Berita 2 tahun Lepas – Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ditubuh

15 05 2012

Bahasa Melayu diperkasa elak terus berkecamuk

Oleh Azman Zakaria dan S Anand Kumar
2010/11/25

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ke arah mencari kaedah terbaik bagi memantau dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu meliputi pelbagai skop serta menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, serentak dengan penubuhannya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya 30 November ini, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan adanya mekanisme (jawatankuasa) ini, apa juga masalah dari segi penggunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian)… kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah satu daripada komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio dan televisyen serta di papan tanda.

“Penggunaan bahasa Melayu sebelum ini memang berkecamuk… seperti istilah infotainment, tetapi sudah diganti dengan inforia,” katanya.

Wee berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang akan memberi kuasa penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu serta menangani masalah bahasa rojak.

Katanya, pindaan itu sudah disyorkan tetapi belum dimuktamadkan Kabinet.
Beliau juga berkata, ada desakan supaya tindakan diambil terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik tetapi kerajaan berpendapat adalah lebih elok mereka ini dibimbing terutama yang membabitkan pemegang kepentingan dalam institusi kewangan dan bank.

Ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penggunaan bahasa rojak oleh pengulas sukan, Wee berkata, perkataan digunakan seperti ‘drop shot’ adalah jargon atau istilah yang biasa digunakan dan sudah diterima serta difahami pendengar serta peminat sukan.

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal Ismail, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul melalui perundangan sedia ada dan menerbitkan buku pedoman dan panduan bahasa, memberikan kursus penataran bahasa, melakukan pemantauan serta teguran.

Katanya, kerajaan berharap dapat memberikan pendidikan secukupnya agar rakyat dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua urusan harian.

“Secara tidak langsung, langkah ini akan dapat mengawal penyalahgunaan bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio atau televisyen atau papan tanda,” katanya.

Katanya, peruntukan mengenai penggunaan bahasa ada dalam undang-undang serta pelbagai peraturan khusus dalam bidang dan sektor, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 iaitu undang-undang induk.


Actions

Information

One response

15 05 2012
Setia

Ini berita baik. Lagi satu keputusan yang baik dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran kita.

Memanglah tujuannya mesti “mencari kaedah terbaik bagi memantau dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu meliputi pelbagai skop serta menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan”. Saya harap ini akan meliputi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sekolah Cina dan Tamil. Jika tidak, tidak akan “menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan”. Bahasa lain se olah olah dibenarkan bertanding dengan Bahasa Kebangsaan. Mesti ada hanya satu Bahasa Kebangsaan di negara ini. Tumpukan masa untuk memperkasa penggunaannya, tidak buang masa mengelak pertandingan kapadanya.

Jangan hanya dari segi istilah Dewan Bahasa dan Pustaka. TPM/ MP ada sebut Perkara 152 Perlembagaan berkenaan Bahasa Kebangsaan. Di tahun 1960an memang DBP memainkan peranan yang gagah bagi memajukan penggunaan Bahasa Kebangsaan. TPM dan Menteri Pelajaran perlu mengarah DBP supaya aktif semula dalam perkara ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: