Susah sangatkah bagi pemimpin untuk memahami perkara ini?

22 06 2012

Artikel Terbaik Bernama – 1Malaysia Harus Bermula Dengan 1Sekolah !

  • Terkejut tapi suka bila terbaca satu artikel dari BERNAMA yang mempromosikan Sekolah Berbilang Kaum sebagai tempat TERBAIK bagi memupuk Perpaduan Antara Kaum rakyat Malaysia. Walaupun tidak dinyata secara spesifik, tapi apa yang digambarkan BUKAN merujuk kepada mana-mana sekolah yang bersifat vernakular dimana majoriti murid terdiri dari satu kaum saja.
  • Inilah maksud SATU SEKOLAH. Ini maksud SATU yang sebenarnya sebagaimana terkandung dalam slogan  1MALAYSIA ! Logik akal menyokong konsep Satu Sekolah sekiranya 1Malaysia menjadi wawasan.
  • Tapi sayang ….. bila politik menjadi perkiraan, SEGALANYA DIPERTARUHKAN ! Termasuk masa depan perpaduan rakyat negara kita. Semakin hari semakin terpisah kaum2 yang ada. Semakin bercambah sekolah vernakular maka semakin luas jurang perpaduan generasi akan datang.
  • Bom jangka perkauman terus berdetik …..
KLIK
Sekolah Tempat Terbaik Pupuk Persahabatan Berbilang Kaum 1Malaysia
Oleh Mohd Hisham Abdul RafarKUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Banyak sekolah di negara ini mempunyai pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan daripada kaum lain.

Awalnya di sekolah jugalah mereka belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. Namun, persahabatan tetap terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa merasa harus ada pengasingan atau peminggiran atas dasar kelainan itu.

“Kanak-kanak dan remaja memang sentiasa ‘innocent’ dan ikhlas dalam berkawan. Bagi mereka Ah Choon adalah kawan dan bukannya seorang Cina dan Eh Tiang juga adalah rakan dan bukan orang Siam. Begitu juga Razali dan Santhia bagi Ah Choon dan Eh Tiang,” kata guru kaunseling Azli Abdullah kepada Bernama.

Katanya pengalaman berkawan dengan rakan daripada kaum lain di alam persekolahan itu membina perspektif unik dalam diri kanak-kanak dan remaja sehinggalah dewasa apabila mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan dengan rakan sepejabat atau jiran di kawasan perumahan.

“Bagi saya, sekolah merupakan tempat terbaik memupuk semangat 1Malaysia, yang sangat penting sebagai faktor utama untuk menjamin keharmonian masyarakat kita,” katanya, sambil menambah bahawa sejak merdeka, keamanan dan perpaduan kaumlah yang menjadi tarikan pelaburan ke negara ini selain taraf pendidikan rakyat dan kemudahan prasarana.

Di alam persekolahanlah tempat terbaik untuk menyuburkan semangat kekitaan, tolak ansur dan saling menghormati serta menerima keunikan sesuatu kaum tanpa diskriminasi.

Bagi bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih (SMKTP), Kuantan, Wan Huzaimi Wan Abdullah, 30, seingatnya beliau dan rakan-rakan tidak pernah mengenali seseorang sebagai orang India atau Cina, melainkan sebagai kawan sekolah dan rakan sepermainan semuanya.

“Sememangnya sekolah adalah platform terbaik untuk mewujudkan perpaduan antara kaum dan ia selaras dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
,” katanya kepada Bernama.Belajar di sebuah sekolah rendah yang pelajarnya semuanya kaum Melayu, pada mulanya menimbulkan was-was baginya apabila terpilih untuk belajar di SMKTP pada tahun 1995. Namun, setelah memberanikan diri bercampur gaul dengan pelajar Cina dan India, akhirnya beliau mendapati rakan tetaplah rakan walau apa pun bangsanya, yang tidak pun pernah dipersoalkan.

Penjawat awam itu berkata hubungan antara kaum ketika zaman persekolahan boleh dikatakan amat erat seperti bersaudara di mana tidak pernah ada sedikit pun rasa anti perkauman.

“Malah seronok pula ketika melakukan aktiviti pendidikan jasmani dan berpersatuan serta hari kantin. Kita melakukannya tanpa mengira kaum…semuanya bercampur gaul tanpa masalah,” katanya.

Apatah lagi pengetua sekolah ketika itu adalah Koh Cheng Buan dan banyak guru lain juga keturunan Cina dan India selain Melayu yang tidak pernah memberi layanan berbeza sedikitpun terhadap siapa pun muridnya.
Bagi Alif Ezwan Abdul Razak, 30, jalinan hubungan erat antara kaum di alam persekolahan wajar terus dipupuk dan disuburkan sehingga ke alam pekerjaan dan dalam segenap aspek kehidupan.“Janganlah kita hadkan pergaulan kita dengan satu kaum sahaja. Kalau di sekolah, kita boleh bergaul dengan bangsa lain tanpa masalah janganlah setelah menginjak dewasa, kita menyisih dan meminggirkan pula mereka.

“Ini tidak betul. Saya ingat lagi ketika bersekolah di SMKTP, rakan-rakan baik Melayu, Cina dan India amat terbuka untuk saling membimbing dalam subjek yang kita tak faham. Kita pula membantu mereka dalam subjek yang kita lebih arif,” katanya.

Beliau percaya hubungan akrab berbilang kaum yang dipupuk di sekolah perlu terus diperkasakan dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 supaya Malaysia bukan saja maju malah kekal sebagai negara teladan dalam aspek perpaduan rakyatnya.

“Ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Dengan cara itu, barulah nampak hasilnya seperti matlamat 1Malaysia
,” katanya.

Menurut Azli pula, tugas memupuk dan menyuburkan perpaduan kaum selaras 1Malaysia tidak boleh dibebankan kepada guru atau dalam persekitaran sekolah sahaja, malah mestilah disokong dengan bimbingan ibu bapa juga.

“Bukanlah susah pun untuk dilaksanakan hal ini. Ibu bapa yang mengetahui akan-anak yang mempunyai kawan daripada kaum lain, hanya perlu mengambil inisiatif mengenali keluarga rakan anaknya itu yang tinggal berdekatan dan sesekali saling berkunjung bersama anak-anak,” katanya.

Katanya kejayaan semangat 1Malaysia bukanlah impian perdana menteri atau kerajaan semata-mata malah setiap rakyat juga, yang mahu mewariskan Malaysia yang kekal harmoni, aman dan makmur kepada anak-anak.

— BERNAMA

 

BOM JANGKA MALAYSIA

 

 

Advertisement

Actions

Information

One response

23 06 2012
Sinaran

Mengejar undi hinggakan tujuan asal di ketepikan. Pemimpin dan pembangkang. Kadang kadang nampak macam nak gila. Terkejar sana, terkejar sini. Melatah pun ada. Biul pun ada. Macam Mat Sabu kata kominis Mat Indera tu patriotik dan pahlawan negara. Macam Anwar mahu pertahankan keselamatan Yahudi Zionis Israel.

1Sekolah mesti di laksanakan. Untuk kesefahaman, saling menghormati satu sama lain, salitur rahim antara berbagai kaum, kemanan dan kemajuan negara di jangka masa panjang. Mengarut mahukan “multi nations within a nation”. Seperti di katakan oleh Yap, Pengerusi Dong Zong. Tak boleh dengar cakap dia. Dia penipu, pakai dua PhD palsu di beli di Internet. Ada di berita di masa himpunan Dong Zong di Kajang yang lalu. PM Britain dah kata “Multi culturalism is dead.” Tak boleh di laksanakan. Di laung juga oleh Chanselor Germany dan Presiden France, Sarkozy pada masa itu.

Mari lah kita teruskan mempromosi 1Sekolah, dan 1Malaysia berdasarkan 1Sekolah. Amat penting untuk masa depan negara. Perlu timbul suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersepadu. Tidak Bangsa Rojak yang ada sekarang. 1Sekolah dan 1Malaysia untuk kesejahteraan negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: