Sistem pendidikan yang bercorak perkauman

21 09 2012

 

  • Transformasi pendidikan perlu tegas dan patriotik

  • (Sinar Harian, 17 Sept 2012)
  • Saya begitu teruja untuk mengulas pandangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar bertajuk  “anak muda kini tidak patriotik langsung!” dalam akhbar ini minggu lalu. Beliau menyalahkan orang tua seperti ibu bapa, kerana tidak menanamkan semangat ini. Saya agak kurang bersetuju dengan pendapat tersebut, kerana kita semuanya dicorakkan oleh sistem pendidikan yang dilalui semasa kecil sehinggalah dewasa dan menjadi tua.
  • Sistem pendidikan yang bercorak perkauman adalah punca segala-galanya, kerana sistem inilah melahirkan insan yang bergelar ibu bapa atau orang tua hari ini. Setiap kaum memperjuangkan pendidikan dan cara hidup masing-masing, tidak ada kompromi. Sebarang campurtangan akan ditentang habis-habisan. Sekolah perkauman ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Pihak berkuasa  pula gentar dengan mereka, kerana takut kehilangan undi.
  • Kita selalu menggunakan alasan, kepelbagaian ini adalah satu kekuatan. Persoalanya, pernahkah kita membuat kajian implikasi kepelbagaian ini, seperti yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri Britain, David Camerons mengenai multiculturalism? Yakinlah! bahawa kejayaan negara-negara barat hari ini adalah disebabkan oleh mereka begitu tegas melaksanakan agenda negara atau agenda nasional tanpa kompromi. Mereka yang menentang agenda negara akan diberikan pilihan, “setuju tinggal, tak setuju boleh belah!”.
  • Negara-negara yang dahulunya dikatakan mundur seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan lain-lain, sudah mula meninggalkan kita. Mereka mempunyai rakyat yang mempunyai jati diri yang kental. Sanggup berkorban jiwa raga untuk agama, bangsa dan negara. Kepakaran dan kekuatan digembelingkan sepenuhnya untuk memajukan negara. Tidak berlaku brain drain. Usahlah dibandingkan dengan negara maju. Semuanya bermula dengan memperkasakan sistem pendidikan, tanpa kompromi.
  • Negara-negara ini sedar, semangat patriotik adalah tunggak kekuatan negara. Jika semangat ini tidak dipaksakan melalui sistem pendidikan, lambat laun agenda negara tidak ada hala tuju dan menjadi caca merba. Contoh mudah, apabila lagu kebangsaan dinyanyikan, semuanya berdiri tegak, diam dan begitu bersemangat. Bandingkan dengan kita, pergilah ke sekolah-sekolah, lihat gelagat anak-anak kita menyanyikan lagu kebangsaan. Sekolah perkauman usahlah dicerita. Begitu juga tempat-tempat awam. Mereka buat tidak peduli sahaja.
  • Kerajaan negara-negara yang disebutkan tadi, sentiasa mengambil iktibar dan merujuk kepada cerdik pandai dalam menentukan arah tuju negara. Kajian-kajian para cerdik pandai diambil kira dan dijadikan dasar negara. Tetapi tidak kita. Kajian yang telah terbukti benar dan jitu, disimpan di bawah karpet, kerana takut kehilangan jawatan dan sokongan pengundi. Misalnya, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dahulunya mula flip flop apabila ditentang oleh ultra kiasu Melayu dan bukan Melayu. Saya harapkan kita tidak akan goyah lagi dengan ugutan mereka selepas ini.
  • Saya ingin menyeru kepada pimpinan negara supaya sensitif dengan kajian sarjana-sarjana sosialisasi politik seperti Hyman (1959), Almond dan Verba (1963), Greenstein (1965), Hess dan Torney (1967), Dawson dan Prewitt (1969), Dowse dan Hughes (1972), Dennis (1973), Jaros (1973), Neena Sharma (1985) dan Kavanagh (1987) meletakkan agen keluarga dan sistem pendidikan adalah yang paling dominan dalam menentukan persepsi, cara hidup dan masa depan negara. Semua perkara yang dilalui ini akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Jika dari awal lagi sudah tidak patriotik, jangan haraplah generasi seterusnya akan patriotik.
  • Menurut mereka lagi, dengan mendengar perbualan ibubapa ketika bersarapan, anak-anak mula membentuk corak pemikiran mereka. Pendek kata, jika keluarga dan sistem pendidikan bersifat ultra kiasu, maka akan lahirlah ramai ultra kiasu. Realiti inilah yang sedang berlaku di Malaysia dari dahulu hingga kini. Semakin kita tunduk kepada ultra kiasu, bermakna semakin ramailah ultra kiasu.
  • Pendidikan berasaskan kaum, melalui kewujudan sekolah vernakular, sekolah persendirian dan sekolah swasta, yang tidak terkawal, dilihat gagal untuk menanamkan semangat patriotik, tetapi lebih kepada memperkaya individu tertentu dan memperhebatkan bangsa sendiri. Lebih malang lagi, kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan-tekanan puak ultra kiasu ini, agar sekolah sebegini diperbanyakkan dan dibiayai dengan percuma. Malangnya, sebarang penambahbaikan terhadap bahasa Melayu akan ditentang kerana ia akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.
  • Kita sebenarnya sedar betapa besarnya peranan bahasa dalam pendidikan sebagai tunggak kepada pembentukan semangat  patriotisme. Sebab itulah, di negara lain, isu bahasa tidak ada kompromi. Jika bahasa negara ditolak, mereka akan dihalau keluar. Negara tidak memerlukan orang-orang sebegini. Biarlah berlaku brain drain, asalkan rahsia dan keselamatan negara terjamin. Semangat patriotik lebih penting daripada brain drain. Inilah prinsip negara-negara yang telah maju dan sedang mahu maju.
  • Bagaimana semangat patriotik boleh disemai jika rakyat Malaysia tidak sayang kepada bahasa kebangsaan atau tidak boleh berbahasa kebangsaan? Dasar-dasar negara tidak dapat difahami. Pendek kata, semua perkara mesti diterjemah ke dalam bahasa ibunda, sedangkan kita sudah ada bahasa rasmi. 
  • Sistem pendidikan negara kita telah mengalami transformasi demi transformasi. Saya tidak pasti, berapa banyak wang yang telah dihabis. Jika bertukar menteri pelajaran, maka bertukarlah polisi dan dasar. Transformasi telah berlaku berkali-kali, namun asasnya masih sama. Tembok perkauman masih tidak dapat dipecahkan. Kita tidak bertegas dalam memperkasa agenda negara. Kita akan terus gagal jika masalah asas ini tidak diatasi.  
  • Berbanding generasi terdahulu, sanggup bergadai nyawa, bergolok bergadai, demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Saya yakin, jika negara kita berhadapan dengan saat-saat kritikal seperti yang sedang berlaku antara China dengan Jepun hari ini, berapa ramaikah yang sanggup berkorban jiwa raga? Atau mungkin kita jual raga-raganya sekali?

Actions

Information

One response

24 09 2012
Setia

Saya kecewa ramai yang mengakui diri mereka rakyat tidak fahamkan apa itu ta’at setia dan apa itu patriotik kapada negara.

Bila tidak tahu, bagai mana mahu hormatkan Perlembagaan negara.

Sebaliknya, kalau di ajar Perlembagaan negara dengan mendalam di sekolah sekolah, generasi bahru akan faham dan akan timbul ta’at setia, dan berikutnya, patriotik kapada negara.

Saya harap Perlembagaan di ajar di sekolah sekolah mulai 2013 bila Sejarah di mestikan. Bukan saja di kelas sivik, juga di kelas Sejarah. Yang di mestikan lulus kalau tak, tidak pass SPM.

Mesti di ajar dengan cukup bagi menentukan timbulnya ta’at setia dan patriotik kapada negara itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: