Agenda Perpaduan dan Pendidikan Perlu Disemarakkan

8 02 2012

 

Kukuhkan agenda penyatuan demi survival Melayu


Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my

AGENDA penyatuan dan pendidikan Melayu harus diperkukuhkan dan dipertahankan agar ia tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keistimewaan Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keupayaan penyatuan dan pendidikan Melayu amatlah penting dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi yang perlu diamati dan difahami oleh setiap individu Melayu di negara ini. Namun kini, orang Melayu seolah-olah lalai dalam mengumpulkan kekuatan tersebut apabila keistimewaan dan haknya dengan mudah dipersoalkan oleh pihak ketiga.

Ini kerana kelonggaran perpaduan dalam kalangan orang Melayu yang kini dilihat semakin berpecah akibat perbezaan ideologi politik, taksub kepada individu tertentu dan melebihkan kepentingan diri.

Kelonggaran perpaduan dan penyatuan ini, mengakibatkan hak-hak keistimewaan Melayu sewenang-wenangnya dipertikai dengan pelbagai analogi dan cemuhan, seolah-olah Melayu di negara ini amat kejam kepada bangsa lain. Sedangkan orang Melayu merupakan bangsa yang sentiasa memberi peluang kepada bangsa lain untuk menikmati dan berkongsi kekayaan di tanah airnya sendiri termasuk dari aspek pendidikan rendah sehingga ke universiti.

Justeru Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prof. Datuk Sahol Hamid Abu Bakar menegaskan, agenda perpaduan dan pendidikan di negara ini perlu terus disemarakkan demi masa depan survival Melayu.

Menurut beliau, usaha-usaha penyatuan Melayu perlu dilaksanakan secara agresif agar maruah dan darjat bangsa Melayu diangkat ke tahap tertinggi dan terus kekal serta mampu menjadi antara penentu kepada kejayaan orang Melayu.

“Pihak-pihak yang mempunyai keupayaan seharusnya menyambut ia sebagai cabaran dan dijadikan realiti, jangan apabila isu kuota membuka UiTM kepada bukan bumiputera tidak ramai orang Melayu tampil mempertahankannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sahol Hamid menegaskan, dalam mengekalkan entiti penyatuan Melayu sudah sewajarnya sekumpulan cendekiawan, intelektual mahasiswa Melayu bersama-sama kepimpinan negara menyusun strategi yang mampu merealisasikan hasrat berkenaan.

Katanya, sebagai permulaan mengapa tidak semua orang Melayu menggembleng idea, masa dan tenaga untuk mengurus dan menyelesai isu-isu sosial yang melanda negara ketika ini.

“Isu pendidikan Melayu seperti di UiTM perlu dipertahankan dan direalisasikan jika orang Melayu mampu mendahulukan keperluan rakan sebangsa,” katanya.

Mengimbau sejarah lampau, kata Sahol Hamid, bangsa Melayu begitu mantap jati diri dan bergerak bersungguh-sungguh ke arah memartabatkan maruah bangsa. Hasilnya, lahirlah negara berdaulat, dihormati dan dipandang tinggi oleh bangsa asing.

Beliau menambah, perpaduan yang melibatkan semua umat Melayu tanpa mengambil kira ideologi politik penting demi melahirkan bangsa Melayu yang jaguh dalam soal ekonomi, politik, pendidikan, sains dan sebagainya.

“Kita perlu merenung sejarah perjuangan silam. Semakin rumit halangan yang ditempuh, semakin mantap kesatuan bangsa Melayu. Bangsa Melayu sanggup menggadaikan nyawa demi kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara. Resipi tersebut diperlukan untuk terus melestarikan kewujudan bangsa Melayu yang unggul,” jelasnya.

Dalam pada itu Sahol Hamid berkata, dalam usaha menyatukan orang Melayu, UiTM menyasarkan lebih ramai graduan berkualiti serta memenuhi pasaran tenaga kerja profesional di negara ini.

“Kita berusaha keras menyediakan peluang kepada bumiputera mengikuti pendidikan bertaraf profesional dalam bidang sains, industri, teknologi, perdagangan, seni dan kemasyarakatan melalui program pengajaran berkualiti dan inovatif serta memenuhi kehendak pasaran di samping mendokong dasar pembangunan negara.

“Kita bukan sahaja memberi ilmu kepada graduan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tetapi memastikan produk yang dikeluarkan bukan sahaja memenuhi pasaran guna tenaga manusia tempatan, malah bersedia berkhidmat di peringkat global,” katanya.

Beliau menambah, langkah kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi sangat baik dan relevan demi mengangkat martabat bangsa, negara dan kualiti rakyat menangani cabaran dekad akan datang yang diberi autonomi.

Katanya, perubahan nama jawatan pengarah kampus kepada rektor dan menaik taraf universiti kepada cawangan merupakan perubahan awal yang menunjukkan ada usaha peluasan kuasa kepada pentadbiran universiti.

Jelasnya, kemudahan infrastruktur dan bilik kuliah di kampus UiTM seluruh negara akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa di samping meningkatkan kualiti pensyarah dari segi kelulusan akademik, kepakaran dan penguasaan bahasa Inggeris.

Jelas beliau, fokus utama UiTM adalah melahirkan graduan berwibawa, berdaya saing serta berketerampilan bagi mewarnai sektor pekerjaan. Malah UiTM sendiri, telah mengadakan program Mengubah Destini Anak Bangsa bagi memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian di universiti ini. Sejak 2010, seramai 8,000 pelajar berpeluang mengikuti pengajian di kampus UiTM melalui program itu di seluruh negara yang mana peruntukan merangkumi kos tertentu termasuk yuran pengajian disalurkan kepada mereka.

Katanya, program ini dibuat bagi merakyatkan UiTM sebagai universiti yang relevan, dirujuk dan dihormati untuk terus kekal sebagaimana misi dan visi kewujudannya.

”Universiti ini percaya bahawa anak-anak Melayu dan bumiputera di sebalik latar belakang kekurangan dan kemiskinannya, jika diberi peluang untuk belajar mampu untuk bersaing dengan mana-mana kaum, dan mampu mengubah nasib keluarga mereka serta bangsanya.

”Perlu diingat bahawa kewujudan UiTM adalah untuk memberikan pendidikan agar bangsa Melayu dan bumiputera berada pada kedudukan ekonomi yang seimbang dengan bangsa lain. Kerana itulah, UiTM seboleh mungkin menawarkan tempat kepada mereka untuk menimba ilmu,” katanya.

Tegas beliau, mundurnya Melayu adalah kerana bangsa itu tidak bersatu.

”Kita tidak mahu melihat ada bangsa Melayu sendiri yang tidak mahu melihat lebih ramai anak bangsanya berjaya bersama UiTM,” katanya.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: