Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.

12 03 2012

Dasar pendidikan negara kita pincang

Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.

Semasa pemimpin-pemimpin menanamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan memabawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Baru-baru ini telah terjadi pergaduhan antara pekerja restoran KFC berbangsa Melayu dengan pelanggannya berbangsa Cina. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman dan melabelkan kaum A atau kaum B sebagai kurang ajar atau biadap.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.


Actions

Information

2 responses

7 12 2012
cikgu majid

Saya amat menyetujui pendapat dan pandang yang diutarakan. Seharusnya Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran Malaysia, pengarah-pengarah pelajaran negeri dan daerah perlu respons terhadap pandangan yang telah dizahirkan. Setiap manusia berhak untuk menzahirkan perasaan yang tersurat dan tersirat demi mencapai kebaikan untuk masa depan bangsa (generasi) dan negara ini.

Pihak-pihak yang telah diamanahkan menerajui kepimpinan KPM wajar menghalusi pandangan tersebut. KPM jangan hanya berbangga dengan sistem yang diimport dari luar negara tanpa membuat sebarang kajian (R&D) secara mendalam terhadap kesan (baik/buruk) yang akan ditinggalkan dalam jangka masa 10 -20 tahun akan datang.

Pada pendapat saya sistem yang diadoptasi daripada mana-mana negara sekalipun di dunia ini, tidak mungkin dapat direalisasikan sama seperti yang dicapai sistem itu di negara asal di mana sistem itu diperoleh.
Hal ini disebabkan sistem pelajaran sedia ada di negara kita ada yang menggunakan bahasa pengantar yang berbeza-beza di sekolah-sekolah SK/SMK dan SJK, akan menjadi penghalang kepada tercapainya matlamat tersebut.
Budaya dan juga falsafah pelbagai etnik di negara ini di mana anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah tertentu juga berbeza.

Perbezaan budaya bukan sahaja dilihat dari segi bahasa pertuturan (bahasa ibunda), malahan wujud pertentangan dari segi budaya dan falsafah hidup. Contohnya, budaya yang diamalkan oleh para pelajar berbeza mengikut kawasan (persekitaran) samaada di bandar , kampung mahupun yang tinggal di kawasan pedalaman.
Di samping itu, faktor geografi, ekonomi penduduk, ideologi politik, fahaman keagamaan dan sebagainya juga menyumbang kepada kegagalan sistem yang cuba diperkenalkan.

Orang Melayu tetap tegar memperjuangkan bahasa Melayu (tolak bahasa Malaysia) dan ada yang menyelitkan fahaman fanatik agama tanpa memikirkan sensitiviti agama lain.
Orang Cina pula tetap mengekalkan bahasa dan budaya mereka melalui Persatuan mereka manakala kaum India tidak mahu ketinggalan memperjuangkan bahasa ibunda demi melariskan penjualan surat khabar tulisan tamil.

Saranan saya pihak yang mencadangkan sistem perlu menilai, meneliti, mengkaji, berdebat serta mengambil pandangan guru-guru terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan atau menerbitkan Blue-Print.
Janganlah sewenang-wenangnya bertindak hanya berpandukan kertas kerja yang dikemukakan oleh orang cerdik pandai semata-mata tanpa mengambil kira kesan (baik/buruk) yang akan dihadapi.
Di atas kertas, apa sahaja boleh ditulis tetapi hasilnya tidak semestinya seperti yang diharapkan.

KPM mestilah peka terhadap musuh dalam selimut (orang munafik) yang aktif menjalankan pelbagai usaha penyelidikan untuk melemahkan bangsa dan negara melalui salah satu saluran iaitu KPM ( sebenarnya banyak lagi saluran yang boleh ditembusi).
Perang saraf sedang berlaku dan kian menular di seluruh dunia terutama negara-negara dimusuhi dan dicemburui serta yang bercita-cita untuk menjadi negara maju seperti Malaysia.
Mereka mempunyai pelbagai tektik dan teknik dengan mengemukakan pelbagai cadangan (seperti melalui kajian,kertas kerja) sebagai alat untuk mempengaruhi agenda mereka.

Sepatutnya kita kekal dengan sistem pelajaran yang diperkenalkan oleh Tun Hj.Abdul Razak (Menteri Pelajaran pada 1960an-70an) dengan melakukan pengubahsuaian mengikut mengikut zaman (mengadaptasi yang baharu) seperti yang dilakukan oleh Tun Mahathir (1974-1978) dan menolak dengan tegas pihak yang cuba merombak sistem yang ada.
Misalnya, Sistem pelajaran di Singapura yang berasal dariopada Sistem Pelajaran Malaysia (tahun 60-an) kekal sehingga ke hari ini kian mantap dan standardnya diiktiraf bertaraf antarabangsa.
Sistem pelajaran di negara ini masih terkial-kial mencari resipi yang sesuai dan sentiasa dijadikan percubaan (eksperimentasi).

Apabila mendengar orang politik bercakap tentang Mata Pelajaran Sex, KPM pun kelam kabut ingin melaksanakannya
Tanpa berdialog dengan tenaga pengajar yang akan melaksanakan sistem tersebut, ada pula pihak yang memaksa dilaksanakan segera dengan alasan kononnya, “Inilah tindakan yang terbaik yang patut kita buat untuk mengatasi masalah semasa”
Begitu juga dengan Mata Pelajaran Alam dan Manusia yang jelas menghapuskan pengetahuan sejarah negara dan kelemahan yang berlaku dalam kerajaan-kerajaan dunia pada zaman dahulu di peringkat sekolah rendah.
Ada juga suara yang mengesyorkan Mata Pelajaran Keselamatan Jalan raya sebagai mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Pada pendapat saya, syor-syor tersebut dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu kepada KPM hanya untuk mencari kekayaan baru hasil daripada projek yang akan dilaksanakan.

Sistem yang diperkenalkan itu ternyata gagal membentuk generasi yang mempunyai jati diri terhadap tanahair.
Sistem tersebut sebenarnya menguntungkan pihak-pihak tertentu dan menjadi titik tolak kepada modal politik pihak pembangkang yang ingin berkuasa.
Kini, generasi alam dan manusia sudah dewasa (berumur 30-40 tahun) Ada di antara mereka giat membohongi generasi hari ini dengan pelbagai tohmahan serta memutar belit fakta. Ada di antara mereka mendakwa pihak komunis ialah pejuang kemerdekaan, Anwar Ibrahim menubuhkan Pasar Tani, pejuang bangsa dan bahasa Melayu dan bermacam-macam lagi.

Nasihat saya kepada Menteri Pelajaran dan KPM agar berhati-hati jika mahukan negara ini kekal selamat sejahtera hingga beratus-ratus tahun.

1. Menteri Pelajaran Malaysia perlu melaksanakan perancangan dengan tepat dan betul serta terbukti kesahihannya mengikut iklim dan budaya rakyat tempatan.
2. Menteri Pelajaran tradisinya bakal menjadi Perdana Menteri perlu menyediakan set generasi rakyat yang rasional, berdisiplin, berilmu dan dipercayai akan meneruskan tradisi kepimpinan negara dengan tulus ikhlas.
3. Menteri Pelajaran perlu memantapkan sistem pelajaran sedia ada dengan mengambil contoh negara yang mengamalkan budaya hampir sama dengan rakyat berbilang kaum negara ini.
4. Menteri Pelajaran perlu mendampingi bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Pelajaran, kesatuan guru, para akademik, guru-guru veteran dan tokoh-tokoh guru untuk mengambil pandangan mereka

Amaran :.
Jika sistem pelajaran yang diwartakan gagal mencapat matlamatnta,maka negara akan menerima padah atau kemungkinan berlaku kecelakaan seperti Mesir, Syria dan sebagainya di mana generasi muda gemar memberontak dan tidak lagi menghargai jasa serta tidak menghiraukan kesan buruk yang dihadapi.

Pepatah Melayu mengingatkan kita:
1. ” Jika makan dengan budak, lauk habis dulu. Jika mandi dengan budak, air keruh dulu,”
2. “Rambut sama hitam, hati lain-lain”
3.”Ada udang di sebalik batu”
4.” Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”
5. “Sediakan payung sebelum hujan”
6.” Masuk kandang kerbau mengembuk, Masuk kandang lembu menguak, Masuk kandang kambing, mengembek”
7. “Terlajak perahu dapat diundur, Terlajak kata buruk padahnya”
8. “Cakap siang, pandang-pandang.Cakap malam dengar-dengar”
9. “Menarik tepung hati-hati, tepung tidak terburai”
10.”Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat, bulat masyarakat kerana muafakat”
11. “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”
12.” Kalau banyak bercakap, akhirnya semua tersingkap”

7 12 2012
ISekolah

Saya tertarik dengan pendapat Cikgu itu. Ingin saya menyuarakan pentingnya ada hanya satu sistem persekolahn di negara ini – tidak tiga sistem (SK, SJKC, SJKT) yang ada sekarang ini, bagi menimbulkan suatu Bangsa Malaysia yang bersepadu dan kukuh untuk keharmonian, keamanan dan kemajuan negara di jangka masa panjang.

Benar, berbeza cara pemikiran, pendapat, latar belakang, budaya dan sebagainya antara berbagai etnik yang ada sekarang. Tetapi perlu kita mulakan dengan anak anak di bangku sekolah. Saya yaakin jika semua anak anak mula bercampur gaul di bangku sekolah, sedikit sebanyak akan hilang rasa ganjil bila bersama etnik lain, akan timbul faham memahami satu sama lain, tidak akan rasa janggal meneruskan pergaluan seperti itu selepas sekolah.

Jika bertutur sedikit sebanyak dan berlajar dengan menggunakan BM sebagai bahasa pengantar, maka kurang pelatnya, lebih mesranya bila bergaul sesama rakyat di masa dewasa. Selaras pula dengan BM di sebut di Perlembagaan sebagai perlu di gunakan untuk tujuan resmi, bahasa ibunda boleh di gunakan hanya “selain dari untuk tujuan resmi” itu. Dan sekolah ada lah tujuan resmi mana mana negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: