah ini.
  • Hakikatnya, pihak seperti DAP, antara yang paling lantang menentang cadangan pemansuhan sistem pendidikan Cina di Malaysia. Walaupun DAP ialah sebenarnya lahir dari PAP apabila Singapura dipisahkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, mereka tidak mengekori cara PAP ambil untuk menentukan proses integrasi nasional diutamakan, bagi kemajuan dan pembangunan Negara. DAP dilihat lebih bersifat chauvinis Cina dan kadang kala, mengambil pendekatan ekstremism apabila isu sistem pendidikan sekolah Cina dibangkitkan. Sebagai contohnya, isu penutupan Sekolah Cina Damansara, yang begitu kuat dipolitikan DAP, yang akhirnya menjadi urutan parti politik etnik Cina lain.  Badan lain, termasuk NGO seperti Dong Jiao Zong amat lantang membangkitkan isu ini. Isu ini sering dipolitikan sehingga ianya menjadi bahan amat sensitif sehingga berlaku keadaan ‘peras-ugut politik’ (political ransom).
  • Sempena negara menyambut Hari Raya Aidil Adha Isnin ini, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban, Kepimpinan Negara disarankan mengunakan kesempatan ini untuk mengambil pendekatan serious agar sistem sekolah satu sukatan ini dilaksanakan, bagi kepentingan integrasi nasional. Mungkin pihak chauvinis Cina tidak bersedia untuk ‘mengorbankan’ kepentingan mereka dan sampai bila pun, kesediaan ini diragukan. Maka, mungkin kita sebagai warga majoriti Malaysia, berusaha secara agressif untuk menentukan ‘korban’ ini dilaksanakan, sesuai dengan semangat demokrasi; kepentingan majoriti membatasi kepentingan minoriti.
  • Bagi mereka yang begitu kagum dan sampai ketahap mengagungkan kemampuan dan keberkesanan cara Singapura  untuk mencari penyelesaian bagi mencapai kemajuan dan pembangunan, termasuk integrasi etnik, maka inilah peluang untuk membuktikan keyakinan mereka atas semangat dan falsafah itu. Memberikan sokongan padu agar sistem pendidikan Cina di’korban’kan bagi kepentingan integrasi nasional, perpaduan dan kesefahaman antara kaum perlu menjadi prioriti negara, dalam apa keadaan sekali pun.
  • TEPUK DADA, TANYA SELERA!

 Dr BigDog Berita bigdogdotcom


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: