Ketegasan Dalam Mendokong Bahasa Kebangsaan Adalah di Perlukan

6 03 2012

 

 

February 29, 2012

29 FEB — Baru-baru ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menegaskan semua stesen radio tidak terkecuali milik swasta mesti menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Dalam masa sama, stesen radio di negara ini juga tidak harus dibiar menyiarkan slot tertentu yang secara tersurat mahupun tersirat menghina kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Para pendengar radio yang peka tentu menyedari ada sebuah stesen radio milik swasta yang bersifat memperleceh bahasa Melayu walaupun bahasa pengantar utama siarannya adalah bahasa kebangsaan itu sendiri.

Program stesen radio itu yang sifatnya konon mahu santai bertindak mengenakan orang lain yang tidak menguasai bahasa Inggeris. Caranya mudah sekali gus begitu senang untuk merendah-rendahkan taraf bahasa Melayu.

Rancangan yang diadakan setiap 8.40 pagi itu akan bermula dengan juruhebah radio akan berlakon menjadi orang yang hanya tahu berbahasa Inggeris lalu menghubungi orang yang hendak dikenakan yang lazimnya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Lalu ditonjolkan bagaimana “mangsa” yang hanya tahu berbahasa Melayu itu terkial-kial hendak melayan berbual dengan pemanggil itu. Akhirnya, perbualan itu akan diakhiri dengan ketawa berdekah-dekah oleh juruhebah terlibat dan pada masa sama mengejek “mangsa” tersebut.

Mengapa program sebegitu terus dibiarkan sehingga mencecah beberapa tahun? Tidakkah rakyat Malaysia rasa terhina dipermainkan hanya kerana tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?

Program itu jelas suatu bentuk penghinaan kepada pengguna bahasa Melayu di tanah airnya sendiri. Tidak ada keperluan bagi setiap lapisan rakyat kita untuk mahir bercakap bahasa Inggeris.

Makcik tukang jahit, petani, nelayan, pakcik jaga kubur, kakak toreh getah, penghantar surat, pekerja pasar raya dan lain-lain tidak menjadi keperluan bagi mereka untuk fasih berbahasa Inggeris.

Namun, golongan seperti itulah yang menjadi sasaran rancangan itu walhal mengetahui bahasa lain adalah kelebihan bukan keistimewaan. Tidak fasih berbahasa kebangsaan di buminya sendiri itulah yang patut lebih dimalukan.

Rancangan radio swasta itu patut dikecam dan diharamkan segera jika kita benar-benar mahu memperkasakan bahasa Melayu. Itu bukan suatu bentuk mendidik tetapi penghinaan kepada rakyat negara ini, yang mengecewakan ia dilakukan oleh radio berbahasa Melayu!

Seharusnya seruan Rais itu patut disahut terlebih dahulu oleh stesen radio tersebut. Promosikanlah bahasa kebangsaan yang baik kepada penutur bukan bahasa Melayu, bukan sebaliknya.

Jika hal tersebut berjaya dilakukan tiada masalah sebenarnya untuk 55 stesen radio lain yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membudayakan bahasa Melayu dengan baik, kreatif tetapi berhemah.

Ada baiknya jika Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dapat bersikap tegas kepada stesen radio yang secara tersurat mahupun tersirat menghina bahasa Melayu. — Utusan Malaysia


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: