KEPIMPINAN DATO SERI NAJIB AMATLAH DIKESALI

17 10 2011

Dato Seri Najib baru-baru ini telah membuat kenyataan seperti berikut:- (petikan diperolehi dari laman The “thirteen million plus Ringgit” Guy Rambles…):-

We don’t live in an ideal world. Our forefathers have decided to allow vernacular schools. We cannot stop this now, without having a racial issue. It is very difficult to do away with this, now”.

KEMPEN SSS amat menyesali apabila kenyataan seperti di atas di buat oleh seorang Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, KEMPEN SSS telah begitu maklum tentang pendirian Dato Seri Najib dalam isu sistem pendidikan vernakular di negara ini. KEMPEN SSS telah menganggap Dato Seri Najib adalah seorang pemimpin yang tidak berjiwa Kebangsaan apabila beliau telah berkali-kali membuat kenyataan yang bercanggah dengan Artikel 152 Perlembagaan Negara apabila saja isu sistem pendidikan negara ditimbulkan.

Segala ucapan-ucapan beliau yang nampak mempertahankan Bahasa Kebangsaan hanyalah merupakan ucapan-ucapan retorik di depan kaum Melayu dan Bumiputera. Ini adalah kerana beliau akan memberi ucapan yang bertentangan arah apabila berada di depan kaum cina, khususnya. Sampai bila Dato Seri Najib akan bermain politik dan berdolak dalih dalam isu yang melibatkan perpaduan dan pembinaan negara ini?

Laman Voices Around telah menimbulkan persoalan kepada Dato Seri Najib apabila beliau berdalih dengan alasan “We don’t live in an ideal world” dan alasan “Our forefathers have decided to allow vernacular school“. Persoalan yang ditimbulkan boleh di baca di artikel Voices Around bertajuk, “(pssstt!! PRU dah dekat!) – TRUST ME….“.

Sejak dari era sebelum Perang Dunia Ke-2 sehinggalah hari ini, isu perpaduan antara kaum menjadi suatu isu yang tidak berkesudahan. Adalah penting untuk diperhatikan bahawa asal-usul sekolah vernakular diwujudkan di negara ini. British mahukan WARGA ASING mempelajari sejarah negara asal masing-masing apabila mereka-mereka ini diimpot ke Malaya sebagai tenaga buruh. Itulah asal usul kewujudan sekolah-sekolah vernakular di sini.

Wajar sekali persoalan yang diajukan oleh Prof. Khoo Kay Kim yang menyoal kewujudan sekolah-sekolah vernakular apabila hampir keseluruhan WARGA ASING ini telah diterima sebagai warga Malaysia. Apabila tiada lagi WARGA ASING, maka sewajarnyalah sekolah-sekolah vernakular ini ditamatkan dan mereka-mereka yang mengaku sebagai warga Malaysia perlulah mendapat pendidikan Kebangsaan, bukan lagi pendidikan vernakular.

Menarik juga apabila Dato Seri Najib mendakwa persetujuan “forefathers” dalam kewujudan sekolah-sekolah vernakular sehingga ke hari ini, tetapi pada masa yang masa Dato Seri Najib tidak pula menyebut tentang persetujuan “forefathers” yang menerima WARGA ASING ini sebagai rakyat Malaysia dengan begitu mudah. Kenalah persoalan Voices Around apabila laman tersebut mempersoalkan “forefathers” yang mana yang Dato Seri Najib maksudkan apabila beliau begitu tegar mempertahankan pendidikan vernakular ini, walaupun tidak diamalkan lagi oleh negara-negara lain di dunia dewasa ini.

Dato Seri Najib juga menyatakan, “We cannot stop this now, without having racial issue“.

Apakah Dato Seri Najib begitu gentar lalu hilang upaya untuk mendukung Artikel 152 Perlembagaan Negara apabila terdapat sebahagian masyarakat bersikap rasis dan perkauman yang menebal dalam mempertahankan kewujudan pendidikan vernakular ini? Pendidikan vernakular  jelas meletakkan Bahasa Kebangsaan jauh di punggung? SIAPA SEBENARNYA YANG MENIMBULKAN ISU PERKAUMAN INI? Sebagai contohnya, sila rujuk artikel Anak Guan Eng menuntut di SMJK (Cina)? dari HELEN ANG.

Apakah dengan membela sistem pendidikan vernakular tidak dianggap RASIS oleh Dato Seri Najib, tetapi sebaliknya, membela peruntukan Atikel 152 Perlembagaan Negara adalah RASIS? Begitu celaru sekalikah pendirian Dato Seri Najib?

Selanjutnya Dato Seri Najib berhelah, “It is very difficult to do away with this,now“.

Tidak ada siapa yang mengatakan isu ini adalah satu isu yang mudah untuk dihadapi. Malah seperti yang dinukilkan oleh Voices Around, isu ini adalah isu yang memeningkan kepala sejak dari era sebelum perang lagi, dari pihak British hingga ke pihak kerajaan dan rakyat Malaysia hari ini. Tetapi apakah tindakan-tindakan yang diambil untuk menyelesaikan isu PERKAUMAN (separatism and non-integration) ini dari dulu hingga sekarang? Mari kita lihat secara ringkas:-

  • Pihak British berusaha menubuhkan komiti bagi tujuan perpaduan kaum. Contohnya komiti yang dipengerusikan oleh E.E.C.Thuraisingham
  • Bapa kepada Dato Seri Najib sendiri mengeluarkan Laporan Razak, selepas Laporan Barnes yang sebelumnya yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan demi perpaduan rakyat
  • Beberapa lagi laporan dihasilkan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini mengenai sistem pendidikan negara di mana semuanya menekankan kearah perpaduan dan “integration” melalui konsep yang ringkasnya diilhamkan oleh cogankata “SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA”.
  • Tun Dr Mahathir telah mengusahakan Sekolah Wawasan sebagai satu lagi cara untuk membina dan menyatupadukan negara.

Jadi kita tidak nafikan betapa susahnya isu perpaduan kaum ini untuk diselesaikan dengan sepenuhnya. Tapi apa pula yang Datop Seri Najib buat?

PELIKNYA, Dato Seri Najib menongkah arus dengan begitu tegar sekali membela dan mendukung sistem pendidikan vernakular! Adakah lebih senang bagi Dato Seri Najib untuk tunduk kepada suara-suara RASIS oleh sebahagian dari masyarakat yang begitu tebal sifat perkauman mereka? Adakah ianya amat susah bagi Dato Seri Najib untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang yang digariskan oleh Artikel 152 Perlembagaan dalam isu ini? Adakah menegakkan undang-undang negara ini bersifat RASIS bagi Dato Seri Najib?

Amat malang bagi negara Malaysia hari ini yang mempunyai perdana menteri seperti Dato Seri Najib. Kepimpinan Dato Seri Najib dalam isu ini AMATLAH dikesali.


Actions

Information

Leave a comment