Apakah Identiti Kita?

4 09 2012

Dr Chandra Muzaffar – APA MAKSUD IDENTITI MALAYSIA

Artikel Dr Chandra yang sangat bagus dibaca menjelang Malaysia 55 tahun Merdeka:Apa maksud identiti Malaysia? — Chandra Muzaffar

August 20, 2012

20 OGOS — Selepas 55 tahun selepas Merdeka, rakyat Malaysia masih belum mencapai kata sepakat tentang identiti negara tercinta ini. Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Kebanyakan negara lain, terutamanya yang berbilang kaum dan agama, menghadapi cabaran yang sama.

Bagi negara-negara yang mempunyai status berbilang kaum akibat daripada proses penjajahan, cabarannya jauh lebih rumit jika dibandingkan dengan negara-negara yang memperolehi ciri-ciri berbilang kaum melalui penaklukan atau integrasi wilayah mahupun penerimaan pendatang dari luar yang ditentukan oleh elit pribumi negara itu sendiri.

Sebagai contoh di Malaysia, para Sultan Melayu tidak terlibat di dalam membuat keputusan untuk menerima ratusan ribu pendatang dari China dan India dalam kurun 19. Pihak penjajah British yang bertanggungjawab ke atas penghijrahan ini untuk kepentingan ekonomi kolonial mereka.

Justeru, sistem ekonomi yang wujud dari kurun 19 memperlihatkan pengasingan kaum Cina dan India dalam gelanggang ekonomi masing-masing daripada bangsa Melayu yang terus terikat dengan ekonomi desanya dan sistem pentadbiran kesultanan-kesultanan Melayu.

Pengasingan ini membawa implikasi besar kepada sistem pendidikan, corak hidup sosial dan alam budaya kaum-kaum yang menetap di negara ini. Kesan-kesan negatif daripada sejarah kolonial ini boleh dirasai sehingga ke hari ini.

Mungkin dampak yang paling serius adalah dalam sikap dan pandangan sebahagian besar kaum Cina dan India terhadap identiti diri mereka dan identiti Malaysia.

Untuk memahami cabaran ini, kita harus merenung kembali sejarah identiti kelompok-kelompok Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu pada kurun 15 dan selepasnya — iaitu sebelum zaman kolonial British — dan cara mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran keMelayuan.

Walaupun kelompok-kelompok ini kekal dengan agama Buddha, bahasa dan budaya tempatan mudah diserap kerana mereka mahu menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat induk yang dikuasai sistem kesultanan ketika itu.

Pada zaman kolonial, sebagai bangsa terjajah, Melayu hilang kedudukan puncaknya.

Manakala, kelompok-kelompok Cina yang bermastautin di Melaka, Terengganu dan Kelantan pada masa itu adalah dalam jumlah yang kecil .

Latar belakang sejarah ini telah mempengaruhi sebahagian daripada perspektif tentang identiti negara dan penduduknya selepas kemerdekaan. Pada keseluruhannya, kita dapat mengenalpasti tiga perspektif.

Pertama, sebahagian daripada masyarakat Melayu menganggap Malaysia adalah sebagai negara Melayu. Dari segi fakta sejarah tidak dapat disangkal, kesultanan Melayu merupakan teras sistem Persekutuan yang dibentuk pada 1948.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan dinasti kesultanan yang tertua di dunia iaitu kesultanan Kedah yang diasaskan pada tahun 1136. Tidak dapat dinafikan bahawa latarbelakang negara ini berhubungkait dengan sistem pemerintahan Melayu.

Tetapi, sekiranya Malaysia ditonjolkan sebagai negara Melayu dalam konteks semasa, ia akan menimbulkan kegelisahan di kalangan dua komponen rakyat Malaysia. Bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak, khususnya Kadazan dan Iban, konsep identiti nasional sedemikian seolah-olah meminggirkan mereka.

Begitu juga bagi kaum Cina, India dan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, termasuk, Orang Asli yang bukan Islam.

Kedua, di kalangan orang Melayu terdapat beberapa kumpulan yang berpegang pada idea bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Benar, majoriti penduduk negara — lebih 60 peratus — adalah penganut agama Islam. Malah, sebelum zaman kolonial, Islam merupakan asas perundangan di dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu.

Tetapi, sudah tentu 40 peratus masyarakat bukan Islam tidak dapat mengidentifikasikan diri mereka dengan negara yang mengisytiharkan dirinya sebagai negara Islam. Sekiranya, komponen warganegara yang begitu besar merasa terasing daripada identiti sebuah negara, usaha menyatupadukan masyarakat berbilang agama ini akan terancam.

Ketiga, bagi majoriti bukan Melayu pula Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama. Itulah identitinya. Deskripsi Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama mencerminkan realiti masyarakat kita.

Tetapi, bagi sebahagian besar bukan Melayu realiti ini terpisah daripada sejarah dan latarbelakang negara yang berakar-umbi dari sistem Melayu-Islam. Ini menyumbang kepada keengganan mereka mengiktiraf peranan istimewa bahasa Melayu dan agama Islam dalam pembentukan identiti negara.

Jelas, ketiga-tiga perspektif yang dibincangkan tidak menepati pencarian satu identiti nasional. Oleh yang demikian, apakah konsep identiti yang paling sesuai, yang peka pada sensitiviti semua kaum di negara kita?

Ternyata konsep yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia adalah konsep yang adil, sesuai dan menepati sifat-sifat identiti bagi negara dan rakyat kita.

Perlembagaan Malaysia mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Islam juga dinobatkan sebagai agama Persekutuan. Ini adalah pengiktirafan dan penerimaan terhadap sejarah dan latarbelakang negara dalam pembentukan identiti Malaysia.

Dalam hubungan ini, peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, khususnya, amat penting dari segi evolusi identiti nasional. Dalam masyarakat berbilang kaum walau di mana-mana, jika bahasa dapat memudahkan komunikasi antara kaum dan budaya yang berbeza, ia akan membantu proses interaksi dan integrasi.

Inilah peranan yang dimainkan oleh Bahasa Melayu sepanjang sejarah sebagai lingua franca (bahasa perantara) yang paling berkesan dalam mewujudkan identiti serantau Nusantara.

Kembali kepada Perlembagaan Malaysia, dokumen ini juga mengiktiraf kedudukan dan peranan bahasa-bahasa lain.

Pada masa yang sama, Perlembagaan kita menegakkan hak penganut agama-agama bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing. Akomodasi bahasa-bahasa bukan Melayu dan agama-agama bukan Islam dalam Perlembagaan adalah pengakuan bahawa bahasa-bahasa dan agama-agama ini juga adalah sebahagian daripada identiti Malaysia.

Kepimpinan nasional — kerajaan mahu pun pembangkang — gagal menyebarkan kefahaman identiti yang adil dan seimbang ini yang merupakan kekuatan Perlembagaan kita kepada khalayak.

Sekiranya sistem persekolahan kita, dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah, memberi tumpuan kepada perkara ini — mempertingkatkan kefahaman pelajar-pelajar tentang Perlembagaan sebagai asas identiti nasional — sejak Merdeka pada 1957 dahulu, mungkin suasana masyarakat kita lebih harmonis pada hari ini.

Sebenarnya, konsep identiti dalam Perlembagaan telah dikembangkan secara tidak langsung melalui Rukunegara dan Wawasan 2020. Oleh kerana identiti tidak terbatas pada soal kaum dan agama semata-mata, dua dokumen nasional yang penting ini memperkukuhkan lagi konsep identiti Malaysia yang juga merangkumi institusi-institusi serta nilai-nilai.

Sistem Raja Berperlembagaan, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan sistem Demokrasi Berparlimen, yang ditekankan di dalam Rukunegara juga mencirikan identiti negara kita.
Begitu juga nilai-nilai yang terkandung dalam Rukunegara seperti perpaduan, keadilan, pendekatan liberal terhadap kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat, dan sikap progresif terhadap sains dan teknologi merupakan dimensi-dimensi penting dalam usaha kita membentuk identiti rakyat dan negara Malaysia.

Wawasan 2020 terus memberi keutamaan kepada nilai-nilai murni yang sama. Malah, dokumen ini juga menyuarakan iltizam negara untuk mewujudkan masyarakat yang “berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri” dan melahirkan masyarakat beretika dan bermoral.

Nilai-nilai ini boleh dianggap sebagai nilai-nilai yang berpaksikan kepada Kepercayaan pada Tuhan iaitu, prinsip pertama Rukunegara. Dalam sebuah masyarakat dimana lebih daripada 80 peratus penduduknya percaya pada Tuhan, prinsip ini harus diterima sebagai ciri utama identiti bangsa Malaysia.

Untuk memastikan bahawa kepercayaan pada Tuhan adalah prinsip identiti yang benar-benar dihayati, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menegakkan keadilan, keihsanan dan kejujuran dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Perlembagaan, Rukunegara dan Wawasan 2020 yang menjurus ke arah identiti nasional pada hakikatnya termaktub dalam idea 1 Malaysia. Ini bermakna bahawa 1 Malaysia merupakan intipati identiti Malaysia.

Menegak dan mengukuhkan identiti rakyat dan negara adalah cabaran besar yang dihadapi oleh kita pada ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 55, terutamanya akibat beberapa perkembangan semasa. Di peringkat domestik, sentimen kaum dan agama lebih ketara dan menjejaskan usaha ke arah identiti nasional.

Identiti nasional juga terancam akibat politik kepartian yang melampaui batas. Di peringkat global, proses globalisasi yang membawa impak pada hampir setiap budaya dan bahasa sudah mula menggugat bahasa kebangsaan dalam bidang-bidang tertentu. — Utusan Malaysia

Saya berdoa supaya pemimpin politik kita terutama Pak Menteri-Menteri Kabinet sekarang dapat menghayati apa yang dinyatakan oleh Dr. Chandra, jangan dok sibuk kira berapa undi boleh dapat dari kaum itu dan ini sahja! 

 

Actions

Information

4 responses

7 09 2012
ah chow fat

tak perlu cakap banyak…sila layari blog pertama di Malaysia yang menggunakan 100% Bahasa Melayu asli dalam tulisan asalnya iaitu tulisan jawi. identiti Bahasa Melayu yang sebenarnya.

7 09 2012
Pincang

ah fat,

Kau buang masa saja mempromosikan bahasa Jawi.

Baik kau gunakan masa itu untuk promosikan Sekolah Sealiran atau Satu Sekolah Untuk Semua (SSS), BM sebagai bahasa penghantar di semua sekolah.

Tak seberapa orang sahaja yang minat tulisan Jawi. Percaya lah.

Perlu ada perpaduan negara melalui SSS, beb. DS Najib dah kata di blognya 1Malaysia 1-2 tahun lalu bahawa “Sistem Sekolah Satu Aliran” akan di laksanakan “bila rakyat mahukannya”. Hanya dia belom cakap bila, atau cara menentukan jika rakyat mahukannya sekarang atau tidak.

7 09 2012
ah chow fat

kau tengok sendiri dalam perlembagaan..skrip bahasa melayu asli adalah tulisan jawi

The script of the national language shall be the Rumi script:
provided that this shall not prohibit the use of the Malay script,
more commonly known as the Jawi script, of the national
language.

ini pautannya;

http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%201/Act%2032.pdf

dan kau termasuk 95% generasi muda melayu yang tak kenal dan lupa sejarah bangsa dan bahasa sendiri…iaitu yang tamat tingkatan lima pada tahun 70-an dan ke atas.

lagipun kau gunakan istilah ‘bahasa jawi’…sememangnya membuktikan kau buta sejarah

7 09 2012
ah chow fat

kau tengok sendiri dalam perlembagaan..skrip bahasa melayu asli adalah tulisan jawi

The script of the national language shall be the Rumi script:
provided that this shall not prohibit the use of the Malay script,
more commonly known as the Jawi script, of the national
language.

ini pautannya;

http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%201/Act%2032.pdf

dan kau termasuk 95% generasi muda melayu yang tak kenal dan lupa sejarah bangsa dan bahasa sendiri…iaitu yang tamat tingkatan lima pada tahun 70-an ke atas.

lagipun kau gunakan istilah ‘bahasa jawi’…sememangnya membuktikan kau buta sejarah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: