Multi bahasa?

12 05 2012

Kerajaan beri keutamaan tingkat mutu capai bertaraf dunia: Muhyiddin

USAHA meningkatkan kualiti sistem pendidikan supaya bertaraf dunia menjadi keutamaan kerajaan bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan di sesebuah negara perlu terus berkembang untuk kekal bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah selain berupaya memenuhi aspirasi negara.

“Sebagai pemimpin hari ini, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan generasi muda hari ini dapat melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Oleh itu, setiap kerajaan yang efektif perlu membabitkan semua sektor untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam membantu menjayakan transformasi sistem pendidikan termasuk mengambil kira pandangan mereka dalam membentuk hala tuju pendidikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leading Across – How Do Effective Government Leaders Engange Across Sectors? pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) anjuran Majlis Pelajaran Abu Dhabi (ADEC) di sini, semalam.

Persidangan yang julung kali diadakan itu dinaungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Pengerusi ADEC merangkap Timbalan Ketua Pemerintah Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kira-kira 200 pakar dalam bidang masing-masing termasuk pemimpin, ahli akademik dan penggiat dalam sektor swasta dijemput menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Selain Muhyiddin, turut menyampaikan ucaptama pada TES bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown; bekas Presiden Finland, Tarja Halonen dan bekas Menteri Pelajaran Ireland, Mary Hanafin.

Muhyiddin yang turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem pendidikan sejak mencapai kemerdekaan berkata, kerajaan perlu menangani pelbagai cabaran bagi melaksanakan program bersesuaian membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Ketika ini, ada 400,000 guru, lebih lima juta pelajar di 10,000 sekolah dan 27 juta rakyat merangkumi pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial di Malaysia.

“Oleh itu, cabaran utama dalam menjayakan transformasi untuk mengimbangi dan mencari kesamaan di kalangan setiap pihak ini untuk melaksanakan program serta polisi bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji kemampuan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid bagi membolehkan generasi muda hari ini bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita sudah biasa dengan (pengajaran) dwibahasa di sekolah di negara ini dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa,” katanya kepada wartawan Malaysia sejurus melakukan lawatan ke Sekolah Al Mushrif di sini, kelmarin.

Advertisement