Asas-Asas Negara – YAB DS Najib dan YB Menteri Pelajaran, sila ambil perhatian

30 05 2012

 

28 Mei, 2012

Buktikan Keikhlasan Dengan Satu Sekolah Untuk Semua Kaum

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Karpal Singh mengumumkan hasrat untuk mengangkat seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kenyataan Karpal sebenarnya tidaklah mengejutkan sangat. Malahan hasrat DAP sememangnya konsisten dengan perjuangan mereka sejak dari dahulu lagi hinggalah ke hari ini. DAP tidak pernah memadamkan gagasan yang diperjuangkan sekian lamanya iaitu Malaysian Malaysia.

Ini berlainan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS selaku ‘sahabat karib’ DAP mudah lemah semangat apabila disergah. Herdikan tegas DAP terhadap PAS menyebabkan parti yang ada perkataan Islam dalam nama parti mereka itu membuang gagasan mereka — Negara Islam PAS dibuang lalu diganti dengan Negara Berkebajikan.

Itu sedikit coretan buat para sahabat yang berada dalam PAS untuk bermuhasabah.

Kita balik semula kepada kisah DAP dengan hasrat mahu menjadi PM. Kebetulan penulis baru sahaja selesai membelek dan membaca akhbar Mingguan Malaysia sebentar tadi. Sebelah siangnya tidak ada masa kerana menghadiri undangan majlis perkahwinan.

Penulis tertarik dengan wawancara khas berhubung isu ini yang mana penulis fikir sesuai dikongsi bersama oleh para pembaca. Wawancara bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah. Penulis senada dengan beliau dan menyokong Satu Sekolah Untuk Semua [KLIK SINI].

Berikut penulis perturunkan wawancara penuh Mingguan Malaysia (27 Mei 2012) tersebut seperti di bawah:

Buktikan keikhlasan

MUKADIMAH

BARU-baru ini timbul isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu memastikan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri. Kata-kata beliau menimbulkan polemik yang pelbagai.

Banyak NGO Melayu menyanggah sikap Karpal ini apatah lagi beliau ada menyebut ‘selagi hidup beliau akan terus berjuang untuk memastikan bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri’.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara bekas Hakim Mahkamah Rayuan, DATUK MOHD NOOR ABDULLAH pada Jumaat lepas.

Ujar beliau walaupun perkara ini tidak termaktub di dalam Perlembagaan namun secara hakikatnya ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Beliau turut menyanggah Karpal dengan berkata ‘kita buat satu sekolah untuk semua kaum di satu bumbung. Semua orang bersekolah di situ dan orang Melayu akan menerima orang Cina atau India bukan lagi sebagai orang India tetapi orang Malaysia’.

Ujarnya, dengan demikian mungkin tidak mustahil orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri kerana kita berintegrasi sejak kecil maka kita sudah tentu mengenali hati budi, budaya mereka dengan baik.

WAWANCARA

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat isu bolehkah Perdana Menteri Malaysia terdiri dari orang bukan Melayu?

MOHD NOOR: Pertamanya saya ingin bercakap tentang perkara ini daripada sudut undang-undang. Yang di-Pertuan Agong merupakan raja yang memerintah negara ini dalam erti kata lain kuasa pemerintahan terletak kepada Agong. Yang menjalankan kuasa pemerintahan adalah jemaah menteri yang mana pengerusinya adalah Perdana Menteri. Jemaah menteri ini dilantik oleh Agong termasuklah Perdana Menteri yang turut dilantik oleh beliau. Ini kerana mereka ini dilantik untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan oleh Agong. Bagaimana Agong melantik Perdana Menteri dan Kabinetnya? Agong hendaklah melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada pertimbangannya mungkin mendapat suara majoriti dari ahli Dewan Rakyat. Agong melantik Perdana Menteri melalui cara tadi dengan syarat dia bukan warganegara melalui proses naturalization. Apa yang saya maksudkan tentang naturalization ini adalah mengenai tiga cara untuk menjadi rakyat negara ini. Pertama melalui kuatkuasa undang-undang, kedua pendaftaran dan satu lagi naturalization. Ini dimaksud di mana warga asing yang kaya dan mahu menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya namun mereka ini tidak ada hak sebagai rakyat negara ini. Di sini tidak ada disebut syarat seorang Perdana Menteri perlulah terdiri daripada orang Melayu dan Islam. Maka di sini bolehlah Agong melantik Perdana Menteri asalkan dia bukan warganegara secara naturalization.

MINGGUAN: Jadi dari sudut Perlembagaan perkara ini dibenarkan?

MOHD NOOR: Saya mahu tegaskan di sini juga bahawa perkara ini bukan sewenang-wenangnya boleh berlaku. Ini kerana seorang Perdana Menteri mestilah mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Bagaimana kita katakan ia boleh mendapat sokongan majoriti jika ahli Dewan Rakyat majoriti orang Melayu beragama Islam. Ini kecualilah jika ada orang Melayu yang mahu menyokong orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri. Oleh itu memang kalau kita lihat dari sudut undang-undang ianya boleh berlaku tetapi kenyataan atau hakikatnya saya katakan tidak boleh berlaku. Kenapa saya bertegas mengatakan tidak, pertama adalah kerana negara ini adalah negara Islam. Kedua, Agong pula adalah Ketua Agama Islam. Oleh itu Agong berhak melantik Perdana Menteri menurut budi bicaranya sendiri dan bukan atas nasihat. Walaupun Perlembagaan kata bahawa sesiapa yang mendapat majoriti, namun pada pertimbangannya orang bukan Melayu tidak mendapat majoriti tetapi orang lain, maka Agong boleh menolak orang bukan Melayu daripada dilantik menjadi Perdana Menteri. Dalam soal negeri pula, setiap negeri Melayu meletakkan syarat Menteri Besar mesti terdiri daripada orang Melayu dan Islam manakala rakyat di negeri itu mesti patuh kepada kuatkuasa undang-undang.

MINGGUAN: Boleh terangkan lebih lanjut mengenai peranan Agong dalam hal menolak Perdana Menteri bukan Melayu?

MOHD NOOR: Kenapa Agong boleh menolak orang bukan Islam daripada menjadi Perdana Menteri? Mereka ini tidak berupaya untuk menasihatkan Agong mengenai urusan agama. Bagaimana mereka boleh menasihatkan Agong jika mereka tidak tahu dan faham tentang Islam? Perkara ini sudah tentu bertentangan atau tidak selari dengan peranan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Ini kerana tugas Perdana Menteri adalah sebagai Memanda.

Bolehkah Perdana Menteri bukan Melayu Islam mampu mempertahankan negara dan kedudukan Islam di majlis antarabangsa terutamanya Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC)? Bagaimana Perdana Menteri bukan Islam ini mahu bercakap tentang Islam jika diri sendiri bukan orang Islam? Pemimpin dunia Islam ini bercakap mengenai perpaduan umat tetapi Perdana Menteri kita tidak tahu apa nak buat. Sudah tentu perkara sebegini tidak boleh dipikul oleh Perdana Menteri bukan Melayu dan Islam. Ini adalah perkara realiti yang saya nyatakan walaupun dari sudut undang-undang membenarkan.

Perkara ketiga yang saya mahu jelaskan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, dipilih sebagai presiden kerana beliau mengaku dirinya adalah orang Amerika. Setidak-tidaknya beliau mengaku dirinya adalah African-American. Malangnya kita di sini mengaku diri sebagai Malaysian Chinese atau Malaysian Indian. Sepatutnya Chinese Malaysian atau Indian Malaysian. Ini menunjukkan mereka berbangga diri mempunyai serpihan daripada negara China dan tamadunnya. Namun sekarang ini, mereka berada di negara ini, golongan bukan Melayu mesti berintegrasi dengan masyarakat tempatan secara keseluruhan dan bukan berpuak-puak. Saya bagi contoh bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra adalah keturunan Cina tetapi beliau boleh berintegrasi dengan penduduk tempatan, fasih bercakap bahasa Thai malah namanya juga menurut bahasa Thai.

MINGGUAN: Jadi Datuk melihat akibat keengganan mereka untuk berintegrasi tulen dengan masyarakat peribumi membantutkan mimpi mereka untuk menjadi Perdana Menteri?

MOHD NOOR: Jika hendak dibandingkan dengan orang bukan Melayu di negara ini, kebanyakan mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan, dan berlanjutan hingga ke sekolah Cina swasta di peringkat menengah. Mereka tidak berintegrasi dengan pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan. Pelajar-pelajar ini belajar Matematik dalam bahasa Cina, pelajaran Sejarah juga mengikut cara mereka. Kalau beginilah budaya, sifat dan naluri yang telah ditanam sejak kecil bolehkah mereka ini memimpin negara ini? Mereka ini telah dididik dengan semangat bangsa dan bahasa sejak peringkat tadika kemudian sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Adakah orang yang pendidikannya sebegini boleh menjadi seorang Perdana Menteri yang berkesan untuk semua warga di negara ini? Oleh itu saya mahu jelaskan bahawa secara praktiknya di negara ini orang Melayu belum sanggup menerima orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri jika begini keadaannya.

MINGGUAN: Karpal Singh ada mengatakan beliau akan menunggu dan terus memperjuangkan perkara ini. Bagaimana Datuk melihat tindakan beliau ini?

MOHD NOOR: Jawapan saya begini. Kita buat satu sekolah untuk semua kaum di satu bumbung. Semua orang bersekolah di situ dan orang Melayu akan menerima orang Cina atau India bukan lagi sebagai orang Cina atau India tetapi sebagai orang Malaysia. Mereka ini boleh duduk bersama makan, main bersama, Mereka ini boleh diberi jawatan penting sekolah seperti pengawas, ketua kelas tanpa mengira latar belakang kaum. Jika pelajar-pelajar ini boleh dipimpin oleh sesiapa tanpa mengira kaum, maka jawapan saya sudah tentu orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri. Ini kerana setelah berintegrasi sejak kecil maka kita sudah tentu mengenali hati budi, budaya mereka dengan baik.

Satu perkara lagi, mungkin di kalangan parti pembangkang, Pas, DAP dan PKR, antara Pas dan PKR mungkin tidak timbul masalah sangat. Tetapi bagaimana pula DAP? Sudah tentu sukar, namun saya lihat jika terdapat seorang Cina Islam dalam DAP, saya rasa tidak timbul masalah untuk mereka menerima dia menjadi Perdana Menteri kerana dia berugama Islam. Malahan saya rasa orang UMNO pun mungkin akan menyokong perkara ini kerana melebihkan Islam dan bukan kaum.

Oleh: Kembara Politik


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: