“Robot-Robot” yang dihasilkan dek mengejar “A”

29 05 2012

Anda juga mungkin ingin membaca artikel-artikel berikut apabila YM Raja Nazrin menyentuh soal sistem pendidikan kita yang ada pada hari ini:-

 

 

Seterusnya, petikan dari Berita Harian.

Pendidikan terlalu teknikal hasilkan insan berwatak mekanikal: Raja Nazrin

2010/05/20

IPOH: Negara wajib bimbang sekiranya budaya pendidikan hari ini terlalu menumpukan kepada teknikal dan sekadar menyiapkan individu yang berupaya mengendalikan teknologi tetapi menyisihkan tanggungjawab untuk memberi nilai kehidupan kepada insan muda di alam persekolahan, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah matlamat pendidikan tidak sekadar untuk menghasilkan robot industri hingga dunia seolah-olah dijadikan gedung pemprosesan data, berakhir dengan pembinaan masyarakat yang sangat mekanikal karakternya.

“Jika insan-insan muda ini gagal dibangunkan secara seimbang, masa hadapan dunia dan alam semesta akan turut menjadi tempang dan berpotensi mengundang kepada berlaku lebih banyak kerosakan dan bencana.

“Pada masa yang sama, tidaklah adil untuk meletakkan sepenuh tanggungjawab membina generasi muka kepada masyarakat guru. Masa hadapan negara malah masa hadapan dunia sebenarnya ditentukan oleh dua institusi utama, pertama rumah dan keluarga, serta kedua sekolah dan guru,” titah baginda semasa merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Raja Nazrin Shah bertitah, minda dan roh anak-anak yang berada dalam usia formatif tersangat halus, dan jika satu permulaan salah berlaku di dalam keluarga, ia boleh merosakkan orientasi dan berpotensi memesong hala tuju hidup mereka.

“Pembinaan karakter generasi muda akan berakhir dengan ketidakseimbangan apabila sekolah semakin sehari semakin ditambahberatkan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan di rumah,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah kebelakangan ini negara sedang menyaksikan fenomena baru yang amat negatif dan sangat merosakkan di mana perilaku kurang beradab dan kurang bersopan dilakukan bukan sahaja oleh orang yang kurang berpelajaran tetapi juga daripada kalangan yang memiliki kelayakan profesional dan kelulusan pengajian di peringkat tinggi.

Aspek moral dan aspek disiplin adalah komponen penting ketika merangka resipi pendidikan bangsa. Penumpuan semata-mata terhadap pencapaian akademik hingga mengorbankan elemen-elemen adab dan sopan, dibimbangkan akan menghasilkan insan-insan yang tandus berbudi pekerti.

“Kayu ukuran pencapaian institusi bagaikan semakin taksub kepada gred pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Aspek budi bahasa, sopan santun, adab dan akhlak serta aspek penyemaian nilai-nilai ikhlas, jujur dan amanah semakin sehari semakin kurang diberi perhatian,” titah baginda.

Titah baginda, prinsip asas yang harus dibekalkan dan diperlengkap dalam usaha pembangunan insan adalah elemen disiplin untuk anak-anak membezakan antara yang baik dengan yang buruk, antara amal makruf dan nahi mungkar, nilai dan kebenaran, kejujuran dan keikhlasan.

Bagaimana nanti rupa bentuk pemimpin negara dan nakhoda institusi di masa hadapan, untuk melaksanakan amanah negara dan tanggungjawab institusi, jika sifat-sifat ikhlas dan jujur tidak lagi berada dalam darah daging mereka.

Maka janganlah disesalkan di kemudian hari, bila semakin banyak berlakunya kejadian pecah amanah, amalan rasuah dan perilaku salah guna kuasa yang mengakibatkan penderitaan kepada kehidupan warga dan kehancuran kepada sebuah negara bangsa,” titah baginda.

Raja Muda Perak turut mengingatkan bahawa pelajar tidak harus terlalu dijadikan bahan uji dan bahan kaji kepada pelbagai eksperimen hingga akhirnya mereka menjadi mangsa dan terpaksa membayar dengan harga kegagalan yang tinggi.

“Bahawa pepohon yang terlalu kerap diubah-ubah dari tapak ke tapak, dicabut dari taman ke taman, dipindahkan dari ladang ke ladang, akhirnya akan rosak akarnya, lalu pertumbuhan pohon menjadi terbantut. Kearifan dan kebijaksanaan guru adalah penentu untuk memastikan pohon-pohon ini tumbuh subur, berdahan dan bercabang, rendang merimbun, berbunga segar dan berbuah lebat,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah, jika sekolah itu umpama sebuah taman, maka ia adalah taman pendidikan yang sedang disemai dengan 5.4 juta pepohon iaitu jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah yang berusia antara enam dan 19 belas tahun dan diamanahkan penjagaan dan pertumbuhannya kepada 386,031 tenaga terlatih bergelar guru.

Dari kalangan mereka, adalah bakal Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri, bakal hakim dan peguam, bakal mufti dan imam, bakal doktor dan jururawat, bakal jurutera dan juruteknik, bakal anggota polis dan anggota tentera, bakal olahragawan dan seniman, bakal guru dan profesor, dan dukacita dinyatakan ada juga nanti kerana tersalah contoh dan tersisir haluan, akan berakhir dalam tahanan dan menghuni sel penjara,” titah baginda.

Pada sambutan itu Raja Nazrin Shah mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 daripada baginda untuk tabung sambutan Hari Guru negeri Perak.

Baginda turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru negeri Perak kepada Datuk Dawa @ Dewa Abdullah, 62, bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang selain anugerah Pingat Penghormatan Guru kepada 15 penerima, anugerah Guru Inovatif kepada lima penerima dan beberapa pemenang pertandingan mengarang. – Bernama


Actions

Information

One response

30 05 2012
Gejala Jahanam

Bukan sahaja robot, tapi swiss nya kominis, subversif dan penghasut, Tuan.

Di himpunan Bersih yang lalu, melanggar undang undang. Ikut saja apa loyar cakap. Loyar dah kena dakwa di Mahkamah sekarang, padan muka. 26 dah kena tangkap, 121 lagi Polis sedang hambat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: